Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak bagi menyampaikan hasrat untuk menjayakan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan melalui Mahkamah Syariah yang akan dilaksanakan pada Oktober 2025.

Dalam kunjungan hormat ini, Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif Datu Haji Awang Suhaili bin Ledi menyokong hasrat DBP dan turut menyarankan agar DBP dan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak merancang dan menyusun strategi bagi mempromosikan serta meluaskan lagi bidang pendidikan undang-undang yang tentu akan dapat memperkasakan bahasa kebangsaan dalam bidang ini.
YBrs. Dr. Hazami Jahari menjelaskan bahawa adalah tepat pada masanya menjadikan kehakiman syariah di negara ini sebagai satu daripada jabatan yang amat cakna dan sentiasa dinamik dari segi kaedah dan langkah-langkah bagi memperkasakan bahasa kebangsaan melalui bidang kehakiman syariah.
DBP akan terus memberikan sokongan dan kerjasama strategik termasuk dari segi pemantapan penggubalan istilah, program pengembangan termasuk bengkel dan kegiatan bahasa dan sastera dalam kalangan pengamal undang-undang syariah termasuk usaha kerjasama strategik dalam bidang penerbitan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat ini ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul bin Haji Ismail; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah binti Md Yunus; manakala dari Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Haji Mahiden bin Sah; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Haji Najarudin bin Nedri dan Pemangku Ketua Pendaftar, Puan Noor Rafidah binti Ali.