Diterbitkan pada 13 Oktober 2025, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kamus Dewan Perdana (KDP) merupakan kamus terbesar dan terlengkap yang dihasilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka setakat ini.  Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat lebih daripada 120 ribu entri dan subentri yang merangkumi kata umum, istilah, dialek dan kata bahasa serumpun terdapat dalam kamus ini. Selain itu, analisisnya dibuat berdasarkan data korpus lebih daripada 113 juta kata dalam korpus DBP dan Internet.

Satu daripada kelebihan kamus ini ialah terdapat maklumat tentang golongan kata dalam bahasa Melayu, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas serta subgolongannya. Label kelas kata tersebut dibuat dengan berpandukan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Terdapat 21 label kelas kata yang terdapat dalam kamus ini. Yang menariknya ialah kamus ini turut menganalisis golongan kata dengan terperinci, iaitu adakalanya sesuatu kata dikategorikan di bawah satu golongan kata atau lebih, mengikut konteks dan fungsi penggunaannya dalam ayat.  Hal ini merupakan perkembangan terbaharu dalam bahasa Melayu.  Mari kita lihat contoh yang berikut:

Contoh Kata Golongan Kata
cerita Kata nama
mati Kata kerja tak transitif, kata adjektif, kata nama, kata adverba
melalui Kata kerja transitif, kata sendi nama
merupakan Kata kerja transitif, kata pemeri
esok Kata nama, kata adverba
kekuningan Kata nama, kata adjektif
sekali Kata bilangan, kata penguat, kata adverba, kata nama
haram Kata adjektif, kata penegas (bahasa basahan)

Satu lagi kekuatan KDP ialah wujudnya panduan sebutan baku untuk para pengguna bahasa Melayu. Panduan ini disediakan menurut abjad fonetik antarabangsa (IPA) SIL dan berdasarkan Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu yang terkandung dalam Daftar Kata Bahasa Melayu, Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (2008). Selain itu, transliterasi kepada tulisan Jawi juga membantu para pengguna bahasa Melayu mengenal pasti sebutan kata yang betul.  Hal ini dapat mengatasi masalah sebutan bagi kata baharu, kata pinjaman dan kata homograf. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Pinjaman

Contoh Kata Sebutan
lasagne ləzanijə
chalet ʃale
champagne ʃempen
agen agen

Homograf

Contoh Kata Sebutan
bela bəla, bela
perang pəraŋ, peraŋ
selak səlaʔ, selaʔ
semak səmaʔ, semaʔ
rendang rəndaŋ, rendaŋ

Satu lagi maklumat baharu dalam KDP ialah maklumat etimologi yang julung kalinya dimasukkan ke dalam kamus yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Maklumat etimologi ini merupakan hasil olahan kajian pakar etimologi bahasa Melayu, Profesor Dr. Nothofer dan Dr. Adelaar berdasarkan kajian tentang tesis, esei, jurnal, kamus dan buku. Sekitar 7000 entri kata warisan dan kata pinjaman dalam kamus ini diberi maklumat etimologi pada bahagian akhir entri.

Makna kata tidak mungkin dapat diberikan setepat-tepatnya kerana adakalanya sempadan makna antara kata kabur dan terdapat juga makna kata yang bertindih.  Bagi KDP, makna kata yang dihuraikan merupakan makna yang tipikal dan diketahui umum. Selain itu, sinonim atau antonim yang terhampir turut diberikan. Makna kata juga digambarkan menerusi penggunaannya dalam konteks kata terbitan, kata majmuk, kata ganda, simpulan bahasa, peribahasa, frasa dan ayat.  Sedapat mungkin penyusun memilih ayat tipikal daripada korpus DBP dan laman sesawang.  Lazimnya, satu hingga tiga ayat atau frasa diberikan sebagai contoh penggunaan bagi sesuatu takrif.  Sila lihat contoh yang berikut:

Contoh Kata Kategori Contoh
hiba sinonim sedih, pilu
hodoh antonim tidak cantik
cari kata berimbuhan bercari, mencari, dicari, mencarikan, dicarikan, carikan, pencarian, carian, carian, pencari, sepencarian
tanda kata majmuk tanda baca, tanda aras, tandatangan
angin simpulan bahasa makan angin, naik angin
kali kata ganda kali-kali, berkali-kali
kampung frasa kampung halaman, kampung laman
malang ayat Kanak-kanak yang malang itu cedera parah ditanduk lembu.

Amin lebih teruk menerima malang berbanding dengan Khalilah.

pengat peribahasa kacang sebuah, tak jadi memengat

Sesuatu kata juga dijelaskan konteks penggunaannya dari segi arkaik, istilah, slanga, bahasa basahan, bahasa klasik, bahasa halus, bahasa kasar dan sebagainya.  Terdapat 46 label bidang ilmu bagi entri yang berupa istilah.  Mari kita lihat contoh yang berikut:

Konteks Penggunaan Contoh
Arkaik bad, bagal, kereta lereng
Istilah tetingkap, injunksi, jejunitis
Istilah lama Ilmu alam, kaji hayat
Slanga awek
Bahasa basahan cun, babab, Senen, helmet, okey
Bahasa klasik daksina, arakian, bercucuk ikan
Bahasa halus bersama, buang air
Bahasa kasar mampus, celaka, haram jadah
Bahasa tabu Keling
Bahasa diraja gering, santap, berangkat
Bahasa puitis purnama
Bahasa kiasan bunga, mencucuk hati, jantung hati
Bahasa intim sayang
Konvensi sosial helo
Singkatan PBB, UMK, IPTS, IKS
Akronim HICOM, PERHILITAN, INTAN
Dialek gerluk, peres, belon, kelewar
Bahasa serumpun santer, irus, batok kepala, batis

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi