Diterbitkan pada 26 Oktober 2025, 22:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Belanjawan MADANI Keempat adalah saksi bahawa kita memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional.

Teks Belanjawan 2026, 11 Oktober 2025

 

Ungkapan “jalan kebangkitan” memperlihatkan metafora yang membawa nilai spiritual dan kolektif. Metafora ini melambangkan perjalanan keluar daripada masalah ekonomi menuju kemajuan. Metafora ini menghubungkan semangat reformasi ekonomi dengan nilai-nilai pemulihan sosial dan kemanusiaan. Dari segi retorik, kata “kebangkitan” berfungsi untuk menyemarakkan semangat nasional.  Kata ini menjelaskan bahawa kemajuan tidak akan terhasil tanpa tanggungjawab semua. Ungkapan ini turut mengandungi elemen inklusif melalui penggunaan kata ganti diri “kita” yang menempatkan kerajaan dan rakyat dalam satu perjalanan yang sama.

Kita mesti berani memikul tanggungjawab pensejarahan, sama seperti empayar Melaka yang pernah berdiri sebagai kosmopolitan yang adil dan kukuh dalam hubungan dagang.

Teks Belanjawan 2026, 11 Oktober 2025

Petikan di atas menunjukkan metafora perjalanan sejarah yang menonjolkan kesinambungan antara masa lalu dengan masa ini. Rujukan “empayar Melaka” berfungsi sebagai titik rujukan sejarah, iaitu lambang kemegahan dan kebijaksanaan bangsa. Dengan menyebut tanggungjawab pensejarahan, teks ini menegaskan bahawa perjalanan pembangunan negara bukan hanya tentang ekonomi, tetapi juga kesinambungan nilai dan maruah. Dalam konteks wacana perjalanan, metafora ini menghubungkan naratif “perjalanan bangsa” dengan prinsip tanggungjawab moral. Metafora perjalanan ini  menyeru rakyat agar menteladani kekuatan generasi terdahulu yang berjaya memacu kemakmuran melalui keadilan dan integriti. Secara retorik, ayat ini memperkukuh semangat kebangsaan dengan menyatukan warisan sejarah dan visi masa hadapan dalam satu garis perjalanan yang sama.

 

… kita melawan ketirisan dan kebobrokan.

Teks Belanjawan 2026, 11 Oktober 2025

 

Petikan di atas menggunakan metafora peperangan tetapi masih berada dalam kerangka perjalanan moral. Kata “melawan” memperlihatkan tindakan aktif kerajaan dan rakyat. Kata ini menunjukkan bahawa perjuangan ekonomi bukan sahaja tentang menstabilkan angka, tetapi juga tentang mempertahankan integriti. Ketirisan dan kebobrokan dipersonifikasikan sebagai musuh yang perlu ditentang. Dalam konteks ini, perjalanan negara dilihat sebagai misi perjuangan menegakkan kebenaran dan menolak penyelewengan. Gaya bahasa seperti ini mengubah persepsi rakyat terhadap dasar fiskal, iaitu daripada isu teknikal menjadi agenda moral dan nasional. Setiap langkah pembaharuan dianggap sebagai langkah jihad melawan ketidakadilan ekonomi. Metafora ini juga mencerminkan prinsip asas Malaysia MADANI, iaitu kemajuan ekonomi mesti dibina atas nilai amanah dan integriti.

Metafora perjalanan dan peperangan dalam teks Belanjawan 2026 memainkan peranan penting dalam usaha membentuk naratif nasional yang sarat dengan makna. Melalui metafora, teks belanjawan bukan sekadar menyusun dasar ekonomi, tetapi juga mengungkap semangat kebersamaan dan harapan. Metafora perjalanan menonjolkan sifat progresif dan daya tahan, seolah-olah setiap dasar dan program kerajaan ialah langkah kecil dalam perjalanan panjang menuju kemakmuran. Sebaliknya, metafora peperangan menonjolkan keberanian menghadapi cabaran ekonomi dan kelemahan sistem yang diwarisi. Kedua-dua metafora ini bergabung bagi membentuk wacana yang seimbang antara rasional dengan emosi. Kedua-dua metafora ini menjadikan teks belanjawan bukan hanya laporan rasmi, tetapi kisah perjuangan moral rakyat Malaysia menempuh jalan reformasi yang panjang.

Jika dianalisis secara semantik, metafora perjalanan dalam teks Belanjawan 2026 menunjukkan pola ruang dan masa yang jelas. Teks ini bermula dengan konsep permulaan, dilambangkan melalui ungkapan seperti “lembaran baharu” dan “melangkah ke fasa baharu” yang menunjukkan titik permulaan kepada pembaharuan dan visi masa hadapan. Kemudian, kandungan teks ini mewujudkan unsur halangan melalui frasa seperti “jalan berliku” dan “arus ketidaktentuan global” yang menandakan cabaran serta ujian yang perlu ditempuhi dengan kesabaran dan strategi. Akhir sekali, metafora ini membawa unsur destinasi melalui kata seperti “kemakmuran” dan “kebangkitan nasional” yang menandakan matlamat akhir perjalanan ekonomi negara yang diidamkan bersama-sama. Metafora peperangan yang diselit pula berpusat pada konsep kekuatan.

Unsur musuh diwakili oleh kata seperti “ketirisan”, “rasuah” dan “krisis global”, iaitu ancaman terhadap kestabilan ekonomi dan nilai integriti. Unsur pertahanan digambarkan melalui frasa seperti “benteng ekonomi” dan “disiplin fiskal” yang melambangkan langkah-langkah kerajaan memperkukuh daya tahan kewangan negara. Akhir sekali, unsur kemenangan lahir melalui kata seperti “kestabilan” dan “kemakmuran rakyat” yang melambangkan kejayaan material dan moral hasil perjuangan kolektif rakyat. Gabungan kedua-dua metafora ini mewujudkan struktur naratif yang dinamik dan dramatik. Kedua-dua metafora ini menjadikan teks belanjawan lebih hidup dan berpengaruh secara retorik. Bahasa menjadi jambatan yang menghubungkan dasar dengan jiwa rakyat, mencipta gambaran bahawa setiap perjalanan ekonomi ialah perjuangan bersama-sama menuju masa hadapan yang lebih sejahtera.

Teks Belanjawan Malaysia 2026 menunjukkan bahasa bukan sekadar alat komunikasi dasar, tetapi juga kompas ideologi dan moral negara. Melalui metafora perjalanan, kerajaan menzahirkan keyakinan bahawa reformasi ialah perjalanan panjang yang penuh cabaran, namun bermatlamat jelas. Metafora peperangan pula menonjolkan keberanian untuk menentang ketirisan, membasmi rasuah dan memelihara integriti negara. Kedua-duanya membentuk wacana yang menyatukan emosi, rasional dan moral rakyat dalam satu gagasan yang utuh. Ini bermakna, kemajuan ekonomi tidak dapat dipisahkan daripada kejujuran dan nilai kemanusiaan. Bahasa dalam teks belanjawan akhirnya menjadi naratif perjuangan, membimbing rakyat memahami bahawa setiap langkah, walaupun kecil, ialah sebahagian daripada perjalanan besar menuju Malaysia yang lebih makmur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi