Diterbitkan pada 10 Mei 2026, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) merupakan sebuah program berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berfungsi sebagai platform antarabangsa bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, ilmu dan budaya. Sebagai satu-satunya pertandingan pidato bahasa Melayu pada peringkat global, PABM menghimpunkan peserta dari pelbagai negara untuk menampilkan keupayaan berpidato secara intelektual, berwibawa dan meyakinkan, di samping memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan institusi akademik dan pelajar antarabangsa.

Sebagai seorang juri asing yang telah diberi penghormatan untuk terlibat pada peringkat akhir pertandingan ini sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 2017, tahun 2023 dan sekali lagi pada tahun ini, penulis memperoleh pengalaman yang sangat bermakna dalam menilai perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Penulis merupakan satu-satunya juri bukan warganegara Malaysia dalam pertandingan akhir tersebut. Hal ini merupakan suatu kedudukan yang memberikan penulis perspektif luar yang unik terhadap mutu dan perkembangan pertandingan ini.

Dalam proses penjurian, empat kriteria utama diberikan penekanan, iaitu isi (idea dan mesej pidato), bahasa (sebutan, intonasi, kawalan suara dan kejelasan penyampaian), gaya penyampaian, serta etika peserta di atas pentas. Selain itu, elemen interaksi dengan khalayak, hubungan mata (eye contact), serta keupayaan membina keserasian dengan khalayak turut diberi perhatian penting. Sesebuah pidato tidak seharusnya bersifat satu hala, sebaliknya perlu hidup melalui komunikasi dua hala yang bermakna dengan khalayak.

Secara keseluruhan, penulis dapat menilai bahawa tahap penguasaan peserta amat mengagumkan. Penguasaan bahasa Melayu mereka adalah fasih dan meyakinkan, manakala kandungan pidato memperlihatkan tahap pemikiran yang mendalam serta keupayaan analitikal yang tinggi. Namun begitu, penulis mendapati terdapat kecenderungan yang ketara dalam pemilihan tema, apabila kebanyakan pidato berfokus terhadap kecerdasan buatan atau dikenali sebagai artificial intelligence (AI) dan bahasa.

Walaupun tema tersebut relevan dan mencerminkan perkembangan semasa, sebahagian besar penyampaian kelihatan terlalu akademik dan kaku, seolah-olah sebuah pembentangan ilmiah dan bukannya pidato yang bersifat komunikatif serta menyentuh emosi. Unsur pengalaman peribadi dan elemen kemanusiaan masih kurang ditonjolkan, menyebabkan sebahagian penyampaian terasa bersifat agak “kering”.

Penulis berpandangan bahawa keberkesanan sesebuah pidato tidak hanya terletak pada kekuatan hujah dan struktur idea semata-mata. Elemen bukan verbal seperti hubungan mata, nada suara, ekspresi wajah dan gerak tubuh perlu bergerak seiring sebagai satu kesatuan yang harmoni. Namun begitu, yang paling penting ialah keikhlasan. Peserta yang benar-benar mencintai Malaysia dan menggunakan bahasa Melayu sebagai medium untuk menzahirkan rasa tersebut mampu menyampaikan emosi yang lebih tulus dan berkesan kepada khalayak dan juri.

Kejujuran hati inilah yang akhirnya meninggalkan kesan paling mendalam. Pidato yang paling diingati bukan semestinya yang paling sempurna dari segi teknikal, tetapi yang membawa makna, keikhlasan dan hubungan emosi yang sebenar. Penulis juga berpendapat bahawa sekiranya peserta dari pelbagai negara dapat memasukkan pengalaman mereka tentang budaya Malaysia serta pengalaman peribadi yang bermakna, hal ini akan memperkukuh lagi hubungan emosi dengan khalayak antarabangsa.

Lebih jauh lagi, PABM tidak seharusnya dilihat sekadar pertandingan pada peringkat nasional atau acara dalaman semata-mata. Program seperti ini perlu terus diperkukuh sebagai platform antarabangsa yang berwibawa demi memperlihatkan keupayaan penutur bukan natif bahasa Melayu di seluruh dunia. Dengan cara ini, PABM bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi juga sumber inspirasi kepada komuniti global yang mempelajari bahasa Melayu.

Melalui PBAM, banyak pendedahan yang dapat dilalui oleh peserta antarabangsa yang fasih berbahasa Melayu. Minat dan kecintaan terhadap bahasa ini juga dapat diperkukuh dalam kalangan pelajar dan penyelidik di seluruh dunia. Pada masa yang sama, PBAM turut berperanan sebagai wahana penting dalam usaha memperkenalkan kekayaan budaya, keindahan bahasa dan warisan intelektual Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Kesimpulannya, penulis secara peribadi berpandangan bahawa PABM bukan sekadar pertandingan pidato, sebaliknya merupakan ruang intelektual dan budaya yang memperlihatkan kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, diplomasi dan penghubung kemanusiaan. Bahasa Melayu ini sebenarnya mampu menyatukan masyarakat merentas budaya melalui nilai dan ekspresi bersama.

 

Profesor Madya Dr. Kang Myoung Sook merupakan pensyarah di Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi