Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Kerangka Standard Bahasa Melayu atau KSBM merupakan satu inisiatif yang amat signifikan dalam landskap pembangunan bahasa negara,” demikian ucapan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad ketika melancarkan buku Manual Penggunaan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM), di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada hari ini.

Tambah beliau,
KSBM bukan sahaja menyediakan piawaian yang jelas berkaitan dengan tahap kecekapan bahasa Melayu, malah berfungsi sebagai rujukan nasional yang dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor.
Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) dibangunkan sebagai rujukan nasional bagi menyeragamkan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan, latihan, serta pentaksiran. Langkah sistematik ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan komunikasi rasmi yang berwibawa.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana berjaya mengusahakan kelulusan KSBM ini untuk digunakan oleh kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara, sekali gus membuktikan bahawa bahasa Melayu terus diberikan perhatian sebagai bahasa yang mampu mendukung fungsi pentadbiran, pendidikan, latihan, penilaian dan pembangunan modal insan negara,” ujar beliau pada majlis pelancaran tersebut.
Menurut beliau lagi, penerbitan tiga buah manual yang dilancarkan pada hari ini merupakan satu langkah strategik bagi memastikan pelaksanaan KSBM dapat difahami dan dilaksanakan dengan lebih berkesan oleh semua pengguna.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahudin Datuk Paduka Mohamed dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa kejayaan menghasilkan tiga buah buku ini merupakan hasil komitmen, kepakaran dan dedikasi yang tinggi daripada panel penulis yang telah bertungkus-lumus menyumbangkan ilmu, pengalaman dan idea sepanjang proses pembangunan kandungannya.

Penerbitan manual ini bertujuan untuk menyeragamkan tafsiran, pendekatan dan pelaksanaan KSBM dalam pelbagai konteks penggunaan agar matlamat standardisasi bahasa Melayu dapat dicapai secara lebih berkesan dan menyeluruh,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Pelancaran Buku Manual Penggunaan Kerangka Standard Bahasa Melayu.
Buku Manual Penggunaan Kerangka Standard (KSBM) ini merupakan hasil penulisan 13 orang penulis, iaitu Dr. Zanariah Ibrahim, Dr. Wan Norlidza Wan Mohd Zain, Dr. Mazlan Ismail, Dr. Siti Nafsiah Ismail, Prof. Madya Dr. Karim Harun, Dr. Azhar Md Sabil, Dr. Asri Harun, Dr. Rosli Abd Rahman, Tuan Haji Khaidir Othman, Tuan Haji Khairulanuar Ismail, Encik Zawahir Ismail, Encik Lokman Abd Wahid dan Puan Najwa Hanim A. Rani.

Yang turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut termasuklah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Penerbitan DBP; YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Akademi DBP, YBrs. Puan Mariati Josepha Mustafa; dan penulis buku Manual Penggunaan Kerangka Standard (KSBM).

Untuk rekod, majlis pelancaran buku ini telah diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang mencatatkan rekod kehadiran melebihi 106 000 orang pengunjung yang berkunjung ke reruai Dewan Bahasa dan Pustaka, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.