Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSurabaya – Sebanyak lapan pensyarah dan 12 pelajar Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh terlibat dalam program mobiliti ke Universitas Negeri Surabaya (UNESA) dari 12 Julai hingga 20 Julai 2025, sebagai inisiatif memperkasa bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.
Menurut ketua program mobiliti, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Mohamad Suhaizi Suhaimi, penganjuran program ini bertujuan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa di samping mempopularkan keistimewaan budaya Melayu ke negara ASEAN.

Selain itu, program mobiliti ini juga sebagai perkongsian pengajaran dan pendedahan bahasa Melayu kepada rakyat Indonesia melalui aktiviti yang telah dirangka. Antara aktiviti pendedahan bahasa tersebut termasuklah melalui permainan tradisional Melayu dan pembentangan kertas kerja antara kedua-dua negara.
Menurut pensyarah di Fakultas Bahasa dan Seni UNESA, Encik Danang Wijoyanto program mobiliti ini perlu diperluas terutamanya di negara serantau dalam usaha untuk memartabatkan dan memelihara warisan kedua-dua negara terutamanya bahasa perantara.

Menurut beliau lagi, perbezaan bahasa dan budaya kedua-dua negara tidak harus dijadikan sebagai titik pemisah, namun perbezaan kedua-dua budaya harus diraikan demi mencapai kesepakatan bersama-sama.
Melalui program ini juga, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh kedua-dua buah institusi pengajian tinggi sebagai tanda jalinan kerjasama serantau antara UIAM dengan UNESA.
