Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorge Town – Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang berlangsung dengan penuh meriah di Auditorium A, Tingkat 5, Kompleks Tun Abdul Razak (KomTAR).
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) ini turut diserikan dengan pelaksanaan Wacana Generatif Bahasa bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara.
Dalam ucapan alu-aluan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai, beliau merakamkan penghargaan kepada PSUKPP atas kerjasama mantap dalam menjayakan program ini di samping menyampaikan apresiasi kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang serta DBP Wilayah Utara atas sokongan padu bagi penganjuran majlis tersebut.
Menurut beliau, bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi turut berperanan sebagai wahana penghayatan dan penyatuan bangsa.
Bahasa itu begitu indah bukan sahaja dari segi ucapan tetapi juga dari segi penghayatan.
BBK ini merupakan wadah penting untuk kita memartabatkan bahasa kebangsaan melalui pelbagai acara berteraskan bahasa dan sastera, termasuk Wacana Generatif Bahasa yang mengetengahkan usaha memperkukuh bahasa Melayu dalam era teknologi digital.

Majlis penutupan dan gimik pelancaran rasmi BBK 2025 peringkat negeri telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Roziyah binti Shariff, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, PSUKPP.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mempunyai kedudukan yang kukuh dan signifikan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Bahasa kebangsaan berfungsi sebagai lambang jati diri dan perpaduan, bahasa pentadbiran, bahasa ilmu, perdagangan serta komunikasi.
Saya yakin agenda memperkasakan bahasa kebangsaan dapat direalisasikan melalui usaha berterusan semua pihak. Pemupukan sikap positif terhadap bahasa ini akan terus menyemai kesedaran bangsa dan membentuk keperibadian nasional yang berpaksikan bahasa Melayu.

Program yang dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat ini turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi puisi dan nyanyian oleh Encik Roslan Madun, deklamasi sajak oleh Encik Jevartnam a/l Baby dan Puan Siti Sakiinah binti Mohd Sharif, serta persembahan tarian tradisional.
Penganjuran BBK pada peringkat negeri ini jelas mencerminkan iltizam berterusan antara kerajaan negeri Pulau Pinang dengan DBP dalam mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, budaya dan penyatu bangsa seiring aspirasi Malaysia MADANI.