Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 menjadi wadah penting untuk memperkukuh kedudukan ilmu, bahasa dan budaya dalam menghadapi perubahan global yang dipacu teknologi serta kecerdasan buatan atau dikenali sebagai artificial intelligence (AI).
Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), YBrs. Encik Noor Amin Ahmad berkata penganjuran sulung simposium itu merupakan manifestasi komitmen pelbagai institusi ilmu dan budaya demi memastikan kemajuan teknologi bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan.
Menurut beliau, tema “Keberadaan Ilmu, Bahasa dan Budaya dalam Era Kecerdasan Buatan: Menerawang Kesempurnaan” mengingatkan masyarakat bahawa ilmu, bahasa dan budaya merupakan asas pembentukan jati diri serta kelangsungan sesebuah tamadun.
Teknologi seharusnya menjadi alat untuk memperkasakan manusia, bukan menggantikan nilai kemanusiaan itu sendiri. Kecerdasan buatan (AI) mungkin mampu memproses maklumat dengan pantas, tetapi manusia tetap memiliki keupayaan memahami nilai, etika, konteks budaya dan hikmah yang tidak boleh digantikan oleh mesin,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada simposium tersebut di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
Beliau berkata, budaya membaca, penerbitan dan penterjemahan akan terus relevan walaupun dunia memasuki era digital kerana bidang tersebut menjadi akar bagi pembentukan masyarakat berpengetahuan dan beradab.
Dalam konteks itu katanya, peranan pustakawan, penterjemah, editor, penulis, penyelidik dan institusi ilmu kekal signifikan sebagai penjaga integriti tamadun manusia.
Noor Amin turut menegaskan bahawa masa hadapan yang mampan perlu diasaskan pada keseimbangan antara inovasi dan nilai, kemajuan digital dan keluhuran budaya serta kecerdasan buatan dengan kebijaksanaan insan.
Beliau berkata, simposium itu menghimpunkan 22 orang pemakalah dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand dan China, sekali gus membuktikan isu berkaitan ilmu, bahasa, penterjemahan dan AI kini menjadi agenda global yang memerlukan dialog berterusan serta pendekatan kolaboratif.
Menurutnya, LiTr.AI 2026 merupakan kesinambungan kerjasama strategik yang bermula daripada Seminar Antarabangsa Manuskrip Nusantara yang diadakan di Jakarta pada tahun 2024 dan Simposium Festival Sastera HB Jassin pada tahun 2025.
Kerjasama merentas negara seperti ini membuktikan bahawa usaha memelihara khazanah ilmu dan budaya memerlukan kesepaduan serantau yang kukuh,” katanya.
Beliau berharap simposium tersebut dapat menjadi medan strategik untuk menghimpunkan pemikiran progresif, memperkukuh jaringan intelektual antarabangsa serta melahirkan idea dan resolusi baharu bagi membina tamadun ilmu yang lebih inklusif, beretika dan berdaya tahan.