Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – “Pendekatan permainan bahasa ini bukan sahaja melatih murid berfikir secara kreatif, malah membantu mereka memahami mesej penjagaan alam secara lebih mendalam. Apabila bahasa dan alam sekitar digabungkan, murid menjadi lebih dekat dengan konsep kelestarian,” ujar Encik Adam Shah Mohammed Shahnaz selaku pengarah program LestariExplorace di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Raja, semalam.
Kumpulan khidmat masyarakat Usrah in Action dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh dengan kerjasama SK Kota Raja telah berjaya menganjurkan program tersebut bagi memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Program tersebut telah disertai oleh murid tahun enam dengan pendedahan diberikan kepada mereka melalui ceramah yang berkaitan dengan menyayangi alam sekitar dalam usaha mencapai matlamat pembangunan lestari, iaitu ke arah menjamin kehidupan yang sihat serta pembelajaran sepanjang hayat.
Program yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekumpulan fasilitator UIAM dengan memperkenalkan permainan bahasa interaktif bagi merangsang pemikiran murid termasuklah aktiviti eksplorasi, teka kata, susun frasa, kata kunci serta pelbagai aktiviti bahasa berkonsepkan penjagaan alam sekitar. Permainan bahasa ini dirangka bagi memperkukuh kemahiran literasi murid serta menanamkan kefahaman yang mendalam terhadap amalan lestari dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, Guru Besar SK Kota Raja, Puan Norhaimi Said turut menyampaikan ucapan penghargaan terhadap penganjuran program tersebut yang dilihat dapat menerapkan unsur pembelajaran aktif, menyeronokkan dan selari dengan pembentukan sahsiah murid.
Tegas beliau,
Pembelajaran berasaskan pengalaman seperti ini membantu murid memahami isu pencemaran, pengurusan sisa dan kelestarian alam secara lebih realistik.
Melalui usaha berterusan ini diharapkan agar lebih banyak institusi pendidikan dapat memanfaatkan permainan bahasa sebagai medium pendidikan alam sekitar yang berkesan dan menyeluruh.
Program selama setengah hari itu diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik serta sesi refleksi bersama fasilitator bagi memperkukuh kefahaman murid tentang peranan mereka sebagai generasi penjaga bumi.