Diterbitkan pada 29 April 2026, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus dimartabatkan sebagai lambang identiti negara tanpa mengetepikan kepentingan bahasa ibunda dan  antarabangsa.

Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Dr. Ramalinggam Rajamanickam berkata, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta diperkukuh menerusi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Menurut beliau, bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perpaduan yang menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Bahasa inilah lambang identiti kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita wajib berbahasa Melayu dengan baik kerana bahasa ini menjadi asas muafakat dan perpaduan negara,” katanya ketika merasmikan Program Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan Sekolah Jenis Kebagsaan Tamil (SJKT) Tahun 2026 di SJKT Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada petang tadi.

Beliau berkata, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan bukan bermaksud meminggirkan bahasa lain, sebaliknya perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan rakyat.

Katanya, bahasa Tamil tetap penting sebagai bahasa warisan masyarakat India, manakala bahasa Inggeris pula mempunyai peranan besar sebagai bahasa antarabangsa yang mampu meningkatkan daya saing negara pada peringkat global.

“Namun begitu, sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu tetap bahasa kita dan perlu diberikan tempat utama terutama dalam majlis rasmi serta urusan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memuji pencapaian sekolah-sekolah Tamil di negara ini yang menunjukkan tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan murid.

Menurutnya, murid-murid bukan sahaja mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik, malah dapat menggunakan tatabahasa dan ejaan yang betul.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan aspek lebih penting ialah pembinaan jati diri terhadap bahasa kebangsaan, termasuklah rasa bangga, hormat dan kesediaan menggunakan bahasa tersebut dalam kehidupan seharian.

“Kita bukan sekadar mahu anak-anak boleh bercakap bahasa Melayu, tetapi kita mahu mereka bangga menggunakan bahasa itu sebagai bahasa negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Program Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia (PERTAMA) dengan kerjasama DBP, PERTAMA Negeri Sembilan, pihak sekolah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta merupakan langkah tepat dalam menyemai semangat cintakan bahasa kebangsaan.

Aktiviti berkaitan dengan pemerkasaan bahasa Melayu telah berlangsung pada sesi pagi Program Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan Sekolah Jenis Kebagsaan Tamil (SJKT) Tahun 2026 di SJKT Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Katanya, program seumpama itu bukan sahaja menggalakkan penggunaan bahasa yang betul, malah membentuk generasi muda yang memahami nilai bahasa sebagai teras kenegaraan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar menjadi contoh teladan dalam penggunaan bahasa yang baik termasuklah memastikan dokumen rasmi, bahan bercetak dan komunikasi harian menggunakan bahasa yang gramatis serta tepat.

“Kepimpinan melalui teladan sangat penting. Jika pemimpin menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik, maka anak-anak murid juga akan mencontohinya,” katanya.

Menurut beliau, DBP sentiasa bersedia membantu pelbagai pihak dalam melaksanakan program bahasa demi memastikan bahasa kebangsaan terus mekar dan kekal relevan sepanjang zaman.

Dalam ucapannya juga, beliau menegaskan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya jiwa dan maruah sesuatu bangsa.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi