Diterbitkan pada 27 Oktober 2025, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Seminar Antarabangsa Leksikografi, Ensiklopedia dan Terminologi 2025 (SELEKSI 2025) pada 4 dan 5 November 2025 bertempat di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPM Serdang, Selangor.

Menerusi kenyataan media DBP, majlis perasmian seminar ini akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir pada 4 November 2025, pukul 11.15 pagi.

Penganjuran SELEKSI 2025 merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan sarjana, penyelidik, pengamal bahasa, dan ahli akademik bagi membincangkan isu, cabaran serta perkembangan semasa dalam bidang leksikografi, ensiklopedia dan terminologi. Seminar ini turut menjadi wadah pertukaran ilmu dan pengalaman dalam usaha memperkukuh khazanah bahasa serta memperluas jaringan kerjasama strategik antara institusi di dalam dan luar negara.

Sepanjang dua hari penganjuran seminar tersebut, peserta berpeluang untuk mengikuti pelbagai sesi plenari dan pembentangan kertas kerja selari yang menampilkan tokoh bahasa serta pakar linguistik daripada pelbagai latar disiplin. Seminar ini dijangka dapat memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dinamik dan berupaya mendepani cabaran era digital.

Dalam kenyataannya, DBP menyeru semua pihak yang terlibat dalam bidang bahasa, penerbitan dan akademik agar dapat turut sama mengambil bahagian dalam SELEKSI 2025 bagi memperkaya wacana keilmuan dalam bidang ini.

Rakan media yang berminat untuk membuat liputan boleh mengesahkan kehadiran melalui pautan berikut: https://forms.gle/iUwDZgL91EZNWq6g9

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Bahagian Komunikasi Korporat
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Aras 7, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur.
Telefon: 013-2422244
E-mel: [email protected]
Laman Sesawang: lamanweb.dbp.gov.my | prpm.dbp.gov.my | jendeladbp.my

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi