Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tiga wanita muda dari Pakistan, Uzbekistan dan Malaysia muncul juara bagi kategori masing-masing dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2026 Piala Perdana Menteri sekali gus membuktikan bahasa Melayu terus subur dan dihormati di persada antarabangsa.
Mahasiswa Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Amna Masood dinobatkan sebagai juara bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, manakala Abdullayeva Madinabonu Nizomiddin Qizi dari Tashkent State University of Oriental Studies menjuarai kategori Pelajar Antarabangsa (Luar Negara).
Bagi kategori Alam Melayu pula, mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Aiena Batrisyia Sulaiman berjaya menambat hati juri menerusi persembahan penuh bertenaga dan berkarisma.
Setiap pemenang membawa pulang plak, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, serta hadiah wang tunai dengan juara menerima RM10,000, naib juara RM8,000 dan tempat ketiga RM5,000.

Bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, tempat kedua dimenangi Aisha Hikma dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang memukau penonton dengan pidato berunsur emosi bertemakan evolusi manuskrip ke mikrocip, manakala tempat ketiga milik Amr Ibrahim Ibrahim Yousef dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang membicarakan isu hegemoni digital dan identiti bangsa.
Bagi kategori Antarabangsa, tempat kedua disandang oleh Sergei Erkmakov dari Lomonosov Moscow State University, Rusia yang menyentuh hubungan kecerdasan buatan (artificial intelligence – AI) dan bahasa Melayu, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Qiu Ziyi dari Beijing Foreign Studies University, China menerusi pidato berkaitan dengan bahasa Melayu dalam era mesin pintar serta cabaran bahasa Melayu pada zaman teknologi.
Untuk kategori Alam Melayu pula, tempat kedua diraih oleh Mohammad Iqbal Sopian Saputra dari Universiti Tanjungpura, Indonesia menerusi pidato bertajuk Daulat Kata Zaman Kecerdasan Buatan, sementara tempat ketiga dimenangi oleh Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairull dari Universiti Malaya.
Pertandingan ini diadakan di Malaysia Tourism Centre (MATIC) Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan bahasa Melayu kepada masyarakat antarabangsa, khususnya para pelancong bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Amna ketika ditemui selepas pertandingan melahirkan rasa syukur atas kemenangan yang diraih selepas melalui latihan intensif bersama-sama dengan pelatih, pensyarah dan keluarga.
“Saya rasa sangat bersyukur, lega dan gembira kerana saya memang sudah lama berpidato, bercerita dan berpantun sejak zaman sekolah lagi,” katanya.
Mahasiswa jurusan kejuruteraan perisian itu berkata, penguasaannya dalam bahasa Melayu dipengaruhi oleh pengalaman menetap di Malaysia selama 15 tahun, selain mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan.
Sementara itu, Madinabonu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pencapaian terbesar dalam hidupnya selepas melalui cabaran menguasai sebutan dan gaya bahasa Melayu.
“Saya sangat takut terlupa ucapan pidato saya, tetapi saya [tidak menyangka akan] menjadi johan. Pada mulanya, saya tidak tahu apa-apa tentang bahasa Melayu, namun ketika di universiti, saya mendaftar untuk belajar bahasa Melayu sebagai bahasa pertama sebagai sebahagian daripada kursus pelancongan dan hospitaliti,” katanya.
Aiena Batrisyia pula menyifatkan kejayaannya sebagai hadiah buat semua pihak yang menjadi tulang belakang sepanjang pertandingan berlangsung.
Mahasiswa jurusan undang-undang berusia 19 tahun itu turut mencipta sejarah sebagai peserta termuda dalam PABM.
“Pidato ini ialah seni untuk menyampaikan diri sendiri di atas pentas, dan segala yang saya persembahkan itu ialah diri saya sendiri,” katanya.
Ketua juri pertandingan, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari berkata, secara keseluruhannya semua peserta akhir menampilkan persembahan yang berkualiti dan berjaya menarik perhatian khalayak.

Menurut beliau, peserta antarabangsa khususnya dari negara yang jauh seperti China dan Rusia menunjukkan komitmen tinggi menerusi latihan yang rapi, namun aspek kespontanan dalam pengucapan perlu terus diperkasakan.
“Dalam pidato, bukan hafalan yang paling penting, tetapi bagaimana idea itu boleh diterbitkan secara spontan di atas pentas. Kemahiran itulah menunjukkan bahawa kemasnya seseorang dalam menguasai bahasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan AI tidak menenggelamkan seni pidato kerana kekuatan utama pidato masih terletak pada keupayaan pemidato menyampaikan idea secara langsung kepada khalayak.