Diterbitkan pada 15 Oktober 2025, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur-Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) berharap agar semangat yang dizahirkan dalam Belanjawan 2026 dapat direalisasikan dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan agar bahasa Melayu terus menjadi bahasa ilmu yang mengangkat tamadun bangsa Malaysia.

YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad

Presiden PENA, iaitu YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata,

Komitmen kerajaan untuk memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa ilmu di semua sekolah dan aliran adalah langkah penting dalam menegakkan dasar bahasa kebangsaan yang selama ini menjadi asas kukuh bagi pembinaan negara. Namun, pelaksanaan dasar tersebut perlu disertai pemantauan tegas agar tidak berlaku kecuaian seperti yang dilaporkan di sekolah-sekolah antarabangsa. Pembelajaran bahasa Melayu dan kenegaraan wajib dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab membina jati diri bangsa

Beliau berkata, bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan di mana-mana institusi pendidikan yang menempatkan anak watan Malaysia.

Sementara itu, YBrs Dr. Mohamad Saleeh turut mengalu-alukan pewujudan semula Hadiah Bahasa yang disifatkannya sebagai satu inisiatif yang bukan sahaja mengiktiraf bakat dan sumbangan para penulis, tetapi juga menandakan kesungguhan kerajaan MADANI dalam memperkasakan warisan bahasa Melayu sebagai lambang maruah dan keunggulan tamadun bangsa.

Pengiktirafan ini perlu disertai pelan strategik berterusan untuk memperkukuh ekosistem bahasa dan kesusasteraan negara, termasuk penyelidikan, penerbitan karya ilmiah dan kreatif serta program pemupukan minat menulis dalam kalangan generasi muda.  Pengiktirafan secara konkrit begini perlu diwartakan agar pelaksanaannya berterusan, tidak tersekat apabila kepemimpinan negara bertukar pada masa akan datang.

Mengulas mengenai keutamaan bahasa Inggeris mulai daripada peringkat sekolah rendah dalam sistem pendidikan negara, beliau menegaskan bahawa sebarang langkah ke arah itu mesti dilakukan tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

PENA berpendirian bahawa kita wajib menyeimbangkan penguasaan kedua-dua bahasa ini secara bijaksana.  Bahasa Melayu mesti kekal sebagai bahasa teras pendidikan dan pentadbiran negara, sementara bahasa Inggeris hanya berperanan sebagai bahasa antarabangsa yang membuka akses global.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri menegaskan bahawa bahasa Melayu ialah nadi identiti bangsa dan wahana pemikiran kebangsaan yang mesti terus dipupuk dalam jiwa setiap rakyat kerana bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi, tetapi juga sebagai bahasa ilmu, budaya dan perpaduan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi