Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa merupakan wahana utama yang mencerminkan kehidupan sesuatu peradaban. Bahasa bukan sekadar hadir dalam bentuk tulisan atau pertuturan, malah menjadi medium penyampaian emosi yang merentas batas geografi dan jambatan yang menghubungkan kepelbagaian budaya. Sebagai pelajar jurusan Bahasa Melayu di Universiti Yunnan Minzu, pemahaman penulis terhadap konsep “bahasa” lebih tertumpu terhadap fungsinya sebagai alat komunikasi pada peringkat awal pemilihan jurusan ini. Sepanjang tempoh pengajian yang lalu, proses pembelajaran lebih banyak berkisar tentang aspek fonologi, tatabahasa, dan tulisan Jawi yang terkandung dalam buku teks.
Namun demikian, sepanjang lebih setengah tahun mengikuti program pertukaran di Malaysia, penulis semakin membiasakan diri menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi harian. Pada masa yang sama, timbul persoalan yang lebih mendalam, iaitu apakah makna yang sebenar untuk mempelajari sesuatu bahasa?
Program “Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia Malaysia−China 2026” selama empat hari telah berlangsung dengan jayanya dan memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada penulis sebagai peserta. Program ini menghimpunkan sebanyak 59 orang pensyarah dan pelajar dari 13 buah institusi pengajian tinggi di China. Sebelum menyertai program ini, para peserta termasuk penulis berasa teruja, namun dalam masa yang sama turut diselubungi perasaan gementar terhadap interaksi silang budaya yang bakal dilalui.
Antara pengisian program bagi kem ini termasuk majlis perasmian di Putrajaya, sesi “Majlis Jalinan Mesra Belia China−Malaysia” di Kedutaan Besar China di Malaysia, rakaman program di Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta persembahan kebudayaan seperti silat dan nyanyian koir. Setiap pengisian yang diikuti oleh penulis mencipta pengalaman baharu bagi memperkukuh pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab golongan belia, di samping menyedarkan penulis bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk tujuan akademik, sebaliknya merupakan medium penting dalam usaha membina hubungan antara manusia yang wujud dengan kepelbagaian budaya dan latar belakang.
Komunikasi Silang Budaya
Dalam konteks komunikasi silang budaya, bahasa Inggeris lazimnya digunakan sebagai bahasa perantara. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa ibunda pihak lain secara langsung mampu menyampaikan nilai penghormatan dan keikhlasan yang lebih mendalam. Sepanjang program ini, penulis berpeluang menggunakan bahasa Melayu untuk memperkenalkan budaya China dan berkongsi persamaan dalam aspek kehidupan seharian antara kedua-dua negara.
Respons yang positif dan mesra daripada para peserta tempatan membolehkan penulis merasai sendiri kehangatan dan keakraban bahasa tersebut. Bahasa Melayu bukan lagi sekadar teks dalam buku, tetapi menjadi medium yang menghidupkan interaksi — sama ada melalui senyuman ketika berbicara tentang makanan, mahupun persetujuan ketika bertukar pandangan tentang budaya. Dalam hal ini, bahasa berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan kehidupan seharian, sekali gus memperkukuh persahabatan antara kedua-dua negara.
Perpaduan budaya tidak semestinya terserlah melalui wacana yang bersifat besar dan abstrak, sebaliknya dapat dilihat dalam interaksi harian yang sederhana. Dalam aktiviti pengalaman budaya tradisional di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), peserta dari China dan Malaysia bersama-sama mencuba pelbagai bentuk seni tradisional serta mempelajari tentang tulisan masing-masing. Melalui proses saling membimbing, jurang perbezaan budaya dapat dirapatkan secara semula jadi antara peserta tempatan dan peserta dari China.
Dalam persembahan kebudayaan pula, pelajar dari China mempersembahkan seni silat dan tarian “Qinghua Ci” yang mendapat sambutan hangat daripada penonton. Pengiktirafan yang merentas batas bahasa ini memperlihatkan bahawa kefahaman budaya mampu dicapai walaupun tanpa komunikasi lisan yang sepenuhnya. Hal ini sejajar dengan ungkapan bahawa bahasa ialah alat, budaya ialah kunci, dan kefahaman merupakan jambatan yang menghubungkan kedua-duanya.
Penguasaan Bahasa Asing dan Masa Hadapan
Interaksi antara pensyarah dengan pelajar senior dalam jurusan Bahasa Melayu dari pelbagai institusi turut membuka perspektif baharu kepada penulis. Perkongsian pengalaman mereka dalam bidang pendidikan dan penyebaran budaya memperlihatkan pelbagai laluan kerjaya yang dapat diteroka melalui penguasaan bahasa. Hal ini bukan sahaja memperluas pandangan penulis terhadap bidang pengajian ini, malah memberikan inspirasi untuk merancang hala tuju masa hadapan dengan lebih jelas.
Sebelum ini, konsep “pertukaran dan pembelajaran peradaban” sering dianggap sebagai sesuatu yang abstrak dan jauh daripada realiti kehidupan. Namun begitu, melalui pengalaman ini, penulis menyedari bahawa konsep tersebut sebenarnya terzahir dalam perkara kecil. Sebagai contoh, usaha mempelajari tulisan Jawi, interaksi yang penuh keikhlasan, dan kolaborasi dalam aktiviti kebudayaan. Semua ini mencerminkan cara nilai peradaban dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Sehubungan dengan itu, penulis semakin yakin untuk terus mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Penguasaan bahasa ini bukan sahaja membolehkan penulis berkomunikasi dengan lebih berkesan, malah membuka peluang untuk terlibat dalam platform antarabangsa, mengenali pelbagai latar budaya dan memperkaya pengalaman hidup.
Kesimpulannya, sebagai generasi muda China dan Malaysia, penulis menyedari bahawa peranan penulis bukan sekadar sebagai pelajar, tetapi juga sebagai penghubung persahabatan antara kedua-dua negara. Semangat yang dizahirkan melalui slogan “Belia China–Malaysia BOLEH!” menjadi simbol keyakinan dan komitmen penulis dan para peserta yang lain untuk terus memperkukuh hubungan dua hala pada masa hadapan. Dengan semangat kebersamaan ini, diharapkan pertukaran budaya akan terus berkembang dan persahabatan antara kedua-dua negara akan kekal utuh.