Diterbitkan pada 23 Disember 2025, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa dalam dunia kepimpinan bukanlah sekadar alat untuk memberikan arahan atau menyampaikan maklumat. Bahasa sebenarnya menjadi denyut pemikiran yang menghidupkan sesebuah organisasi, nadi yang mengikat manusia dengan harapan dan keyakinan. Pada setiap kali berlangsungnya istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), apabila Naib Canselor berdiri membacakan teks ucapan di hadapan para graduan, beliau bukan hanya menyampaikan ucapan rasmi yang sudah tersusun di atas kertas. Pada saat itu, beliau sedang menjalankan tugas yang jauh lebih besar, iaitu mengungkapkan identiti universiti melalui rangkaian kata yang dipilih dengan penuh kesedaran, beretorik dan mempunyai kesan makna yang mendalam.

Secara zahirnya, konvokesyen sering dianggap sebagai majlis meraikan kejayaan akademik. Namun bagi UiTM, acara ini sebenarnya lebih daripada sekadar istiadat. Hal ini menjadi ruang pertemuan antara sejarah dengan masa hadapan, medan yang menghadirkan kembali perjuangan generasi terdahulu yang menuntut peluang pendidikan yang setara bagi anak bangsa. Di pentas ini, hadirnya ibu bapa, keluarga dan masyarakat sebagai bukti bahawa ilmu telah menjadi jalan mobiliti sosial yang mengubah nasib Bumiputera. Justeru, setiap kata yang disampaikan oleh pemimpin universiti haruslah membawa makna yang bukan kecil. Tersirat di dalamnya segala pesan tentang nilai, semangat dan tanggungjawab moral yang terikat pada jati diri UiTM itu sendiri.

Penulisan teks ucapan konvokesyen UiTM memperlihatkan pola yang sangat menarik. Daripada ratusan kata yang digunakan, terdapat lima perkataan yang muncul secara konsisten, seolah-olah menjadi tiang yang memegang makna sebuah institusi. Lima perkataan itu ialah “ilmu”, “graduan”, “amanah”, “bangsa” dan “maruah”. Walaupun kelihatan ringkas, kata-kata inilah yang membentuk gambaran menyeluruh tentang cara UiTM memahami peranannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang lahir hasil daripada perjuangan nasional demi memartabatkan pendidikan orang Melayu dan Bumiputera. Hal ini bukan sekadar retorik, tetapi turut memainkan peranan penting bagi menzahirkan misi pendidikan.

Daripada lima kata itu, kata “ilmu” menjadi kata yang paling dominan. Hal ini tidak menghairankan kerana dalam tradisi Melayu dan Islam, ilmu sentiasa dikaitkan dengan martabat dan kecemerlangan tamadun. UiTM sendiri ditubuhkan atas dasar membuka ruang pendidikan kepada anak Melayu dan Bumiputera yang dahulunya tidak memiliki peluang seluas yang sepatutnya. Oleh itu, kata “ilmu” dalam wacana pemimpin UiTM mengandungi dua makna yang saling mendominasi, iaitu ilmu sebagai penguasaan akademik dan ilmu sebagai simbol perjuangan bangsa. Di UiTM, ilmu bukan hanya dipelajari, tetapi diangkat sebagai warisan yang perlu dijaga, disuburkan dan diwarisi dengan penuh kesedaran.

Dalam konteks wacana kepimpinan UiTM, tidak menghairankan jika kata ilmu muncul sebagai pilihan yang paling menonjol. Hal ini berlaku kerana ilmu bukan sekadar konsep akademik, tetapi menjadi asas makna yang dicipta dan diperluas melalui bahasa. Bahasa yang digunakan oleh pemimpin universiti menjadikan ilmu sebagai sesuatu yang hidup bukan hanya fakta dan teori, tetapi simbol perjuangan, kebangkitan dan keyakinan bangsa. Setiap kali kata “ilmu” dilafazkan, kata tersebut membawa gema sejarah tentang cara pendidikan menjadi senjata paling ampuh untuk mengubah struktur sosial Bumiputera. Dengan bahasa yang tersusun, pemimpin UiTM mengangkat ilmu sebagai nilai yang memartabatkan, memerdekakan minda dan mengukuhkan identiti. Maka, pemilihan kata “ilmu” bukan sekadar kecenderungan linguistik, tetapi strategi komunikasi yang mengikat UiTM terhadap tujuan asalnya, iaitu membina bangsa melalui kekuatan pengetahuan.

Sementara itu, kata “graduan” pula membawa dimensi kemanusiaan yang sangat kuat. “Graduan” bagi UiTM bukan sekadar penerima ijazah, tetapi wajah yang membawa ribuan kisah perjuangan. Ada yang berasal dari kampung kecil dan menjadi orang pertama dalam keluarganya menjejakkan kaki ke universiti. Ada anak pekerja bawahan yang tekad membuktikan bahawa latar belakang hidup bukan halangan bagi kecemerlangan. Ada juga anak ibu tunggal yang berjaya menamatkan pengajian selepas melalui kepayahan yang panjang. Kisah begini menjadikan graduan sebagai simbol kejayaan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan bangsa. Sesungguhnya, apabila pemimpin UiTM menyebut “graduan”, mereka merujuk harapan masa hadapan negara yang sedang dipersiapkan.

Perkataan “graduan” disemboyankan sebagai misi dan visi UiTM. Kejayaan mereka dalam dunia sebenar kelak akan menjadi bukti bahawa falsafah pendidikan yang digarap universiti ini benar-benar memberikan kesan. Lantaran itu, setiap kali pemimpin UiTM mengungkapkan kata “graduan” dalam ucapan mereka, maknanya bukan sekadar merujuk individu yang menamatkan pengajian, tetapi kepada generasi pelapis yang dijangka membawa nama universiti dengan penuh wibawa. Dalam konteks itu, bahasalah yang memainkan peranan penting. Melalui retorik sintaksis yang dibina dengan teliti, pemimpin universiti bukan sahaja memberikan penghargaan kepada graduan, tetapi turut menegaskan kembali nilai kecemerlangan, integriti dan kepimpinan yang ingin disemai. Graduan dilihat sebagai bayangan masa hadapan, sebagai wakil yang membawa semangat universiti ke dalam masyarakat, serta sebagai penggerak bagi agenda pemerkasaan bangsa yang telah lama menjadi inti perjuangan UiTM.

Kata “amanah” pula menggarap makna moral yang sangat mendalam. Dalam masyarakat Melayu-Islam, amanah bukan hanya tanggungjawab, tetapi satu kepercayaan yang wajib ditunaikan. Oleh itu, apabila pemimpin UiTM mengulang kata “amanah”, mereka mengingatkan bahawa kewujudan universiti ini sendiri lahir daripada amanah yang diberikan masyarakat Bumiputera dan amanah untuk menyediakan ruang pendidikan berkualiti, amanah untuk membentuk generasi pelapis dan amanah untuk menjaga integriti ilmu. Kata “amanah” mengikat seluruh warga universiti agar sentiasa berlaku jujur, ikhlas dan berpegang pada nilai bertanggungjawab apabila melaksanakan tugas masing-masing.

Amanah tidak hanya terletak pada tanggungjawab memimpin atau menyampaikan ilmu, tetapi juga terserlah melalui bahasa yang digunakan oleh pemimpinnya. Setiap kata yang dipilih dalam ucapan membawa nilai dan nada yang mencerminkan kesedaran terhadap amanah tersebut. Bahasa yang teliti, sopan dan sarat makna menjadi bukti bahawa pemimpin menghormati kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat Bumiputera kepada universiti ini. Melalui bahasa jugalah amanah itu “diserahkan” kepada warga UiTM sebagai peringatan halus bahawa setiap tindakan, keputusan dan usaha mereka perlu berpaksikan kejujuran, integriti dan tanggungjawab. Dengan kata lain, bahasa menjadi wahana yang menghidupkan amanah yang menghubungkan jiwa pemimpin dengan hati pendengarnya dan memastikan nilai yang diwariskan tidak hilang ditelan masa.

Dalam konteks UiTM, kata “bangsa” pula tidak semata-mata membawa maksud etnik. Kata ini mengangkat makna sejarah suatu kelompok masyarakat yang pernah dipinggirkan daripada peluang pendidikan tinggi. UiTM wujud sebagai jawapan bagi perjuangan tersebut, sebagai institusi yang menyediakan ruang yang adil dan sewajarnya kepada anak Melayu dan Bumiputera. Setiap kali kata “bangsa” diulang dalam wacana kepimpinan, hal ini menjadi ingatan bahawa universiti ini ialah projek nasional, satu institusi yang lahir untuk mengangkat jati diri bangsa melalui pendidikan dan pembinaan modal insan.

Kata “bangsa” juga tidak sekadar disebut sebagai identiti, tetapi dibentuk semula maknanya secara halus dan berkesan. Cara perkataan itu diungkapkan dengan nada yang penuh harapan, semangat dan kebersamaan menjadikannya satu panggilan jiwa yang mengingatkan masyarakat tentang akar sejarah mereka. Bahasa yang dipilih pemimpin universiti menghidupkan kembali makna bangsa sebagai satu komuniti yang berkongsi perjuangan, cita-cita dan tanggungjawab bersama. Apabila kata bangsa disebut berulang kali dalam konteks pendidikan, ia mengangkat kesedaran bahawa bangsa tidak wujud tanpa ilmu, tanpa usaha memperbaik diri dan tanpa keinginan untuk bangkit. Dengan cara ini, bahasa bukan sahaja menerangkan makna “bangsa”, tetapi turut memperkukuh dan memperluas pengertiannya dalam jiwa pendengar bahawa bangsa ialah asas kekuatan kolektif yang mesti dipelihara melalui pendidikan dan kesedaran nilai.

Akhir sekali, kata “maruah” muncul sebagai inti bagi makna yang paling sarat dengan emosi. Jika ilmu ialah akar, graduan ialah buah, amanah ialah batang dahan dan bangsa ialah tanah, maka maruah ialah mahkota yang melengkapkan makna UiTM. “Maruah” di sini bukan sekadar harga diri individu, tetapi maruah sebuah komuniti yang ingin melihat anak bangsanya berdiri sama tinggi dalam masyarakat. Maruah ini tampak melalui kejayaan akademik pelajar, melalui pencapaian profesional alumni dan melalui kedudukan UiTM sebagai institusi yang memainkan peranan penting demi pembangunan negara. Setiap pencapaian yang diraih oleh warga UiTM merupakan cerminan maruah kolektif bangsa Bumiputera.

Perkataan “maruah” sewajarnya diungkapkan melalui bahasa kepimpinan yang bukan sekadar menyampaikan konsep harga diri, tetapi turut membentuk persepsi dan kesedaran baharu tentang kedudukan bangsa dalam masyarakat. Nada, pilihan kata dan gaya bahasa yang digunakan untuk menyebut maruah sering membawa getar emosi yang mengajak pendengar merenung kembali diri mereka dan sejauh manakah perjalanan yang telah ditempuhi. Melalui bahasa, maruah diberi nyawa untuk memberikan gambaran tentang perjuangan, kecekalan dan cita-cita bersama untuk berada pada tahap yang lebih bermaruah dalam dunia pendidikan dan kehidupan. Justeru, bahasa yang digunakan untuk menyampaikan makna “maruah” bukan sahaja menjelaskan konsep tersebut, tetapi juga mengangkatnya sebagai simbol kekuatan dalaman, keyakinan diri dan azam bersama untuk terus memperbaik kedudukan bangsa melalui pendidikan.

Keseluruhan lima kata ini membentuk naratif besar yang menerangkan fasa perubahan UiTM. Bahasa yang digunakan oleh pemimpin universiti menjadi jambatan yang menghubungkan sejarah perjuangan dengan aspirasi masa hadapan. Ucapan yang disampaikan turut mengangkat nilai pendidikan, memperkukuh rasa kebersamaan, menanam semangat kebangsaan dan menyatukan komuniti akademik di bawah visi dan misi yang sama.

Kesimpulannya, bahasa bukan sekadar alat yang digunakan untuk menyampaikan maklumat, tetapi turut berfungsi sebagai wahana yang membina tradisi, semangat dan jati diri sesebuah institusi. UiTM menggunakan bahasa untuk memaknai suara pemimpinnya bagi mengekalkan idealisme pendidikan dan memperjuangkan pembangunan intelektual generasi muda. Selagi bahasa kepimpinan terus disulam dengan nilai yang positif, selagi itulah jati diri UiTM akan kekal utuh sama ada pada hari ini, esok dan selama-lamanya selagi pendidikan anak bangsa menjadi keutamaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi