Diterbitkan pada 25 Oktober 2025, 22:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa dalam teks belanjawan bukan sekadar alat teknikal untuk menghuraikan angka dan dasar kewangan negara. Bahasa yang digunakan dalam teks belanjawan ialah strategi komunikasi dan retorik kepemimpinan yang mencorakkan cara rakyat memahami cabaran, perjuangan dan harapan masa hadapan negara. Dalam teks Belanjawan 2026, Perdana Menteri menggunakan gaya bahasa yang sarat dengan metafora perjalanan, iaitu bentuk kiasan yang mengibaratkan pembangunan ekonomi dan sosial sebagai perjalanan menuju destinasi kemakmuran bersama-sama. Selain metafora perjalanan, teks ini turut memanfaatkan metafora peperangan yang menonjolkan perjuangan kerajaan menentang cabaran ekonomi, ketirisan dan kebobrokan sebagai musuh yang mesti dikalahkan.

Metafora peperangan ini menghidupkan semangat juang dan keberanian, manakala metafora perjalanan pula menzahirkan arah dan tekad untuk terus melangkah ke hadapan. Metafora perjalanan yang digunakan memperlihatkan semangat reformasi yang disampaikan melalui gaya bahasa yang membimbing, menenangkan dan mengajak rakyat untuk terus melangkah bersama-sama. Kombinasi kedua-dua metafora ini membentuk naratif yang seimbang antara perjuangan dengan pengharapan. Gabungan ini menjadikan teks belanjawan bukan sahaja sebagai dokumen ekonomi, tetapi juga sebagai kisah perjuangan moral yang mengajak rakyat memahami erti pengorbanan dan ketabahan.

Melalui metafora perjalanan, teks belanjawan bukan hanya berfungsi sebagai laporan ekonomi, tetapi turut memuatkan perjuangan negara dalam usaha menempuh perjalanan reformasi. Sementara itu, melalui metafora peperangan, kerajaan digambarkan sebagai pasukan yang berjuang di medan ekonomi dan sosial untuk mempertahankan kesejahteraan rakyat. Dalam hal ini, teks belanjawan berubah menjadi naratif kepemimpinan yang berperanan membina kepercayaan rakyat terhadap hala tuju negara. Metafora perjalanan membolehkan pendengar atau pembaca membayangkan perjuangan ekonomi sebagai usaha kolektif yang perlu ditempuh dengan kesabaran dan keyakinan. Oleh itu, teks Belanjawan 2026 bukan sekadar menghimpunkan dasar dan angka, tetapi membina makna perjalanan yang berasaskan nilai, integriti dan harapan bersama-sama.

Menurut Kamus Dewan Perdana, metafora bermaksud gaya bahasa yang membandingkan sesuatu perkara dengan perkara lain secara tidak langsung. Dalam analisis wacana, metafora bukan hanya berfungsi sebagai hiasan bahasa, tetapi sebagai alat pemikiran dan strategi komunikasi yang membentuk cara pendengar memahami sesuatu konsep yang kompleks. Dalam konteks Belanjawan 2026, metafora peperangan digunakan untuk memberikan kesan dramatik kepada usaha kerajaan menentang kelemahan sistem, manakala metafora perjalanan berfungsi menjelaskan visi pembaharuan jangka panjang yang memerlukan kesabaran dan tekad bersama-sama. Metafora ini menimbulkan rasa kebersamaan dan tanggungjawab kolektif antara kerajaan dengan rakyat dalam usaha mencapai “destinasi kemakmuran”.

Metafora perjalanan (journey metaphor) ialah bentuk metafora yang menggambarkan perkembangan, perjuangan atau perubahan sebagai satu perjalanan yang mempunyai permulaan, halangan dan destinasi. Unsur-unsur seperti jalan berliku, kompas sejarah, arus ketidaktentuan global, dan destinasi kemakmuran dalam teks belanjawan memberikan citra bahawa pembangunan negara ialah suatu proses yang panjang, mencabar dan memerlukan arah tuju yang jelas. Dalam metafora peperangan (war metaphor) pula, unsur seperti melawan ketirisan, memperkukuh benteng ekonomi, dan menangkis cabaran global menggambarkan semangat juang dan daya tahan kerajaan dalam usaha mempertahankan negara. Melalui kedua-dua metafora ini, kerajaan dilihat sebagai “pemandu arah” yang memimpin rakyat merentasi halangan menuju masa hadapan yang lebih baik.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, Malaysia menyaksikan perubahan dalam landskap politik apabila gabungan kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan daripada parti politik dominan UMNO yang telah memerintah negara selama 61 tahun. Dalam suasana ini, wacana politik negara turut berubah. Teks Belanjawan 2026 menjadi wadah penting untuk memperkukuh legitimasi kerajaan baharu yang ingin membezakan diri daripada era lama. Oleh itu, metafora perjalanan digunakan untuk membingkai reformasi kerajaan sebagai satu perjalanan menuju pembaharuan, bukan sekadar perubahan pentadbiran. Dalam erti kata lain, metafora ini bukan sahaja menjelaskan perjalanan ekonomi Malaysia, tetapi juga mencerminkan perjalanan politik baharu negara selepas era hegemoni satu parti.

Kita menolak budaya menumpuk hutang tanpa kawalan, kita melawan ketirisan dan kebobrokan, dan kita benci kemewahan kelompok elit yang dibayar dengan kesengsaraan rakyat. Sementelahan, kita memilih jalan yang berliku, sukar dan panjang, yakni jalan reformasi, disiplin fiskal yang tegas, dan pengukuhan institusi.

Teks Belanjawan 2026, 11 Oktober 2025

Petikan di atas adalah antara bahagian yang paling kuat dari segi penggunaan metafora perjalanan. Frasa “jalan yang berliku, sukar dan panjang” menggambarkan perjalanan negara sebagai satu usaha moral yang penuh cabaran. Dalam kerangka komunikasi strategik, metafora perjalanan ini berfungsi sebagai naratif perjuangan moral yang menegaskan bahawa reformasi bukan jalan yang mudah, tetapi perjalanan panjang yang menuntut keberanian dan kesabaran. Kata “jalan” menjadi lambang arah dasar, manakala sifat “berliku” dan “panjang” menonjolkan hakikat bahawa perubahan struktur ekonomi dan institusi memerlukan masa dan keteguhan moral. Gaya ini menjadikan wacana ekonomi ini berupaya menghubungkan emosi rakyat dengan perjuangan kerajaan melawan ketidaktelusan dan ketidakseimbangan sosial.

Belanjawan pada kali ini juga menandakan lembaran pertama RMK13 … merupakan kompas sejarah untuk era mendatang.

Teks Belanjawan 2026, 11 Oktober 2025

Frasa “kompas sejarah” dalam petikan di atas membawa makna simbolik yang mendalam. Kompas ialah alat menentukan arah, manakala sejarah melambangkan pengalaman kolektif bangsa. Apabila kedua-duanya digabungkan, metafora perjalanan ini membentuk gambaran bahawa Belanjawan 2026 bukan hanya dokumen ekonomi, tetapi juga panduan moral untuk masa hadapan negara. Secara retorik, metafora ini mengangkat imej Perdana Menteri sebagai “pelayar” yang menavigasi kapal besar bernama Malaysia di tengah-tengah lautan global yang bergelora. Kompas sejarah menjadi simbol keyakinan, kejujuran dan haluan yang berpaksikan nilai. Dalam konteks komunikasi politik, metafora ini meneguhkan kredibiliti kerajaan sebagai pihak yang memiliki arah yang jelas dan panduan strategik yang bersandarkan pengalaman lampau. Metafora ini cuba mengajak rakyat agar tidak hanya melihat Belanjawan 2026 ini sebagai senarai perbelanjaan, tetapi sebagai peta perjalanan bangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi