Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa Melayu merupakan instrumen komunikatif yang mampu menyampaikan gagasan syariat Islam ke ruang Nusantara ini. Lebih signifikan apabila perkara berkenaan dapat mengungkapkan wacana pemikiran serta perbahasan yang berkaitan dengan hukum melalui 30 aksara Jawi yang diinspirasikan daripada huruf Arab. Di bumi Johor sendiri, hal hebat tersebut telah berlaku sekitar kurun ke-20 melalui catatan fatwa oleh Syed Alwe Tahir Al-Hadad, iaitu Mufti Keempat (1934-1941) dan Mufti Keenam (1947-1961). Fatwa daripada beliau yang berkaitan dengan isu akidah, ibadat, munakahat, muamalat serta permasalahan masyarakat telah dibukukan oleh Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor pada tahun 1977. Lantaran itu, kita dapat menyaksikan bahawa bahasa Melayu bertulisan Jawi sememangnya mampu untuk menampung wacana besar yang berkaitan dengan hukum buat tatapan masyarakat sezaman waktu itu selain kanta retrospektif kepada generasi kini.
Hal Ehwal Rukun Islam
Himpunan fatwa Syed Alwe Tahir Al-Hadad yang ditulis dalam tulisan Jawi boleh dianggap sebagai satu daripada rujukan penting bagi masyarakat Johor. Fatwa ini bukan sahaja diulang cetak, malah mendapat pengesahan daripada badan berautoriti negeri, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam amalan keagamaan masyarakat. Bermula dengan persoalan bersuci daripada hadas besar dan kecil, perbincangan yang dihimpunkan turut meliputi ibadat utama seperti solat, zakat, puasa dan haji. Keadaan ini memperlihatkan bahawa amalan Islam bukan sekadar difahami secara teori, tetapi benar-benar hidup dalam kehidupan seharian masyarakat. Dalam suasana komunikasi yang terbatas, orang awam tetap aktif mengemukakan persoalan melalui surat-menyurat, meskipun terpaksa menunggu jawapan dalam tempoh yang panjang. Kesediaan mufti menjawab pelbagai persoalan, termasuk hal berkaitan lelaki dan perempuan tanpa membezakan kepentingan antara keduanya, mencerminkan sikap keterbukaan dan keprihatinan terhadap kemaslahatan umat.
Lebih penting, bahasa Melayu yang digunakan dengan sulaman tulisan Jawi untuk menyampaikan fatwa ini digarap dalam nada bahasa mendidik. Pendekatan ini setidak-tidaknya dapat menjadi perantara untuk masyarakat membaca dan memahami perkara itu dengan rasa yang positif tanpa berbentuk kecaman seperti yang lazimnya berlaku pada hari ini atas nama sindiran serta kecaman berbalut nama agama. Hal ini sedikit berbeza dengan kontroversi yang pernah terpalit terhadap Syed Alwe Tahir Al-Hadad menerusi konflik komentarnya kepada masyarakat Islam Indonesia khususnya dalam isu Ahmadiah (Qadiani) hingga mendorong Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) menulis buku Teguran Suci dan Jujur terhadap Mufti Johor. Daripada peristiwa ini, dapat difahami bahawa penyampaian maklumat berkaitan dengan syariat Islam menuntut pendekatan yang berhikmah, lunak dan dekat dengan bahasa masyarakat, agar tujuan dakwah dapat dicapai tanpa menimbulkan salah faham.
Seiring dengan suasana masyarakat di Johor yang bergerak ke arah gaya hidup sihat, Al-Hadad turut terlibat dalam fatwa berkaitan dengan kesihatan. Kemusykilan yang timbul termasuklah isu pengambilan suntikan perubatan dan amalan menderma darah. Yang berikut merupakan contoh jawapan Al-Hadad yang telah dirumikan tentang hukum menderma darah pada bulan Ramadan untuk seseorang yang sedang berpuasa:
“Tidak batal puasanya menurut mazhab Syafii, hanya sekadar makruh dan setengah ulama mengatakan batal puasa.”
Selain itu, masyarakat juga banyak bertanya soalan fatwa yang berkaitan dengan akidah pada konteks masa itu. Isu terbabit tidak tertumpu pada permasalahan di Tanah Melayu semata-mata, tetapi turut melibatkan isu pada peringkat antarabangsa termasuklah berita mufti Mesir mengkafirkan golongan Ahmadiyah (Qadiani). Al-Hadad juga satu pihak telah menjawab beberapa persoalan seperti agama sesat (Taslim), di samping hukum beramal dengan naskhah kontroversi sezaman, iaitu buku Mengenal Diri Sendiri. Pastinya, perbahasan tentang isu tersebut tidak dapat dikemukakan secara panjang lebar di sini atas keterbatasan ruang penulisan. Akan tetapi, dari situlah kita dapat memperluas penelitian lanjut dalam wacana ilmiah lain buat manfaat masyarakat.
Persoalan dalam Pemikiran Masyarakat
Bertindak selaras dengan suara masyarakat, Al-Hadad pada satu pihak turut mengemukakan fatwa berkaitan dengan persoalan di luar tanah Arab. Perkara ini bertitik-tolak dari keadaan geografi masyarakat serta ruang interaksi mereka yang berada di alam Melayu sekitar kawasan kepulauan serta perairan laut dan sungai. Dari situ, timbullah persoalan yang barangkali tidak terdapat pada zaman para sahabat ataupun para ulama dalam kerajaan awal Islam baik di Timur Tengah mahupun di bahagian benua Eropah, tetapi masih boleh diikhtiarkan dari segi hukum melalui qias. Kewujudan fatwa seumpama ini memberikan isyarat bahawa syariat Islam bersifat syumul serta fleksibel mengikut situasi masyarakat setempat asalkan masih selari dengan ketetapan al-Quran dan hadis. Di bawah ini merupakan bukti fatwa daripada Al-Hadad yang berkaitan dengan persoalan masyarakat tentang penggunaan jarum suntikan yang pernah digunakan kepada babi lalu dicucuk kepada ayam:

Hakikat bahawa fatwa di atas ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi membuktikan bahawa bahasa tempatan bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi wahana autoriti hukum dan keilmuan di Johor. Tulisan Jawi pada ketika itu berfungsi sebagai medium rasmi penyampaian fatwa mufti kepada masyarakat, sekali gus menegaskan tahap literasi agama dan bahasa yang tinggi dalam kalangan rakyat. Lebih penting, keadaan ini menunjukkan bahawa meskipun pengaruh British mulai memperkenalkan tulisan Rumi, masyarakat Johor masih berakar kuat dengan Jawi sebagai bahasa ilmu dan hukum. Hal ini merupakan satu realiti yang semakin terhakis dalam konteks masyarakat hari ini. Sokongan terhadap perkara ini terbukti apabila fatwa daripada Al-Hadad turut mencakupi persoalan sezaman masyarakat ketika itu seperti hukum memakan daging penyu, haiwan yang mati kerana tembakan senapang buruan serta hukum memakan tenggiling.
Aksara Jawi di Luar Teks Fatwa Syed Alwe Tahir Al-Hadad
Di luar wacana fatwa kita di sini, aksara jawi sememangnya telah membumi sebagai instrumen penulisan serta komunikasi rasmi di Johor semasa Al-Hadad bergelar mufti. Pelbagai urusan rasmi kerajaan sama ada urusan surat-menyurat, urus tadbir pentadbiran dan edaran Warta Agama Johor turut ditulis dalam tulisan berkenaan. Hal ini memperlihatkan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja telah mengangkat kedudukan tulisan Jawi, malahan usaha seumpama itu dapat menambah nilai yang ada pada tulisan itu sendiri. Penambahan nilai ini memberikan isyarat betapa tulisan Jawi yang mengadunkan bahasa Melayu dengan elemen syariat Islam telah membentuk satu medium komunikasi pemikiran antara pihak berautoriti dengan masyarakat. Bahagian Penerbitan Pejabat Agama Johor kemudiannya meneruskan kesinambungan ini dalam bentuk percetakan buku fizikal supaya teks fatwa atau naskhah yang berkaitan dengan Pendidikan Agama Islam dapat dibaca oleh segenap lapisan masyarakat.
Dalam konteks hari ini, tulisan Jawi yang menjadi lidah untuk mengungkapkan bahasa Melayu di Johor kekal tersimpan di arkib khususnya Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor. Dengan adanya inventori dokumen langka secara sistematik ini, pemeliharaan dan penjagaan teks berkaitan Islam di Johor dapat dijamin dari segi ketahanannya supaya dapat dibaca ataupun dirujuk oleh penyelidik kini. Secara implisit, perkara ini memberikan gambaran yang jelas bahawa selain teks fatwa yang dibincangkan di sini, masih terdapat koleksi lain yang berkaitan dengan perbincangan syariat Islam di Johor. Fail yang telah dinamakan semula dengan kod khusus arkib seperti J/UG (Pejabat Ugama) dan J/KAD (Pejabat Kadi) telah menjadi bukti fizikal bahawa bahasa Melayu bertulisan Jawi pernah menjadi perbendaharaan terhadap penyelesaian hukum yang terkait dengan kemaslahatan masyarakat. Mesej ini secara jelas menunjukkan kita bahawa teks fatwa Syeikh Al-Hadad tidak berdiri sendiri pada zamannya, tetapi turut diiringi oleh dokumen lain yang sememangnya kaya dengan perbahasan dan berkaitan dengan syariat Islam sekiranya kita teliti satu persatu.
Kembali kepada teks fatwa yang diceritakan di sini, ternyata keberadaannya itu tidak lapuk di hujan dan tidak lekang di panas. Mengapakah perlu dikatakan demikian? Hal ini kerana segalanya tidak dapat lari dari nilai sejarah yang ada pada tulisan Jawi itu sendiri, selain isinya tentang hukum-hakam Islam dengan memposisikan bahasa Melayu sebagai wadah wacana. Bukti konkrit untuk pernyataan ini dapat dilihat melalui kata pengantar oleh Dato’ Abdul Jalil bin Haji Arifin, Yang Dipertua Jabatan Agama Johor dengan kata-kata futuristik:
“Saya percaya kaum muslimin di negeri Johor khasnya dan di seluruh Malaysia amnya akan menyambut baik penerbitan buku ini yang diberi nama Kumpulan Fatwa-fatwa Mufti Johor, di dalamnya ada terkumpul berbagai-bagai masalah agama yang dikemukakan oleh kaum muslimin muslimat semasa Allahyarham itu menjawat jawatan Mufti Kerajaan Johor dari tahun 1936 hingga ke tahun 1961, dari berbagai-bagai masalah agama yang telah beliau jawab dan saya rasa amat berguna bagi kita semua. Moga-moga dengan terbitnya buku ini dapat menambah serta mendalami pengetahuan kita dalam selok-belok hukum agama Islam yang maha suci menurut lunas yang sebenarnya.”
Sebagai penutup bicara, eloklah jika penulisan ini dicermati buat seketika untuk kita memahami bahawa bahasa Melayu bertulisan Jawi cukup harmoni dengan syariat Islam dalam satu simbiosis ilmiah. Keberadaan aksara yang unik ini telah menghidupkan masyarakat dengan ruang kehidupan berasaskan hukum Islam terutama dalam apa-apa isu yang bersifat semerta dan perlukan jawapan segera. Untuk hari esok atau beberapa tempoh akan datang, wajar juga agar karya ini didalami dengan lebih kritis untuk menghasilkan satu analisis dalam kajian lebih lanjut. Barangkali situasi sosial masyarakat dan penyaluran masuk wacana berkaitan Islam di Johor dapat dibongkar dengan lebih terperinci dalam satu kajian pada peringkat tinggi. Bagi masyarakat awam, barangkali karya ini dapat dibaca sebagai satu sumber tambahan ilmu pengetahuan, manakala penerbit berautoriti seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seharusnya mempunyai inisiatif bagi mengangkat hasil penulisan seperti ini sebagai produktiviti era moden dunia perbukuan.
Dr. Noorilham Ismail ialah pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.