Diterbitkan pada 18 Jun 2026, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada era ledakan kandungan digital kontemporari, audio siar dan video siar kini memugar kedudukan sebagai antara wahana media paling dominan dalam usaha untuk mencorakkan landskap komunikasi masyarakat. Kedua-dua medium digital yang menawarkan variasi kandungan interaktif dan kepelbagaian laras bahasa ini kian mendapat tempat, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang aktif memanfaatkan media sosial sebagai sumber maklumat. Kelangsungan platform tersebut sebagai pilihan perdana berakar umbi daripada acuan penyampaiannya yang memanfaatkan unsur bahasa basahan yang santai, fleksibel dan mudah dicapai oleh khalayak tanpa kekangan masa dan tempat.

Namun begitu, di balik kepesatan trend tersebut, kebebasan tanpa sempadan dalam ruang lingkup penyampaian audio siar dan video siar didapati membuka ruang yang luas terhadap penularan bahasa rojak, pencemaran slanga dan masalah percampuran istilah yang ketara. Oleh itu, fenomena penerbitan audio siar dan video siar bebas tanpa kawal selia kebahasaan ini wajar dilihat sebagai suatu ancaman serius terhadap keaslian wahana bahasa lisan yang lambat-laun mampu meranapkan estetika linguistik, sekali gus melemahkan penguasaan bahasa Melayu standard dalam kalangan masyarakat.

Penggunaan bahasa yang kurang formal dalam audio siar dapat menjejaskan kualiti bahasa dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana laras bahasa lisan yang digunakan dalam penyampaian audio siar kurang menitikberatkan aspek tatabahasa yang tepat. Apabila terdedah pada gaya bahasa tersebut secara berterusan, pendengar cenderung untuk meniru dan mengamalkannya dalam komunikasi harian.

Misalnya, percampuran antara istilah bahasa Inggeris dengan penggunaan singkatan  yang kurang sesuai sering berlaku dalam konteks perbualan audio siar. Situasi tersebut bukan sahaja menjejaskan peranan bahasa Melayu standard dalam bidang komunikasi, malah menyebabkan isu pencemaran bahasa. Oleh itu, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa fenomena audio siar dan video siar bebas dapat mengancam kualiti penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, kandungan bahasa yang kurang sopan dalam penyampaian audio siar dan video siar turut menjadi ancaman terhadap bahasa lisan. Hal ini berlaku demikian kerana kebebasan yang diberikan kepada industri audio siar dan video siar membolehkan penyampai menggunakan gaya percakapan sendiri mengikut kreativiti yang dianggap lebih menarik minat pendengar. Keadaan tersebut menyebabkan pendengar mudah terpengaruh dengan gaya percakapan penyampai tanpa disedari.

Sebagai contoh, sesetengah penyampai menggunakan kata yang kurang sopan dan beradab dalam perbualan audio siar dan video siar untuk meluahkan perasaan. Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan kesantunan berbahasa dan etika berkomunikasi dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Kebebasan tersebut turut menjadi trend dalam talian yang akan mempengaruhi gaya percakapan golongan muda secara meluas.

Oleh itu, fenomena audio siar dan video siar bebas dapat mengancam bahasa lisan sekiranya aspek kehalusan bahasa Melayu tidak dititikberatkan. Bukan itu sahaja, ancaman fenomena audio siar dan video siar bebas juga dapat dilihat dari segi kesesuaian pemilihan laras bahasa berdasarkan konteks situasi ketika kandungan tersebut dihasilkan untuk penonton.

Walaupun audio siar dan video siar bersifat santai dan menarik, gaya penyampaiannya dapat menyebabkan pendengar, khususnya golongan muda, sukar membezakan antara laras bahasa formal dengan laras bahasa tidak formal. Apabila terbiasa dengan gaya komunikasi yang ringkas, pendengar mula hilang sensitiviti terhadap struktur ayat bahasa kebangsaan yang betul.

Rentetan daripada penggunaan ayat yang tidak lengkap dan slanga dalam audio siar dan video siar, pendengar cenderung untuk mengaplikasikan gaya yang sama dalam situasi rasmi, seperti penulisan akademik atau temu duga. Keadaan ini bukan sahaja melemahkan ketepatan penggunaan bahasa Melayu standard, malah dapat menjejaskan kedudukannya sebagai bahasa ilmu dan profesional.

Oleh itu, usaha pembakuan bahasa Melayu terjejas sekiranya masyarakat gagal menyeimbangkan antara unsur hiburan dengan keperluan penggunaan bahasa standard dalam audio siar dan video siar. Di samping itu, lambakan audio siar dan video siar bebas pada masa ini turut berpotensi untuk mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia.

Hal ini berlaku demikian kerana sebahagian besar pengendali audio siar dan video siar tempatan cenderung untuk mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Fenomena ini lebih sinonim dengan istilah bahasa rojak atau pencampuran kod dalam penyampaiannya yang menjejaskan keaslian bahasa kebangsaan dan meminggirkan penggunaan struktur tatabahasa bahasa Melayu yang standard. Keadaan ini sekali gus membentuk persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa bahasa kebangsaan kurang relevan untuk digunakan dalam komunikasi moden.

Sekiranya generasi muda lebih terbiasa dan selesa berkomunikasi dalam bahasa campuran berbanding dengan bahasa Melayu standard, martabat bahasa kebangsaan terus terhakis. Oleh hal yang demikian, penggunaan bahasa yang tidak terkawal oleh pengendali audio siar dan video siar bebas jelas menjadi ancaman yang nyata terhadap kelestarian bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Tambahan pula, ketiadaan garis panduan yang jelas dalam penghasilan kandungan audio siar dan video siar turut menjejaskan keadaan semasa. Hal ini berbeza daripada media arus perdana, seperti radio dan televisyen, yang tertakluk pada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sementara medium digital bebas ini bergerak tanpa sebarang peraturan.

Implikasinya, platform audio siar dan video siar bebas beroperasi tanpa sebarang peraturan bahasa yang mengikat. Hal ini menyebabkan kualiti penyampaian bahasa dalam audio siar dan video siar amat bergantung pada tahap kesedaran dan pengetahuan bahasa penyampai itu sendiri tanpa sebarang mekanisme tapisan luaran yang rasmi.

Dalam konteks ini, penyampai yang kurang arif dalam bahasa Melayu akan menghasilkan kandungan yang lemah dari segi kegramatisan tanpa sebarang semakan. Keadaan ini secara tidak langsung membentuk norma bahasa baharu dalam masyarakat yang menyimpang daripada bahasa Melayu standard, sekali gus merendahkan mutu komunikasi lisan harian pendengar.

Oleh itu, tanpa mekanisme kawalan yang sewajarnya, penerbitan audio siar dan video siar bebas dapat terus mengancam kualiti bahasa lisan. Penggunaan laras bahasa dan kandungan penyampaian kurang formal dalam fenomena audio siar dan video siar bebas terbukti menjadi ancaman besar terhadap bahasa lisan.

Ketiadaan garis panduan yang sewajarnya menyebabkan amalan kerancuan bahasa makin berleluasa dalam industri audio siar dan video siar. Oleh itu, pemain industri audio siar dan video siar harus melengkapi diri dengan pengetahuan bahasa yang mantap untuk mengelakkan penggunaan bahasa rojak yang dapat merosakkan keindahan dan keunikan bahasa Melayu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi