Diterbitkan pada 23 Ogos 2025, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha memanfaatkan arus perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), selain menyerlahkan kedinamikan bidang linguistik dan terjemahan melalui pemindahan ilmu daripada tokoh antarabangsa, Persatuan Penterjemahan Malaysia (PPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan syarahan umum yang bertajuk “Kecerdasan Buatan dan Masa Depan Media Global” di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP, hari ini.

Program yang menampilkan pakar terkemuka dalam bidang penterjemahan digital, YBrs. Profesor Jorge Diaz-Cintas dari Kolej Universiti London (UCL) itu dikendalikan oleh YBrs. Dr. Leelany Ayob dari Universiti Sains Malaysia, USM merangkap pakar linguistik, terjemahan dan interpretasi, sekali gus memperkukuh wacana akademik dalam bidang ini.

YBrs. Profesor Jorge Diaz-Cintas yang juga pengasas CENTRAS di UCL memiliki pengalaman luas dalam bidang linguistik dan teknologi serta menekankan bahawa kepesatan teknologi dan digital telah menjadikan bahasa sebagai alat yang penting dalam meningkatkan kecekapan pekerjaan manusia.

YBrs. Profesor Jorge Diaz-Cintas menekankan bahawa kepesatan teknologi dan digital telah menjadikan bahasa sebagai alat penting dalam meningkatkan kecekapan pekerjaan manusia termasuklah dalam kerjaya penterjemahan.

Perkongsian yang dibawakan oleh beliau diyakini mampu memperkasakan bidang terjemahan melalui aplikasi teknologi dan digital, sekali gus memperluas prospek kerjaya penterjemahan yang kini merentasi bidang diplomasi, ekonomi, teknologi, kejuruteraan dan pendidikan.

Hampir 100 orang peserta menghadiri program tersebut yang turut menyediakan sesi dialog interaktif bersama-sama panel pakar dan hasil wacana itu dijangka memperteguh iltizam PPM serta DBP dalam memartabatkan bahasa kebangsaan, di samping memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Presiden PPM, YBrs. Dr. Hasuria Che Omar, ahli jawatankuasa PPM dan tetamu undangan lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi