Diterbitkan pada 12 Mac 2026, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam budaya masyarakat Melayu, ungkapan “Selamat Hari Maaf Zahir Batin” biasanya diucapkan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai simbol penyucian hubungan sosial selepas bulan Ramadan. Bulan Ramadan dianggap sebagai tempoh untuk membaiki diri melalui ibadat, kesabaran dan muhasabah. Oleh hal yang demikian, apabila tiba Hari Raya Aidilfitri, masyarakat mengambil kesempatan untuk saling bermaafan sebagai tanda memulakan lembaran baharu dalam hubungan sesama manusia.

Amalan memohon maaf zahir dan batin ini juga menjadi sebahagian daripada tradisi sosial yang mengukuhkan nilai kekeluargaan dan perpaduan dalam masyarakat. Pada hari raya, ungkapan tersebut sering diucapkan secara lisan sambil berjabat tangan sebagai tanda keikhlasan dan penghormatan. Tradisi ini menunjukkan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi turut berfungsi sebagai medium yang mengekalkan nilai budaya dan keharmonian sosial dalam kalangan masyarakat Melayu.

Penggunaan singkatan dalam komunikasi digital merupakan fenomena yang semakin meluas seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi. Dalam persekitaran komunikasi yang pantas seperti mesej teks, aplikasi sembang dan platform media sosial, pengguna bahasa cenderung memilih bentuk bahasa yang lebih ringkas dan mudah ditaip. Keadaan ini menyebabkan penggunaan singkatan menjadi semakin lazim dalam komunikasi harian. Dalam bahasa Inggeris misalnya, singkatan seperti “LOL” (laugh out loud), “OMG” (oh my God) dan “FYI” (for your information) sering digunakan dalam mesej ringkas bagi menjimatkan masa menaip serta memudahkan penyampaian maklumat. Singkatan tersebut telah menjadi sebahagian daripada budaya komunikasi digital dan digunakan secara meluas oleh pengguna media sosial di seluruh dunia. Dalam banyak situasi, bentuk singkatan ini dianggap sebagai norma komunikasi tidak formal dalam talian.

Dalam bahasa Melayu, fenomena yang sama turut berlaku. Pengguna media sosial sering menggunakan pelbagai bentuk singkatan dalam komunikasi harian bagi mempercepat proses menaip mesej serta menyesuaikan komunikasi dengan sifat media digital yang pantas. Antara contoh singkatan yang sering digunakan termasuklah “T.K” (terima kasih), “sy” (saya), “yg” (yang), “dgn” (dengan), “utk” (untuk), “x” (tidak), “brp” (berapa), “sbb” (sebab), “dlm” (dalam), “kpd” (kepada), “pd” (pada) dan banyak lagi. Penggunaan singkatan ini biasanya berlaku dalam konteks komunikasi santai seperti mesej peribadi, perbualan dalam aplikasi sembang atau komen di media sosial. Fenomena ini menunjukkan bahawa bahasa dalam komunikasi digital cenderung menjadi lebih ringkas, padat dan bersifat praktikal.

Kecenderungan menggunakan singkatan ini juga berkaitan rapat dengan ciri komunikasi digital yang menekankan kelajuan dan kecekapan penyampaian maklumat. Pengguna media sosial sering menulis mesej secara spontan dan tidak formal. Hal ini menyebabkan mereka lebih cenderung menggunakan bentuk bahasa yang paling mudah. Oleh itu, singkatan menjadi satu daripada strategi linguistik yang memudahkan komunikasi dalam ruang digital.

Walau bagaimanapun, penggunaan singkatan “SHRMZB” berbeza daripada singkatan biasa kerana singkatan ini melibatkan ungkapan budaya yang sangat penting dalam masyarakat. Kebanyakan singkatan seperti “sy” “yg” atau “dgn” hanya melibatkan pemendekan perkataan yang bersifat biasa dalam komunikasi harian. Sebaliknya, singkatan “SHRMZB” merujuk ungkapan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin, iaitu ungkapan yang sarat dengan nilai budaya, kesantunan dan simbolik dalam masyarakat Melayu.

Selain implikasi budaya, penggunaan singkatan seperti “SHRMZB” turut memberikan kesan yang signifikan terhadap pendidikan bahasa, khususnya dalam kalangan murid sekolah. Fenomena ini semakin ketara apabila generasi muda membesar dalam persekitaran komunikasi digital yang sarat dengan penggunaan bahasa ringkas dan tidak formal. Dalam situasi sedemikian, bentuk bahasa yang digunakan dalam media sosial sering menjadi rujukan utama dalam komunikasi harian mereka. Keadaan ini secara tidak langsung mempengaruhi cara murid memahami dan menggunakan bahasa dalam konteks pembelajaran di sekolah. Normalisasi penggunaan singkatan dalam komunikasi digital semakin mengaburkan pemahaman murid terhadap tatabahasa baku bahasa Melayu.

Apabila bentuk singkatan seperti “SHRMZB” digunakan secara meluas dalam interaksi harian, murid berpotensi menganggap bentuk tersebut sebagai sesuatu yang lazim dan boleh diterima dalam semua konteks bahasa. Akibatnya, perbezaan antara bahasa tidak formal yang digunakan dalam komunikasi santai dengan bahasa formal yang digunakan dalam konteks pendidikan menjadi semakin kabur. Murid tidak lagi melihat keperluan untuk menggunakan bentuk bahasa yang lengkap dan tepat apabila menulis dalam tugasan sekolah atau karangan akademik.

Murid yang telah terbiasa dengan penggunaan singkatan dalam komunikasi harian juga cenderung mengabaikan struktur ayat yang lengkap dan gramatis. Kebiasaan menaip mesej secara ringkas dan spontan menyebabkan mereka kurang memberikan perhatian terhadap aspek tatabahasa seperti susunan frasa, penggunaan imbuhan dan pembentukan ayat yang betul. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan penguasaan bahasa Melayu standard kerana murid tidak lagi terdedah secara konsisten terhadap bentuk bahasa yang lengkap dalam komunikasi harian mereka.

Selain itu, penggunaan singkatan yang berlebihan juga boleh menjejaskan kepekaan murid terhadap keindahan dan ketepatan bahasa. Bahasa yang lengkap dan gramatis sebenarnya membantu murid memahami struktur pemikiran yang tersusun serta menyampaikan idea dengan lebih jelas. Apabila murid terbiasa menggunakan bentuk bahasa yang terlalu ringkas, mereka mungkin mengalami kesukaran untuk mengembangkan idea. Situasi ini boleh memberikan kesan terhadap keupayaan mereka untuk menghasilkan karangan yang baik serta menyampaikan hujah secara sistematik.

Pada era digital kini, pendidikan bahasa tidak lagi tertumpu pada penguasaan tatabahasa semata-mata, tetapi turut melibatkan aspek literasi digital. Literasi digital merujuk keupayaan individu untuk memahami, menilai dan menggunakan bahasa secara berkesan dalam persekitaran komunikasi digital. Dalam konteks ini, pendidikan bahasa perlu mengambil kira perubahan cara manusia berkomunikasi agar murid bukan sahaja mahir menggunakan bahasa dengan betul, tetapi juga mampu menyesuaikan penggunaan bahasa mengikut situasi komunikasi yang berbeza. Sehubungan dengan itu, murid perlu dididik untuk memahami konteks penggunaan bahasa yang sesuai dalam pelbagai situasi komunikasi. Mereka perlu menyedari bahawa bahasa yang digunakan dalam komunikasi santai di media sosial tidak semestinya sesuai digunakan dalam konteks formal seperti penulisan akademik, komunikasi rasmi atau urusan profesional.

Kefahaman tentang perbezaan konteks ini penting bagi memastikan murid dapat menggunakan bahasa Melayu dengan baik dalam pelbagai keadaan. Pemeliharaan bahasa Melayu juga memerlukan kesedaran daripada pelbagai pihak. Usaha memartabatkan bahasa tidak boleh dipikul oleh institusi pendidikan sahaja, tetapi perlu melibatkan peranan pendidik, ibu bapa, pengguna media sosial serta pencipta kandungan digital. Guru dan pensyarah berperanan membimbing generasi muda menggunakan bahasa baku, manakala ibu bapa boleh menjadi contoh dalam komunikasi harian di rumah. Pada masa yang sama, pencipta kandungan digital turut memainkan peranan penting dalam usaha membentuk budaya bahasa kerana kandungan yang dihasilkan oleh mereka sering ditonton oleh generasi muda.

Walaupun singkatan ini memudahkan komunikasi dalam media sosial, penggunaannya turut membawa implikasi terhadap bahasa, budaya dan pendidikan bahasa, khususnya apabila ungkapan yang sarat dengan nilai budaya dipendekkan menjadi bentuk yang ringkas. Oleh itu, masyarakat perlu lebih peka terhadap cara bahasa digunakan dalam komunikasi digital. Penggunaan bahasa yang tepat bukan sahaja penting untuk memastikan mesej disampaikan dengan jelas, tetapi juga berperanan dalam usaha memelihara nilai budaya yang terkandung dalam bahasa tersebut. Dengan kesedaran dan usaha daripada pelbagai pihak, keindahan dan keutuhan bahasa Melayu dapat dipelihara serta diperkukuh sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan identiti bangsa dalam usaha menghadapi cabaran era digital.

Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi