Diterbitkan pada 14 November 2025, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – “Syarahan Raja Ali Haji ini merupakan satu wadah penting bagi kita memperingati tokoh besar dunia Melayu, iaitu Raja Ali Haji, seorang cendekiawan, ahli bahasa, ahli sejarah dan pejuang pemikiran bangsa,” ujar Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Dr. Kadaruddin bin Aiyub dalam ucapan perasmian Majlis Syarahan Raja Ali Haji ke-23 pada pagi ini.

Majlis Syarahan Raja Ali Haji yang berlangsung di Dewan Perdana, FSSK, UKM itu merupakan anjuran Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama FSSK, UKM dengan objektif utamanya, iaitu menimbulkan kesedaran masyarakat tentang persoalan semasa dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu.

Menurut YBhg. Profesor Dr. Kadaruddin, Raja Ali Haji bukan sahaja dikenang sebagai pengarang Gurindam Dua Belas yang masyhur, tetapi juga sebagai pelopor kesedaran ilmu, adab dan maruah bangsa dalam wacana ketamadunan Melayu. Dalam konteks hari ini, pemikiran Raja Ali Haji mengajak kita untuk menilai semula hubungan antara bahasa, ilmu dan identiti.

Tambah beliau,

Majlis Syarahan Raja Ali Haji ini merupakan antara kegiatan yang bersifat intelektual bagi memastikan perkembangan dan pembinaan bahasa dan persuratan Melayu.

Saya juga melihat kegiatan seumpama ini mampu mengukuhkan jati diri dan memperkuat kecintaan kita terhadap ilmu melalui bahasa dan sastera.

Beliau juga menyatakan harapan agar Majlis Syarahan Raja Ali Haji pada hari ini bukan sekadar satu peringatan terhadap tokoh agung tersebut, tetapi juga satu titik tolak bagi pengukuhan semangat cinta akan ilmu, bangsa, dan budaya dalam kalangan warga akademik.

“Semoga majlis seperti ini terus menjadi medan bagi memperkukuh semangat keilmuan, memperluas wacana bahasa dan budaya, serta menyalakan kembali api pemikiran Melayu yang berpaksikan hikmah,” ujar beliau.

YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin bin Aiyub ketika menyampaikan ucapan perasmian Syarahan Raja Ali Haji.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Presiden PLM, YBhg. Profesor Dr. Nor Hashimah binti Jalaluddin menyatakan bahawa PLM merupakan persatuan kebahasaan bukan kerajaan yang giat menjalankan aktiviti akademik bagi mendukung pemerkasaan bahasa Melayu.

Syarahan Raja Ali Haji ini sangat sinonim dengan PLM. Aktiviti syarahan ini menggilirkan pewacana dari serata negara ASEAN. Setiap dua tahun kita akan menggilirkan dan tahun ini merupakan giliran Singapura.

Menurut beliau lagi, setakat hari ini hampir semua negara ASEAN telah dilibatkan. Setiap syarahan akan diterbitkan sebagai monograf. Selain Syarahan Raja Ali Haji, Seminar Linguistik Kebangsaan (SLIK) juga merupakan seminar kebahasaan dwitahunan anjuran PLM yang menjadi wadah perbincangan yang berkaitan dengan penyelidikan linguistik.

Pada tahun 2026, SLIK akan dianjurkan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  yang telah disambut baik oleh UMT, iaitu Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT serta DBP Wilayah Timur.

Hal ini merupakan antara usaha PLM dalam menganjurkan Persidangan Linguistik ASEAN bagi mengumpulkan ahli bahasa serantau untuk berkongsi maklumat penyelidikan bahasa.

YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah binti Jalaluddin, Presiden PLM ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

 

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera mewakili Ketua Pengarah DBP, Encik Saifullizan bin Yahaya; Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry; Timbalan Pengarah Bahasa Ibunda, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Singapura selaku penyampai Syarahan Raja Ali Haji, YBrs. Encik Zafilin bin Abdul Hamid; mahasiswa dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Universiti Putra Malaysia, UiTM Melaka, Institut Pendidikan Guru (IPG) Lembah Pantai, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, UKM dan Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA MELAYU) FSSK, UKM.

Kredit Foto: KHAIRUL AZHAR BAHARUDDIN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi