Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pentaksiran Bahasa Melayu di sekolah kini diselaraskan berdasarkan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) bagi memastikan tahap penguasaan bahasa dapat diukur secara lebih sistematik dan seragam.
Penolong Pengarah Unit Bahasa, Sektor Pembinaan Instrumen Akademik, Lembaga Peperiksaan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Khaidir Othman berkata, penyetaraan pentaksiran tersebut melibatkan hubungan antara kurikulum, pembelajaran dengan penilaian.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan tajuk “Penyetaraan Pentaksiran Kerangka Standard Bahasa Melayu” dalam Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu Siri 1 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi serta Dewan Bahasa dan Pustaka.
Menurut beliau, selepas kerangka dibangunkan, kurikulum disusun berdasarkan empat kemahiran utama bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis sebelum diterjemahkan kepada pembelajaran dan pentaksiran.
Ujar beliau,
“Setiap kemahiran mempunyai rubrik pengukuran tersendiri yang menentukan tahap penguasaan pengguna bahasa Melayu.”
Beliau menjelaskan bahawa kategori pendidikan dalam KSBM melibatkan murid sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar institusi pengajian tinggi.
Katanya, tahap penguasaan murid sekolah rendah bermula daripada tahap sangat terbatas hingga memadai, manakala sekolah menengah berada pada tahap memadai hingga memuaskan.
“Pelajar institusi pengajian tinggi pula berada pada tahap memuaskan hingga cekap,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa format baharu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak tahun 2021 telah diselaraskan berdasarkan KSBM dengan memberikan penekanan terhadap empat kemahiran bahasa.
“Dalam SPM, calon wajib menduduki semua komponen mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Jika salah satu tidak hadir, calon dianggap tidak hadir keseluruhan,” katanya.
Menurut beliau, instrumen pentaksiran dibina berdasarkan tahap kompetensi tertentu dalam KSBM. Sebagai contoh, karangan Bahagian A SPM ditetapkan sekitar 200 patah perkataan manakala Bahagian B sekitar 500 patah perkataan kerana tahap penguasaan yang diukur hanya berada pada tahap memuaskan dan sedikit tahap cekap.
Beliau berkata, pentaksiran KSBM turut melibatkan pendekatan formatif dan sumatif.
“Pentaksiran formatif dijalankan semasa proses pembelajaran, manakala pentaksiran sumatif dilakukan pada akhir pembelajaran seperti peperiksaan akhir semester dan SPM,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa penilaian juga dilakukan melalui kaedah rujukan norma dan rujukan kriteria bagi memastikan keputusan calon dapat diukur secara adil dan tepat. Beliau turut menegaskan bahawa kemahiran menulis merupakan kemahiran paling mencabar kerana memerlukan penguasaan kosa kata dan tatabahasa secara formal.
Katanya, hasil penilaian terhadap guru Bahasa Melayu bukan opsyen mendapati bahawa masih terdapat sebahagian guru yang belum mencapai tahap penguasaan bahasa yang sepatutnya.
“Guru Bahasa Melayu sepatutnya mencapai tahap lima, iaitu cekap, kerana pelajar SPM sendiri sudah berada pada tahap empat,” katanya.