Diterbitkan pada 20 Mei 2026, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ledakan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) kian mencorakkan landskap kehidupan seharian manusia pada era moden dan digital kini. AI bukan lagi dilihat sebagai sesuatu yang asing, sebaliknya menjadi paradigma baharu dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda. Penggunaan AI dilihat mampu meningkatkan kecekapan kerja serta membuka ruang terhadap inovasi baharu. Fenomena ini juga menunjukkan bahawa AI turut mempengaruhi cara manusia berfikir, berkomunikasi dan memperoleh ilmu. Pelbagai aplikasi berasaskan AI seperti ChatGPT, Copilot dan Gemini mulai diperkenalkan bagi memudahkan kehidupan seharian pengguna. ChatGPT merupakan medium yang paling luas digunakan pada masa ini. ChatGPT digunakan untuk pelbagai tujuan termasuklah merangka ayat e-mel, menghasilkan resume, merumuskan topik, menjana idea penulisan dan menjawab pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh pengguna dalam masa yang singkat.

Kemunculan ChatGPT 

Pada era digital hari ini, sebahagian masyarakat khususnya pelajar semakin bergantung pada ChatGPT untuk menyiapkan tugasan tanpa perlu melalui proses penjanaan idea secara kritis. Situasi ini menyebabkan sebahagian hasil penulisan dilihat semakin hilang keasliannya, kehilangan keunikan serta bersifat terlalu teknikal. Dalam konteks perkembangan bahasa, penggunaan ChatGPT memberikan impak yang tersendiri terhadap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Melalui penggunaan ChatGPT, sebahagian masyarakat lebih terdorong untuk merangka dan menyusun ayat dalam bahasa Melayu dengan lebih mudah dan efisien. Melalui bantuan ChatGPT, pengguna dapat membetulkan kesalahan dari segi ejaan, tatabahasa serta mempelajari struktur ayat yang lebih gramatis.

Namun begitu, kebergantungan yang berlebihan terhadap ChatGPT akan menyebabkan  pengguna menjadi kurang peka terhadap usaha memperbaik penguasaan bahasa Melayu kerana mereka menganggap teknologi ini mampu membetulkan kesalahan bahasa secara automatik tanpa penelitian secara terperinci. Penggunaan aplikasi ini dalam penulisan, pembelajaran dan pencarian maklumat menimbulkan pelbagai persoalan tentang masa hadapan bahasa Melayu pada era digital. Adakah ChatGPT akan menjadi pemangkin atau ancaman terhadap perkembangan bahasa Melayu?

Sejajar dengan perkembangan teknologi moden, kecerdasan buatan (AI) semakin popular khususnya dalam bidang pendidikan dan komunikasi. Kewujudan teknologi ini membantu masyarakat untuk memperluas daya pemikiran serta menyesuaikan diri dengan kelajuan arus digital. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa teknologi AI turut mengubah corak kehidupan dan cara pemikiran masyarakat masa ini.

Dalam hal ini, ChatGPT dilihat memainkan peranan penting sebagai pemangkin perkembangan bahasa Melayu dalam pelbagai aspek khususnya dalam bidang penulisan, pembelajaran dan komunikasi. ChatGPT berupaya mengesan kesalahan tatabahasa, ejaan dan penggunaan imbuhan dengan lebih pantas dan sistematik.  Melalui teknologi ini, pengguna dapat meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan berkomunikasi dengan lebih berkesan. Selain memperbaik kesalahan bahasa, ChatGPT turut membantu memperluas penggunaan kosa kata dan membina struktur ayat yang lebih gramatis.

Melalui aplikasi ini, pengguna khususnya pelajar mampu mempelajari cara membina ayat yang lebih gramatis dan tersusun. Hal ini dapat meningkatkan kepekaan pengguna terhadap kesalahan bahasa dalam penulisan dan komunikasi harian. ChatGPT turut memperkaya pilihan diksi pengguna melalui cadangan kosa kata bahasa Melayu yang lebih sesuai mengikut konteks ayat. Dengan bantuan ChatGPT, pelajar mampu memperkukuh potensi penguasaan tatabahasa dan memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu. Secara tidak langsung, pemanfaatan teknologi ini dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Melalui ChatGPT, pengguna juga mampu mencari kata seerti atau kata berlawan bagi sesuatu kata. Sebagai contoh, bagi perkataan “dorong”, ChatGPT mampu mencadangkan beberapa kata seerti seperti “galak”, “pacu”, “rangsang” dan “pengaruhi” berserta contoh penggunaannya dalam ayat yang sesuai.

Selain itu, ChatGPT turut berperanan dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor teknologi digital. Pada suatu ketika dahulu, kebanyakan bahan bacaan dan rujukan diterbitkan dalam bahasa Inggeris kerana bahasa tersebut berperanan sebagai bahasa antarabangsa. Pelbagai bahan kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bagi meningkatkan akses masyarakat terhadap ilmu pengetahuan. Namun demikian, terdapat sesetengah terjemahan yang kurang tepat sehingga menyebabkan maksud asal teks berubah dan tidak jelas.

Kemunculan enjin carian Google Translate dilihat berupaya mempermudah proses penterjemahan daripada satu bahasa kepada bahasa lain. Namun begitu, masih terdapat pengguna yang menghadapi kesukaran dalam menterjemahkan teks bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu dengan tepat. Dalam sesetengah keadaan, Google Translate kadangkala menghasilkan terjemahan yang kurang tepat, bersifat literal serta mempunyai struktur ayat yang tidak gramatis. Hal ini berlaku kerana Google Translate menterjemahkan teks secara langsung daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu sehingga menyebabkan struktur ayat kedengaran janggal dan tidak gramatis. Sebagai contoh, ayat dalam bahasa Inggeris “ChatGPT opens doors to many opportunities” diterjemahkan kepada “ChatGPT membuka pintu kepada banyak peluang”. Terjemahan tersebut kurang sesuai berbanding dengan ayat yang lebih gramatis, iaitu “ChatGPT membuka pelbagai peluang baharu”. Melalui penggunaan ChatGPT, hasil penterjemahan dalam bahasa Melayu dapat disemak agar dibaca dengan lebih lancar, mudah difahami serta tepat dari sudut bahasa. Jelaslah bahawa kewujudan ChatGPT bukan sahaja memudahkan proses penterjemahan, malah turut membantu memperkukuh penggunaan bahasa Melayu pada era digital.

Implikasi terhadap Penggunaan ChatGPT

Meskipun ChatGPT menawarkan pelbagai manfaat, namun teknologi ini turut membawa beberapa implikasi terhadap penggunaan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah kebergantungan yang berlebihan terhadap ChatGPT sehingga melemahkan penguasaan bahasa secara semula jadi khususnya dalam kalangan remaja. Keadaan ini menyebabkan sebahagian pengguna terlalu bergantung pada ChatGPT untuk menghasilkan penulisan atau mendapatkan maklumat. Implikasinya, pengguna menjadi semakin kurang berusaha menjana idea secara kendiri serta berfikir secara kritis. Mereka lebih gemar menggunakan ChatGPT sebagai medium utama untuk menyelesaikan tugasan harian dengan lebih mudah dan pantas.

Tambahan pula, sesetengah pengguna bergantung pada jawapan yang dijana oleh ChatGPT secara bulat-bulat tanpa melakukan semakan atau penilaian semula terhadap kesahihan sesuatu maklumat. Sebagai contoh, terdapat segelintir pengguna khususnya pelajar yang masih keliru dan menerima penggunaan frasa “di kalangan” yang dijana oleh ChatGPT secara bulat-bulat sedangkan frasa yang lebih tepat menurut hukum tatabahasa ialah “dalam kalangan”. Jika amalan menulis tanpa semakan ini berterusan, tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi akan semakin terjejas.

Situasi ini menyebabkan semua hasil penulisan menjadi terlalu mekanikal serta kehilangan unsur kreativiti dan keaslian. Dalam usaha mengejar kemudahan teknologi, masyarakat semakin mengabaikan nilai keaslian bahasa Melayu yang kian terhakis akibat kebergantungan yang berlebihan terhadap teknologi AI. Situasi ini boleh diibaratkan seperti peribahasa, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Penulisan tersebut dilihat terlalu berorientasikan AI sehingga menghilangkan identiti dan gaya penulis tersebut.

Selain itu, situasi ini mendorong kepada budaya menyalin maklumat secara langsung tanpa melakukan sebarang penelitian atau pengubahsuaian kandungan. Situasi ini juga secara tidak langsung memupuk budaya plagiarisme dalam kalangan pengguna terutama pelajar. Penggunaan ChatGPT juga boleh mengurangkan nilai keaslian dalam penulisan bahasa Melayu. Lebih malang lagi apabila terdapat segelintir masyarakat yang menganggap bahawa AI sebagai penyelesaian mutlak untuk semua permasalahan. Namun demikian, ChatGPT juga berpotensi menghasilkan kesilapan kerana teknologi ini dicipta dan diprogramkan oleh manusia.

Di samping itu, penggunaan ChatGPT juga dapat menjejaskan budaya membaca dan keupayaan menjana idea secara kritis.  Pengguna lebih gemar memperoleh jawapan segera tanpa melalui proses pembacaan dan penelitian yang mendalam. Generasi muda hari ini lebih suka menggunakan enjin carian atau menggunakan ChatGPT untuk mencari jawapan. Dengan adanya ChatGPT, pengguna terutamanya pelajar kurang berminat untuk membaca buku, artikel atau menjalankan penyelidikan secara mendalam. Mereka lebih suka bergantung pada ChatGPT untuk menyiapkan tugasan akademik tanpa melakukan pembacaan atau rujukan tambahan.

Situasi ini menggambarkan bahawa generasi muda kurang menghargai kepentingan bahan bacaan dan sumber rujukan ilmiah secara fizikal dalam bahasa Melayu. Mereka juga beranggapan bahawa penggunaan ChatGPT dapat membantu mereka mengelakkan kesilapan bahasa dan memperoleh markah yang tinggi dalam tugasan akademik. Selain itu, terdapat juga segelintir pelajar takut untuk mencuba menghasilkan ayat atau penulisan sendiri dalam bahasa Melayu kerana khuatir melakukan kesilapan bahasa. Sikap terlalu bergantung pada bantuan ChatGPT boleh menghalang pengguna daripada mengasah potensi pemikiran secara kreatif dan kritis. Akibatnya, mereka menjadi kurang berkeyakinan terhadap kemampuan sendiri bagi menjana idea, mengarang ayat atau mencari jawapan tanpa bantuan ChatGPT.

Kesimpulannya, tidak dapat dinafikan bahawa ChatGPT telah membuka lembaran baharu dalam dunia teknologi, penulisan dan juga bahasa. Penggunaan ChatGPT memudahkan kehidupan seharian malah mencerminkan transformasi masyarakat menuju ke era digital. Teknologi ini mampu menjadi pemangkin dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu. Namun demikian, masyarakat tidak seharusnya memandang ringan terhadap ancaman yang mungkin menjejaskan nilai keaslian dan penggunaan bahasa Melayu.

Masyarakat harus sedar dan menggunakan teknologi AI secara bijaksana agar tidak meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai identiti bangsa dan negara selaras dengan peribahasa “yang lama dikelek, yang baharu didukung”. Ironinya, bahasa Melayu harus berkembang seiring arus kemodenan teknologi, bukan tenggelam dalam dominasi AI. Penggunaan bahasa Melayu tidak harus dipandang remeh dan dipinggirkan dalam revolusi teknologi dan AI, sebaliknya perlu dipertahankan agar mampu berdiri setanding dengan bahasa yang lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi