Diterbitkan pada 14 November 2025, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mata merupakan deria lihat yang cukup ajaib kerana pandangan mata seseorang bukan sekadar tindakan fizikal semata-mata, sebaliknya berupaya mencerminkan isi hati, emosi atau sikap pemiliknya dan mengungkapkan mesej tertentu. Dalam bahasa Melayu, terdapat pelbagai kata yang dapat menggambarkan perihal kata “memandang”.

Jika seseorang “memandang” orang lain atau benda tertentu dengan ekor matanya, dia dikatakan melirik, menjeling atau mengerling.  Orang yang dilamun kasih mungkin saling menlirik manja untuk melahirkan rasa cinta.  Si isteri yang marah akan perbuatan suaminya pula mungkin menjeling tajam sebagai tanda amarah, amaran atau larangan.  Selain itu, seseorang yang memandang muka orang lain dengan sinar mata yang tajam atau garang dikatakan sebagai menyorotinya.

Jika seseorang “mencuri pandang” atau “mencuri-curi” lihat kepada seseorang, perlakuan tersebut dibuat dengan memandangnya cepat-cepat lalu menoleh ke tempat lain agar tidak disedari atau diketahui oleh orang lain.  Hal ini berlaku sedemikian berkemungkinan disebabkan seseorang itu berasa malu atau ingin merahsiakan sesuatu.

Jika seseorang ingin mengetahui atau memastikan keadaan di sekelilingnya, dia matanya mungkin melilau, membelingas atau mengelayau, iaitu “memandang” ke sana sini atau mengalih-alihkan pandangan.  Hal ini mungkin berlaku apabila seseorang berasa cemas, bingung atau tertanya-tanya tentang situasi dirinya.

Seseorang yang marah, terkejut atau ketakutan mungkin “membelalakkan”, “membeliakkan” atau “membelalangkan” matanya, iaitu membuka mata besar-besar atau luas-luas.  Dia mungkin juga “mencerlung”, iaitu memandang orang lain dengan mata yang terbeliak dan sinar mata yang tajam.  Perbuatan tersebut mungkin untuk mengancam atau menakut-nakutkan seseorang.

Selain itu, pandangan seseorang yang terpikat akan sesuatu atau kepada seseorang mungkin akan “menatap” atau “merenungnya”, iaitu memerhatikannya secara lama-lama.  Sebagai contoh, seorang ibu yang merenung muka atau foto anaknya.  Berbeza pula halnya apabila seseorang yang ingin memastikan kualiti atau nilai sesuatu benda dengan cara “meneliti”, “mengamati” atau “membelek-beleknya”, iaitu memerhatikannya dengan teliti.  Sebagai contoh seseorang yang ingin membeli barang kemas atau barang hiasan yang mahal harganya, sudah pasti mereka akan membelek-belek dan meneliti barang tersebut sehingga berpuas hati.

Seseorang mungkin “mengenyitkan” matanya untuk menghantar mesej tertentu, iaitu dengan mengelipkan sebelah mata sambil mengangkat keningnya.  Hal ini mungkin bertujuan untuk orang yang berani meluahkan isi hatinya atau untuk orang tertentu menghantar isyarat tentang sesuatu rancangan rahsia kepada pihak yang berkaitan. Mata seseorang mungkin juga “terkenyit-kenyit”, “terkelip-kelip” atau “terkedip-kedip” disebabkan oleh debu atau terkena cahaya yang menyilaukan mata. Hal ini bererti bahawa matanya pejam dan celik dengan pantasnya.

Seseorang yang berasa malu, takut atau bersalah mungkin “menekurkan” matanya ke tanah atau ke lantai. Sebagai contoh murid yang berhadapan dengan guru disiplin, anak nakal yang berhadapan dengan bapa yang garang atau mangsa tebusan yang berhadapan dengan penjenayah. Seseorang yang berani “bertentang mata” atau beradu pandang dengan lawannya, iaitu memandang tepat ke arah lawannya. Hal ini merupakan aksi yang mencabar lawannya untuk bertindak atau bertarung dengannya. Walau bagaimanapun, terdapat juga pasangan yang “bertentangan mata” atau “bermain mata” secara lembut dan penuh emosi sebagai tanda sudah jatuh hati.

Seseorang perlu “mendongak” atau “memandang ke atas” untuk melihat sesuatu di atas atau di langit. Sebaliknya seseorang yang ingin melihat sesuatu yang jauh akan “meninjau” atau “melayangkan pandang” ke persekitarannya.  Jika seseorang mahu melihat sesuatu melalui bukaan jendela, dia perlu “menjenguk” atau “menjengah”, iaitu menghulurkan kepala ke hadapan untuk melihat sesuatu. Jika seseorang dikatakan “melihat-lihat”, hal ini bererti bahawa dia melihat sesuatu secara santai, sambil lalu, bersenang-senang dan sebagainya.  Jika seseorang melihat sesuatu secara sekali imbas atau sepintas lalu, dia dikatakan melihatnya secara “seimbas”. Seseorang yang mencari maklumat dengan pantasnya pada skrin monitor komputer mungkin melakukan “semak imbas” (browse) dengan matanya.  Mata seseorang yang mengantuk pula kelihatan “kuyu”, iaitu tertutup sedikit atau hampir-hampir pejam.

Ada kalanya hal “memandang”dikaitkan dengan sikap seseorang terhadap seseorang atau sesuatu perkara.  Jika seseorang menganggap sesuatu perkara itu kurang penting, dia mungkin “memandang ringan”, “memandang enteng” atau “memandang remeh” terhadapnya.  Malahan, hal sedemikian mungkin menyebabkan dia “terlepas pandang” (oversight) akan perkara tersebut.  Sebaliknya, seseorang yang beranggapan bahawa sesuatu perkara itu penting akan “memandang berat” terhadapnya.  Jika seseorang merasakan bahawa orang tertentu kurang penting, kurang berkebolehan atau kurang berkedudukan, dia mungkin “memandang rendah” atau “memandang hina” terhadapnya.  Sebaliknya, orang yang dihormatinya dan disanjungnya akan “dipandang tinggi” olehnya.  Jika seseorang merasakan orang tertentu tidak jujur atau tidak dapat dipercayai, dia mungkin “memandang serong” terhadapnya.

Hal “memandang” atau melihat ada kalanya dikaitkan dengan menilik atau meramalkan nasib seseorang.  Hal ini dikatakan sebagai “melihat nasib” seseorang.  Kata “memandang” juga ada kalanya bererti “mengambil kira, mempedulikan” atau “dihormati”.  Sila lihat contoh ayat yang berikut:

1a.  Hakim tidak memandang kedudukan sosial pesalah itu ketika menjatuhkan hukuman.

1b.  Beliau dipandang orang di bandar itu.

Bagi kata “pandang” yang ditambah imbuhan teR-, maksudnya termasuk “terkemuka, terbilang”.  Apabila kata “pandang” ditambah imbuhan meN-…-kan, maksudnya ialah “disebabkan”.  Sila lihat contoh ayat yang berikut:

2a.  Anaknya merupakan ahli politik yang terpandang.

2b.  Memandangkan dia sudah insaf, hukuman terhadapnya diringankan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi