Diterbitkan pada 30 Januari 2026, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak menetapkan empat pendekatan strategik bagi mendepani pelaksanaan program dan aktiviti sepanjang tahun 2026.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail dalam amanatnya sempena Perhimpunan Bulanan Bil.1/2026 semalam berkata, langkah itu penting bagi memastikan peranan organisasi tersebut kekal berimpak tinggi dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Pendekatan pertama menekankan keperluan karyawan untuk melaksanakan perubahan atau islah dengan berfikir secara kreatif dan inovatif dalam setiap tugasan. Menurut beliau, setiap program yang dilaksanakan perlu memberikan impak besar bagi menjadikan bahasa kebangsaan sebagai asas pembinaan negara bangsa.

Selain itu, beliau turut menggariskan kepentingan tahun 2026 sebagai tahun untuk melakar kejayaan yang lebih cemerlang.

“Pada tahun ini, DBP akan mencapai usia 70 tahun dan merupakan permulaan Perancangan Strategik 2026-2030. Oleh itu, DBP Cawangan Sarawak perlu menjadi pelaku utama bagi memastikan organisasi ini unggul dalam aspek pemerkasaan bahasa kebangsaan,” katanya.

Bagi memastikan penyampaian maklumat yang meluas, DBP Cawangan Sarawak akan memperkukuh jalinan kerjasama strategik dengan pihak media massa. Kerjasama dengan rakan media seperti Suara Sarawak, atau Jabatan Penyiaran Malaysia melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan (JaPEN) akan diperkasakan agar setiap program DBP sentiasa dekat di hati masyarakat.

Pendekatan terakhir yang ditekankan ialah budaya bekerja secara berpasukan. Beliau menyeru agar semua karyawan bergerak sebagai satu pasukan yang mantap. Menurut beliau, hal ini menjadi faktor utama terhadap kekuatan organisasi demi mencapai matlamat penubuhannya.

Perhimpunan yang diadakan di ibu pejabat DBP Cawangan Sarawak itu dihadiri oleh seluruh warga kerja jabatan tersebut sebagai pemula agenda kerja bagi tahun 2026.

Kredit Foto: DBP Cawangan Sarawak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi