Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan mengambil langkah tegas untuk menamatkan polemik bahasa yang berlarutan dengan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia bagi semua sistem pendidikan di negara in termasuklah sekolah antarabangsa, Sekolah Agama Rakyat (SAR), Maahad Tahfiz serta sekolah persendirian (termasuk UEC).

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim ketika merasmikan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 menegaskan bahawa ketetapan ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar tentang kedudukan bahasa serta status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, lingua franca dan bahasa ilmu.

“Negara ini telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Oleh itu, penguasaan bahasanya bukan sekadar menguasai tetapi harus ditingkatkan sebagai bahasa lingua franca dan juga bahasa ilmu. Justeru, kurikulum bahasa di sekolah dan universiti juga harus ditingkatkan seiring dengan tuntutan masa,” ujar beliau.

“Bila diperkenalkan pembakuan, maka penyeragaman dan mutu penguasaannya perlulah ditingkatkan. Sebab itu, mulai sekarang, keperluan bahasa (dengan mutu yang baik) menuntut supaya semua sistem pendidikan dalam negara mewajibkan Bahasa Melayu di sekolah mengikut kurikulum Kementerian Pendidikan, sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Anak-anak Malaysia di sekolah antarabangsa tanpa pengecualian diwajibkan mengambil ujian Bahasa Melayu SPM dan juga Sejarah Malaysia,” kata beliau ketika berucap dalam majlis tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Beliau menekankan bahawa syarat ini terpakai kepada anak-anak Malaysia di sekolah antarabangsa tanpa pengecualian. Turut tertakluk pada arahan ini adalah lebih 400,000 pelajar di SAR dan Maahad Tahfiz. YAB Perdana Menteri mengingatkan bahawa penyaluran bantuan kerajaan adalah bersyarat dengan pematuhan dasar ini, walaupun kerajaan memberikan jaminan tidak akan mengganggu manhaj tarbiah institusi agama tersebut.

Menyentuh tentang isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), YAB Dato’ Seri Anwar menyatakan bahawa kontroversi berkenaan dengan laluan ke pendidikan tinggi tidak harus timbul lagi sekiranya syarat wajib Bahasa Melayu dan Sejarah ini dipatuhi.

Pada masa yang sama, beliau turut menggariskan keperluan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

“Bagi memupuk perpaduan dan penguasaan pelbagai bahasa, Kementerian Pendidikan juga perlu menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi bagi bahasa pilihan seperti Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab di sekolah kebangsaan untuk dipelajari oleh murid pelbagai kaum.”

Kredit Foto: Media Rasmi Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi