Diterbitkan pada 28 Oktober 2025, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa merupakan pancaran dan cerminan kehidupan masyarakat. Melalui bahasa, masyarakat Melayu dapat menggambarkan pelbagai keindahan di sekeliling mereka meliputi keindahan alam, kecantikan wajah seseorang, dan keelokkan budi pekerti yang terlihat secara zahir.

Masyarakat Melayu terdahulu sangat mementingkan adab, kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan mereka. Hal ini terserlah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Masyarakat Melayu pada zaman tersebut dilihat menggunakan bahasa sebagai medium komunikasi selain memanfaatkannya dalam bentuk pantun, syair, seloka dan gurindam sebagai hiburan dan lipur lara. Penelitian terhadap keindahan sastera Melayu klasik tidak terlepas daripada kesantunan adab, adat dan budaya Melayu–Islam. Bahasa digunakan dengan santun, beradab, lemah lembut dan memperlihatkan unsur keindahan. Penyampaian bahasa pula dizahirkan melalui pelbagai kaedah termasuklah kias, ibarat dan perumpamaan yang dapat diterima oleh semua generasi sezamannya.

Untuk mengkaji sesuatu bahasa, kita perlu mengkaji budaya kehidupan masyarakat penutur bahasa tersebut dan sejarahnya sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Zaman kegemilangan bahasa Melayu klasik ialah zaman yang memperlihatkan keindahan bahasa Melayu secara keseluruhannya. Keindahan bahasa Melayu klasik disebabkan oleh cirinya yang tersendiri yang membezakannya dengan bahasa Melayu kuno. Bahasa Melayu klasik dapat diteliti melalui sistem tulisan, ejaan, kosa kata dan juga tatabahasa.

Masyarakat Melayu terdahulu hidup berkampung dan kebanyakannya merupakan saudara-mara terdekat. Jalur atau waris keturunan mereka bermula dari kampung dengan panggilan mengikut bahasa beradab seperti datuk, nenek, aki, wan, pak cik (bagi bapa saudara), mak cik bagi bapa (ibu saudara) dan seterusnya. Generasi muda atau anak cucu mereka diajar dan dididik supaya berbahasa dengan santun dan susila dengan golongan yang lebih tua. Melalui panggilan mesra, mereka lebih akrab dan ada rasa persaudaraan yang kekal.

Menurut kajian yang dibuat oleh V.I. Braginsky dalam “Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik” pencipta karya sastera klasik lebih dekat dengan alam, lingkungan dan pemikiran orang Melayu yang selama ini kurang diperhatikan oleh para pengkaji luar. Masyarakat Melayu–Islam sentiasa merenung kejadian dan keindahan alam dalam lingkungan kehidupan mereka. Hal ini disebabkan oleh mereka akan memperoleh ilham dalam penghasilan karya sastera yang indah seperti pantun, syair dan lagu dengan berkesan dan menarik.

Pengamatan terhadap keindahan alam menjadikan penghasilan karya sastera lebih bermutu dan bermakna kepada kehidupan melalui perlambangan dan kias kata yang tersirat. Semua unsur bahasa seperti fonem, morfem, persamaan bunyi hujung perkataan dan rangkai kata dipilih berdasarkan makna semantik, ilmu puitika, penggunaan dalam karya agung berbahasa Melayu serta keindahan dalam pantun, syair, peribahasa, pepatah dan kata-kata hikmat Melayu.

Dalam tamadun Melayu, jagat raya, kebudayaan dan manusia tampil sebagai teks dalam karya sastera. Bunyi rima dan tulisan yang halus serta indah menyembunyikan diri di sebalik makna yang tersirat yang mengajak khalayak untuk berfikir dan mengenalinya. Bahasa Melayu klasik juga digunakan dalam sastera klasik yang mempunyai keindahan dalaman dan luaran. Keindahan bahasanya jelas melalui kata-kata klasik seperti wangsa (bangsa dan keturunan), perjaka (jejaka) dan mutia (mutiara). Terdapat juga penggunaan kata awalan seperti  maka, arakian, syahdan, hatta, kalakian, sayogia dan al-kisah.

Bahasa Melayu klasik memiliki keunikan dan keindahan terhadap pemilihan perkataan serta ayat yang terdapat dalam kebanyakan karya sastera Melayu seperti Misa Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Begitu juga keindahan bahasa klasik yang terdapat dalam Perbilangan Adat Perpatih, Pepatah Melayu, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Indera Mengindera, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda.

Bahasa Melayu klasik digunakan pada awal abad ke-14 hingga abad ke-19.  Bahasa Melayu klasik mencapai zaman kegemilangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Acheh. Semasa pemerintahan kerajaan Johor–Riau, bahasa Melayu klasik telah menjadi bahasa baku dan dituturkan oleh masyarakat Melayu dalam pemerintahan negara dan perhubungan dengan dunia dan negara luar. Bahasa Melayu klasik mempunyai aksara yang tersendiri, iaitu aksara Jawi. Masyarakat Melayu pada waktu tersebut sudah mengenal huruf dan  mampu merakamkan bahasa mereka dalam bentuk tulisan. Bahkan, keindahan gunung dan pulau ciptaan Tuhan dijadikan perlambangan dan pembayang dalam puisi tradisional seperti pantun memperlihatkan kesantunan dalam berbahasa. Sebagai contoh, pantun yang berikut dicipta untuk menyatakan tentang budi baik.

            Pulau Pandan jauh ke tengah,

                  Gunung Daik bercagang tiga;

            Hancur badan dikandung tanah,

                 Budi baik dikenang juga.

                                  (Petikan Pantun Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Budi baik menunjukkan budi bahasa yang baik dan juga apa-apa yang baik yang dilakukan oleh seseorang akan sentiasa diingati. Antara bentuk amalan budi baik termasuklah pemberian nasihat, budi bahasa yang baik, hati yang ikhlas dan kesopanan diri yang murni dan terpuji. Keindahan alam dan keindahan bahasa amat berkait rapat dan dijadikan perlambangan dalam kehidupan masyarakat Melayu. Alam yang indah dan luas terbentang dijadikan pembayang dalam kebanyakan pantun Melayu yang kekal sehingga hari ini.

Masyarakat Melayu memerhatikan keindahan alam dan mengekspresikannya dalam pantun sebagai satu daripada kaedah untuk menyampaikan nasihat dan hal ini menjadi budaya kehidupan masyarakat Melayu terdahulu. Sebagai contoh, karya “Syair Burung Pungguk” yang menjelaskan tentang sakitnya berkasih menerusi perlambangan burung pungguk menggunakan perkataan yang indah dalam syair yang dikarang. Cuba lihat rangkap syair tersebut seperti yang berikut:

            Daripada hati terlalu murung,

            Dikarangkan syair seekor burung,

 

            Sakit kasih sudah terdorong,

            Gila merawan segenap lorong.

 

            Hamba mengarang bukan pendeta,

            Supaya hilang hati bercinta.

                                                                                               (Petikan “Syair Burung Pungguk”)

 

Begitu juga keindahan bahasa dalam gurindam Melayu yang berikut yang menceritakan perihal keris bernama Sempena Ganja Iras.

Keris sempena Ganja Iras,

            Retak diturut panjut putih,

            Besi dititik besi ditinting,

            Sepai besi Kursani

            Sebulan dagang menggalas,

            Jejak ditikam mati jua,

            Setitik darah ke daratan,

            Setahun padi tak jadi,

            Setitik darah ke lautan,

            Setahun ikan tak main.

(Petikan dalam Ilmu Mengarang Melayu, Za‘ba).

Begitu juga dengan keindahan bahasa Melayu klasik dalam gurindam “Alamat Hari Nak Siang”, “Seloka Pak Kaduk”, “Seloka Baik Budi” dan “Emak Si Randang” yang mempunyai kiasan dan sindiran yang tajam sebagai renungan. Selain itu, keindahan lagu Melayu klasik yang dicipta melalui filem Melayu klasik juga menyumbang kepada perkembangan keindahan bahasa Melayu klasik pada era 50-an dan 60-an. Dalam kebanyakan lagu, bunga menjadi perlambangan golongan wanita atau gadis, manakala kumbang dikiaskan untuk golongan lelaki atau pemuda.

Penulis lirik lagu Melayu klasik juga berperanan memperkaya bahasa Melayu dalam lagu pada zaman tersebut. Mereka memilih dan menggunakan kata-kata klasik dengan bahasa yang indah untuk diselitkan dalam lagu. Sebagai contoh, lagu Getaran Jiwa yang liriknya merupakan ciptaan S. Sudarmaji. Pada zaman tersebut juga, pemilik nama seperti Jamil Sulong, H.M. Rohaizad, Tan Sri P. Ramlee banyak menyumbangkan penulisan lirik lagu Melayu klasik yang indah dan bermakna.

Kesimpulannya, sesuatu yang indah itu adalah baik dan menarik sama ada dipandang atau didengar. Hakikatnya, semua orang suka akan keindahan terutama keindahan kata-kata dan bahasa dalam kehidupan masyarakat Melayu klasik. Pada era teknologi dan globalisasi kini, bahasa Melayu moden menghadapi pelbagai kerencaman dalam usaha untuk memperkasakan penggunaannya. Generasi pewaris bahasa Melayu perlu meneliti dan menikmati keindahan bahasa Melayu klasik bagi menghadirkan rasa menghargai nilai keindahan bahasa Melayu yang telah wujud sejak dahulu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi