Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 telah melabuhkan tirainya
baru-baru ini. PBAKL merupakan acara perbukuan terbesar dan paling berprestij di
negara ini. Penganjurannya pada kali ini mencatatkan rekod baharu apabila menerima
kehadiran 2, 416, 009 pengunjung mengatasi pencapaian 2.1 juta pengunjung yang
direkodkan pada tahun lepas. Sambutan yang memberangsangkan daripada
masyarakat ini membuktikan kerelevanan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal
ini kerana sebahagian besar buku yang dipamerkan dan dijual di pesta buku ini
diterbitkan dalam bahasa Melayu.
PBAKL mula dianjurkan pada tahun 1981 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Pada masa ini, PBAKL
dikenali sebagai Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL). Tujuan utama penganjurannya
adalah untuk meningkatkan minat membaca, mempromosikan buku tempatan serta
mengembangkan industri penerbitan negara. PBAKL yang memasuki edisi ke-43 kali
ini bertemakan “Malaysia Membaca; Merayakan Buku” menghimpunkan sebanyak 1210 reruai dengan penyertaan 232 syarikat penerbitan. 209 daripadanya merupakan
pempamer daripada syarikat tempatan, manakala 23 lagi membabitkan penyertaan antarabangsa yang turut memeriahkan pesta buku terbesar negara ini.
PBAKL membuktikan bahasa Melayu berperanan besar sebagai bahasa ilmu
apabila kebanyakan buku yang dijual di sini adalah dalam bahasa Melayu. Buku
dalam bahasa Melayu tersebut terdapat dalam pelbagai bidang termasuklah sejarah, sastera. pendidikan, sains, teknologi, motivasi, keagamaan, dan travelog. Bahkan,
setiap kali PBAKL menjelang, penerbit akan berlumba-lumba mengeluarkan buku baharu untuk para pengunjung yang merupakan pencinta buku. Boleh dikatakan hampir setiap pempamer akan mengadakan pelancaran buku terbitan mereka dengan pelbagai gimik menarik di PBAKL. Bahkan, kebiasannya pelancaran buku-buku tersebut disertakan dengan promosi hebat, harga runtuh, dan cenderamata eksklusif yang hanya boleh didapati sepanjang tempoh PBAKL berlangsung.
Pada tahun lalu, sebanyak 1,000 reruai yang melibatkan 258 pempamer tempatan
dan antarabangsa. Sementara pada tahun ini, jumlah reruai meningkat kepada
1,210 reruai dengan penyertaan 232 syarikat. Jumlah reruai pempamer yang menyertai
pesta buku ini yang semakin meningkat saban tahun membuktikan bahawa sambutan terhadap buku berbahasa Melayu dan buku bercetak semakin rancak dalam kalangan masyarakat. Hal ini secara tak langsung membuktikan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu yang penting di negara kita.
PBAKL juga bukan sekadar tempat menjual dan membeli buku semata-mata, tetapi
menjadi medan pertemuan para ilmuan dengan masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Pelbagai aktiviti seperti pelancaran buku, forum intelektual, seminar, sesi bersama-sama penulis dan pameran penerbitan diadakan sepanjang pesta berlangsung. Program-program ini membuka peluang kepada masyarakat untuk memperoleh pengetahuan baharu, bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dan meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Sebagai contoh, Program Cakna Kata yang menggunakan konsep didik hibur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini berdaya memperluas pengetahuan masyarakat umumnya tentang istilah semasa dalam bahasa Melayu. Program ini juga selaras dengan usaha pihaknya untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu serta menggalakkan masyarakat khususnya generasi muda untuk mencintai bahasa Melayu. Segala bentuk aktiviti yang dijalankan dalam bahasa Melayu di pesta buku ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu digunakan dalam perbincangan ilmu yang serius dan bernas. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pemikiran tinggi.
Kepelbagaian buku terjemahan yang dijual di PBAKL juga bukan sahaja
membuktikan bahawa bahasa Melayu berwibawa sebagai bahasa ilmu, malah turut
memperkaya khazanah ilmu negara. Tambahan lagi, setiap kali penganjurannya, terdapat
peningkatan yang ketara terhadap jumlah buku terjemahan yang dipamerkan.
Penterjemahan karya hebat daripada pelbagai bahasa ke dalam bahasa Melayu ini
bukan sahaja memperkaya koleksi sastera tempatan, tetapi juga membolehkan
lebih ramai pembaca memahami dan menikmati keindahan kisah dari negara
lain. Antara pempamer yang menjual buku terjemahan di pesta buku ini termasuklah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), The Biblio Press dan Institut Terjemahan Buku
Malaysia (ITBM).
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga terbukti apabila masyarakat terutamanya
golongan muda membicarakan tentang PBAKL secara meluas melalui platform
media sosial seperti Threads dan TikTok. Perbincangan tersebut dilihat berjaya
menarik masyarakat terutamanya golongan muda untuk hadir ke pesta buku ini.
Berdasarkan statistik, golongan muda di negara kita juga masih memilih bahan bacaan dalam bahasa Melayu apabila lebih 60 peratus pengunjung terdiri daripada
golongan muda berusia di bawah 40 tahun dengan purata kira-kira 200,000 orang pengunjung yang hadir pada setiap hari. Menurut Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron, platform seperti TikTok, Instagram dan Threads kini menjadi medium
promosi yang berkesan untuk menarik minat generasi muda terhadap buku dan
aktiviti berkaitan pembacaan.
Walaupun jumlah jualan buku dan keuntungan sebenar penerbit dan pempamer
PBAKL tidak didedahkan kepada umum, kehadiran jutaan pengunjung setiap tahun
menunjukkan bahawa pesta buku ini memberikan pulangan ekonomi yang tinggi
melalui peningkatan jualan buku, promosi jenama, dan peluang perniagaan baharu.
Bukan itu sahaja, jumlah ini turut menunjukkan bahawa bahasa Melayu masih gah sebagai bahasa ilmu kerana masyarakat masih memilih untuk mendapatkan buku dalam
bahasa ini sebagai sumber bacaan mereka. Atas faktor itulah, PBAKL yang
berlangsung pada saban tahun sentiasa meriah dengan kehadiran pengunjung dari
seluruh negara.
Pemberian baucar buku MADANI oleh kerajaan turut memberikan impak yang besar dalam merancakkan pembelian buku di PBAKL. Dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat di negara kita, pemberian baucar ini dapat membantu rakyat mendapatkan bahan bacaan terutamanya golongan pelajar dan belia tanpa perlu menanggung kos yang tinggi. Di samping itu, baucar ini juga memberikan
mafaat yang besar terhadap industri penerbitan buku tempatan apabila lebih ramai
pengunjung hadir dan berbelanja di PBAKL. Pendapatan dan keuntungan yang diperoleh para penerbit di pesta buku ini akan mendorong mereka untuk menerbitkan lebih banyak dan pelbagai bahan bacaan dalam bahasa Melayu di pasaran.
Tuntasnya, PBAKL yang berlangsung meriah saban tahun di negara kita secara
langsung membuktikan bahasa Melayu masih gah sebagai bahasa ilmu. Masyarakat
masih berlumba-lumba mendapatkan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dalam
pelbagai genre termasuklah dalam bidang sains dan teknologi. Pengunjung dan
pempamer juga dilihat teruja untuk menghasilkan buku baharu dalam bahasa
Melayu dengan mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis pelancaran buku di sini. Setiap pihak perlu menyokong penganjuran PBAKL agar budaya membaca
terutamanya bahan bacaan berbahasa Melayu terus subur dalam kalangan masyarakat.