Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Agenda memartabatkan bahasa Melayu sebagai teras identiti negara menjadi antara tajuk perbincangan utama dalam Majlis Pemasyhuran Majlis-majlis di bawah Gabungan Nasionalis yang berlangsung di Hotel De Palma Ampang, pagi tadi.
Tokoh yang hadir termasuklah YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan YBrs. Tuan Haji Aminuddin Yahya, yang berkongsi pandangan yang mendalam tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan dijaga kedudukannya dalam arus pemodenan.
Mantan Yang di-Pertua Dewan Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim mengajak masyarakat meninjau semula sejarah bahasa menerusi kanta yang lebih luas.

Beliau menyuarakan satu bentuk keprihatinan atau “lamentasi” terhadap situasi bahasa Melayu masa ini yang dilihat seakan-akan kurang diberikan penekanan sewajarnya, termasuklah dalam kalangan segelintir barisan kepimpinan.
Dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang satu usaha murni bagi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pada tahun 2003, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis telah menyatakan sokongan melalui warkah arahan agar bahasa Melayu diiktiraf sepenuhnya dalam urusan perlembagaan di bawah Artikel 160A.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan rasa terkilan kerana sehingga kini, cadangan tersebut dilihat masih belum membuahkan hasil yang diharapkan. Beliau turut menceritakan bahawa sehingga tahun 2025, isu ini masih dalam perhatian Tuanku Raja Perlis, namun jawapan yang diterima menunjukkan perkara tersebut masih dalam proses pertimbangan pada peringkat pentadbiran.
Selain itu, beliau menyentuh secara halus tentang cabaran komunikasi melibatkan warga asing yang berada di negara ini, tetapi belum menguasai bahasa kebangsaan dengan baik, yang mencerminkan keperluan untuk proses asimilasi yang lebih berkesan.
Senada dengan YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Pengerusi Gabungan Nasionalis, YBrs. Tuan Haji Aminuddin Yahya pula memberikan fokus terhadap aspek pengurusan dan kualiti penguasaan bahasa pada peringkat akar umbi.

Beliau berkongsi kerisauan tentang data yang menunjukkan tahap penguasaan bahasa kebangsaan yang agak membimbangkan dalam kalangan generasi muda, terutamanya prestasi pada peringkat peperiksaan sekolah.
Beliau turut memberikan teguran secara berlapik tentang penggunaan bahasa oleh beberapa agensi kerajaan yang kadangkala dilihat kurang mengutamakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, sedangkan keutamaan mendahulukan bahasa Melayu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab yang digariskan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan.
Antara cadangan utama yang dikemukakan beliau termasuklah pengupayaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menjalankan fungsi pemantauan dengan lebih berkesan serta mengkaji semula Akta DBP supaya agensi tersebut mempunyai keupayaan yang lebih nyata demi memastikan kedaulatan bahasa kebangsaan terus terpelihara pada peringkat agensi dan awam.
Kedua-dua tokoh ini bersepakat bahawa bahasa Melayu kini berhadapan dengan persaingan global, terutamanya melalui penggunaan media sosial yang sering mengabaikan tatabahasa yang betul.
Gabungan Nasionalis merupakan suatu wadah penyatuan yang ditubuhkan untuk memperkasakan perjuangan nasionalisme Melayu melalui empat tonggak utama yang strategik. Majlis ini terdiri daripada Majlis Bahasa Negara (diterajui oleh YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan) yang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, Majlis Perundangan Negara (dipimpin oleh YBhg. Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz) yang bermatlamat mewujudkan “Malaysian Common Law” berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Majlis Budaya dan Warisan Negara (dinakhodai YBhg. Dato’ Dr. Abdul Muati @ Zamri Ahmad) yang mengangkat Islam dan budaya Melayu sebagai teras identiti nasional serta Majlis Pendidikan Bumiputera Negara (dikemudi oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron) yang menyokong pemerkasaan sekolah kebangsaan secara holistik.