Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kelestarian jati diri bangsa Melayu kini bergantung sepenuhnya pada keberanian untuk melakukan gerakan rakyat yang bersifat holistik demi memartabatkan bahasa dan budaya.
Inti pati utama perjuangan ini bukan sekadar mengekalkan tradisi lama, tetapi menuntut perubahan dasar yang memberikan kuasa perundangan kepada institusi bahasa serta mendigitalkan pemikiran tamadun Melayu agar kekal relevan pada era teknologi maklumat.
Perkara ini menjadi teras utama dalam perhimpunan para tokoh intelektual di bawah naungan Gabungan Nasional bagi memastikan bahasa dan budaya tidak lagi sekadar menjadi hiasan nostalgia, sebaliknya menjadi tulang belakang kedaulatan negara yang berwibawa.
Sesi kedua perbincangan Majlis Pemasyhuran Majlis-majlis di bawah Gabungan Nasionalis dimulakan oleh Pengerusi Majlis Bahasa Negara, YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan. Beliau menegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu kini berhadapan dengan cabaran besar kerana agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya mempunyai kuasa untuk “menasihati, menegur dan membimbing”.
Oleh itu, beliau menggesa agar pindaan Akta DBP dilakukan segera bagi memberikan kuasa undang-undang untuk bertindak terhadap pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan dalam sektor ekonomi, pendidikan dan tempat awam.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah membuktikan bahawa kejayaan perjuangan bahasa dan penubuhan institusi besar seperti DBP dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah hasil desakan gerakan rakyat dan intelektual, bukannya inisiatif kerajaan semata-mata.
Seterusnya, Pengerusi Majlis Pendidikan Bumiputera Negara, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron mengalihkan fokus terhadap kepentingan Falsafah Pendidikan Negara yang harus membina potensi individu serta identiti nasional. Beliau melahirkan kebimbangan terhadap keciciran asas pendidikan.

YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak menegaskan bahawa masa hadapan bahasa Melayu terletak pada pendigitalan ilmu, dan bahasa Melayu mesti dimasukkan dalam sistem kecerdasan buatan (AI) supaya segala khazanah ilmu sains dan sains sosial dalam bahasa tersebut dapat diakses oleh dunia moden.
Menutup sesi tersebut, Pengerusi Majlis Warisan Budaya Negara, YBhg. Dato’ Dr. Abdul Muati @ Zamri Ahmad, pula menekankan bahawa budaya warisan Melayu tidak harus disempitkan pada seni persembahan atau makanan semata-mata.

Beliau berhujah bahawa warisan sebenar ialah “pemikiran” yang dizahirkan melalui artifak seperti keris dan seni bina rumah tradisional.
Melalui penubuhan Muzium Warisan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau berusaha menunjukkan secara visual istilah klasik kepada mahasiswa agar mereka memahami kecanggihan metalurgi dan falsafah di sebalik artifak tersebut. Beliau juga menyeru penggunaan media secara agresif bagi menyebarluaskan kegemilangan tamadun Melayu supaya tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang mistik, tetapi saintifik.
Gabungan Nasionalis merupakan suatu wadah penyatuan yang ditubuhkan untuk memperkasakan perjuangan nasionalisme Melayu melalui empat tonggak utama yang strategik. Majlis ini terdiri daripada Majlis Bahasa Negara (diterajui oleh YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan) yang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, Majlis Perundangan Negara (dipimpin oleh YBhg. Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz) yang bermatlamat mewujudkan “Malaysian Common Law” berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Majlis Budaya dan Warisan Negara (dinakhodai YBhg. Dato’ Dr. Abdul Muati @ Zamri Ahmad) yang mengangkat Islam dan budaya Melayu sebagai teras identiti nasional serta Majlis Pendidikan Bumiputera Negara (dikemudi oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron) yang menyokong pemerkasaan sekolah kebangsaan secara holistik.