Diterbitkan pada 8 Februari 2026, 19:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Pemerkasaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara tidak wajar dilihat sebagai satu keperluan akademik semata-mata, sebaliknya perlu difahami sebagai proses menyeluruh dalam pembinaan diri pelajar yang merangkumi aspek intelektual, sahsiah dan jati diri kebangsaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, penguasaan bahasa kebangsaan merupakan asas fundamental dalam membentuk cara berfikir, berkomunikasi serta menilai realiti kehidupan dengan beradab dan beretika.  

Berucap dalam Majlis Seminar Kecemerlangan Bahasa Melayu di SMJK(C) Chung Hwa hari ini, beliau menegaskan bahawa pelajar sekolah merupakan kelompok utama yang akan menentukan kesinambungan penggunaan bahasa Melayu pada masa hadapan.  

“Melalui penggunaan bahasa Melayu yang berdisiplin dalam pembelajaran, penulisan akademik dan interaksi harian, pelajar berupaya membina keyakinan diri, memperkukuh keupayaan berfikir secara kritis dan membentuk sikap bertanggungjawab sebagai warganegara,” ujar beliau.  

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari menyampaikan ucap utama di SMJK(C) Chung Hwa, Kota Bharu hari ini.

Mengulas mengenai peranan DBP, beliau menyatakan bahawa pendedahan berterusan terhadap program pemerkasaan bahasa dan sastera yang dilaksanakan oleh agensi tersebut memberikan ruang kepada pelajar untuk mengembangkan bakat kepimpinan dan daya intelektual.  

Jelasnya, pelibatan aktif dalam wacana ilmiah dan apresiasi sastera melatih pelajar untuk berfikir secara reflektif serta berkomunikasi dengan yakin sambil menghormati kepelbagaian dalam kerangka perpaduan nasional.  

“Pelajar perlu menyedari bahawa penguasaan bahasa Melayu merupakan aset peribadi yang membentuk kekuatan diri dan hala tuju masa hadapan,” katanya.  

Beliau turut menambah bahawa selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, generasi pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia akan lahir apabila bahasa Melayu benar-benar dihayati sebagai bahasa ilmu, bahasa nilai dan bahasa peradaban.  

“Dengan iltizam dan kesedaran yang berterusan, pelajar bukan sahaja menjadi pengguna bahasa Melayu yang baik, malah tampil sebagai pewaris dan pemelihara maruah bahasa kebangsaan dalam membina masa hadapan negara,” katanya mengakhiri ucapan.

Ucap utama “Memperkasakan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Jati Diri Pelajar” ini disampaikan oleh Dr. Hazami dalam majlis Kem Bahasa Melayu (KEBAYU).

Sebanyak seribu pelajar dari SMJK(C) Chung Hwa dan beberapa sekolah sekitar menyertai kem tersebut.

Kredit Foto: Mohamad Hazlin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi