Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai tonggak utama sistem pendidikan negara.
Langkah ini selaras dengan penekanan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim semasa pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang menyasarkan pembinaan negara bangsa melalui pengukuhan jati diri dan nilai kemanusiaan bagi melahirkan modal insan cemerlang.
Dalam kenyataan medianya semalam, DBP menegaskan komitmen untuk mengoptimumkan potensi murid melalui strategi peningkatan kemahiran literasi dan keterampilan berbahasa. Usaha ini melibatkan penerbitan pelbagai bahan bacaan termasuk buku bergambar, novel kanak-kanak dan remaja, kumpulan cerpen serta karya sastera bagi memantapkan kosa kata bermula pada peringkat awal persekolahan.
Pengukuhan budaya membaca turut diberikan tumpuan utama sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2030 demi meningkatkan kadar literasi nasional.
Bagi membina karakter dan bakat murid, DBP menyediakan platform khusus seperti program Minggu Penulis Kanak-kanak dan Minggu Penulis Remaja.
Selain itu, aktiviti lisan dan tulisan seperti pidato, debat, forum, deklamasi puisi, teater dan wacana ilmu terus digalakkan merentas pelbagai aliran sekolah bagi memupuk kecekapan berbahasa.
Pada peringkat pengajian tinggi, DBP mendukung tiga aspirasi dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2030 yang meliputi aspek bakat, institusi dan ekosistem pendidikan. Bahasa Melayu akan terus diperkasakan sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran umum seperti Sejarah Malaysia.
Bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa, DBP turut menyokong penganjuran program wacana, forum dan pengukuhan seni orator. Penghayatan bahasa dan sastera juga diperluas menerusi sesi bersama-sama dengan Sasterawan Negara dan tokoh bahasa, serta program kupasan khazanah persuratan karya agung.
Selain itu, DBP menyediakan ruang penulisan bagi mahasiswa untuk berkarya melalui penerbitan majalah, jurnal, dan buku, sama ada dalam bentuk bercetak mahupun digital menerusi portal JendelaDBP.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa peluasan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu diperkukuh melalui kerjasama strategik antara DBP dengan universiti. Kolaborasi ini bertujuan menghasilkan bahan ilmiah berkualiti tinggi dan penyelidikan yang menjadi penghubung antara ahli akademik dengan masyarakat.
Secara keseluruhannya, pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan membuktikan peranannya yang relevan sepanjang zaman dalam membentuk modal insan yang beridentitikan kebangsaan.