Diterbitkan pada 4 Mac 2026, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tumpat – Munsyi Dewan (Bahasa) merupakan individu yang ditauliahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pakar rujuk bahasa yang berperanan membimbing masyarakat tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul, indah dan berkesan, sama ada dalam penulisan mahupun lisan. Mereka bukan sekadar pencinta bahasa, bahkan pendidik yang membawa obor ilmu bahasa ke tengah masyarakat, sekolah dan institusi.

Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) menyemarakkan aktiviti bahasa Melayu dan memanfaatkan Munsyi Dewan dengan mengadakan Program “Bersama-sama Munsyi Dewan 2026” bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Tze, Tumpat. Program ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Tumpat dan SJKC Yuk Tze serta melibatkan penyertaan sebanyak 250 orang murid pelbagai kaum.

Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza Che Ismail berkata,

Program ini merupakan satu daripada usaha berterusan DBPWT demi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Program ini juga penting bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid melalui bimbingan langsung oleh Munsyi Dewan.

Beliau turut mengharapkan agar program ini dapat memupuk minat dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan sejak dari peringkat sekolah rendah, selain memperkukuh kerjasama strategik antara DBPW dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

“Saya amat berharap, usaha ini dapat memupuk jati diri murid pelbagai kaum yang sayang akan bahasa Melayu, melahirkan generasi muda yang yakin berbahasa kebangsaan, mampu berkomunikasi dengan baik serta menghargai nilai estetika dan kesantunan berbahasa Melayu dalam kehidupan seharian.”

Menutup ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam program tersebut.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan, guru dan murid tujuh buah sekolah undangan, iaitu SJKC Yuk Tze, SK Kelaboran, SK Tumpat, SK Sri Tumpat 1, SK Sri Tumpat 2, SK Berangan 2 dan SK Palekbang yang turut hadir menimba ilmu dan menyokong usaha DBP dalam memperkasakan bahasa Melayu.

Pegawai PPD Tumpat, Encik Rozeman Din ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program tersebut.

Terdahulu, Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, Encik Rozeman Din dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Kami amat berterima kasih kepada DBPWT yang memilih sekolah di daerah Tumpat. Program ini selari dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM 2026-2035), iaitu melahirkan murid yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan dan menekankan tentang penguasaan dan lulus cemerlang mata pelajaran Bahasa Melayu.”

Program ini dibimbing oleh YBrs. Tuan Haji Muhammad Daud, iaitu Munsyi Dewan (Bahasa) yang membawakan tajuk “Citra Bahasa Melayu”. Antara tetamu yang hadir termasuklah Guru Besar SJKC Yuk Tze, Puan Ong Sheau Tyng dan Yang Dipertua PIBG SJKC Yuk Tz, Encik Wee Cheng Chin serta guru pengiring dari sekolah yang terlibat.

Kredit Foto: WEE SIOK FUNG
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi