Diterbitkan pada 6 Ogos 2025, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi dari Kepala Batas muncul sebagai johan Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 yang berlangsung di Dewan SMK Berapit, semalam.

Pasukan forum ini bukan sahaja membawa pulang kejuaraan, malah turut menyinar melalui Nurain Anis yang dinobatkan sebagai Ahli Panel Terbaik dan memperkukuh lagi kemenangan mereka dengan hujah matang dan gaya penyampaian penuh karisma.

Hakim Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 ketika menilai peserta.

SMK Tun Syed Sheh Barakbah yang merupakan johan pada tahun lalu terpaksa akur di tempat ketiga meskipun masih menampilkan persembahan mantap. Namun begitu, mereka tidak pulang hampa apabila Qeesya Alya dari sekolah tersebut berjaya meraih gelaran Pengerusi Terbaik, membuktikan bahawa legasi kecemerlangan mereka tetap diteruskan dalam bentuk baharu.

Naib johan pula menjadi milik Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, manakala tempat keempat dan kelima masing-masing diisi oleh SMK Guar Perahu Indah dan SMK Agama Al-Irshad.

Forum Remaja MADANI tahun ini menampilkan tema dan isi yang lebih matang, dengan peserta bukan sahaja mempamerkan penguasaan bahasa yang tinggi tetapi juga kebolehan mengupas isusemasa dari perspektif remaja Malaysia yang kritikal dan progresif.

Dengan kejayaan ini, SMK Datuk Haji Ahmad Badawi bukan sahaja membawa pulang kejuaraan, malah telah mencipta gelombang baharu dalam medan forum negeri. Hal ini sekali gus menandakan bahawa SMK Datuk Haji Ahmad Badawi akan mewakili Pulau Pinang ke Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Kebangsaan 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi