Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Memaknakan “Bahasa”
Selama ini ungkapan “memartabatkan bahasa Melayu” menjadi nadi yang menggerakkan DBP. Hasilnya, bahasa Melayu memperoleh kedudukan yang kukuh dalam undang-undang tertinggi negara. Daripada kedudukan tersebut, terguballah kebijakan kebahasaan yang menjelmakan hasrat pemerkasaan dan pelestariannya.
Namun begitu, persoalan tentang sikap dan kesetiaan penutur tidak pernah surut. Persoalan ini penting untuk ditanggapi sejujurnya. Hal ini dikatakan demikian kerana natijah sikap dan kesetiaan penutur turut ikut membekas terhadap penggubalan dan pelaksanaan kebijakan negara seperti yang pernah disaksikan pada tahun 2003 menerusi Pengajaran, Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Soalnya, bagaimanakah sikap dan kesetiaan penutur terhadap bahasa Melayu dapat dipupuk kemas? Barangkali, masanya sudah tiba untuk kita berkalih daripada persoalan tentang martabat kepada persoalan penghayatan terhadap makna bahasa Melayu.
Pada hakikatnya, martabat berkaitan dengan kedudukan dan taraf. Falsafah “reti bahasa” tidak seutuhnya cakna tentang kedudukan mahupun taraf. Teras-terasnya menukik pada pengertian dan penghayatan akan hakikat bahasa Melayu. Seseorang boleh menggunakan bahasa Melayu tanpa benar-benar pun mengerti ehwal penting umpamanya yang berkaitan dengan “tabiat sejati” bahasa Melayu serta pengaruhnya terhadap pemikiran, perlakuan dan amalan berbahasa yang mengambil kira air muka setiap individu yang terlibat dalam lakuan bahasa.
Dengan kata lain, makna bahasa yang tidak dihayati menurut acuan tabiat sejatinya pasti bertakah sebagai alat pertuturan semata-mata dan bukannya sebagai wahana atau “tongkat sakti” peradaban.
Krisis Makna
Maka itu, harus diakui dengan jujur bahawa cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu tidak sama seperti yang dialami sewaktu dekad-dekad awal penubuhan DBP. Kalau adapun ancaman tersebut pada masa ini, hal tersebut tidak lebih daripada cabaran tentang persoalan sikap dan kesetiaan kita sebagai penuturnya.
Cabaran yang lebih halus ialah ancaman kesirnaan kesedaran kita terhadap hakikat makna bahasa Melayu itu sendiri. Benar sekali bahawa kita memiliki alat kebahasaan yang boleh dibanggakan seperti Kamus Dewan Perdana, tatabahasa piawai dan lengkap yang menjadi rujukan asas terutama dalam sistem pendidikan, peristilahan yang berdaya mendukung konsep keilmuan semasa dan teknologi bahasa berwahanakan aplikasi fizikal dan maya. Akan tetapi, kita masih jauh daripada memiliki dan menerapkan budaya ilmu, ketelitian berfikir dan adab berbahasa.
Maka itu, krisis sebenar yang dihadapi kini mungkin bukan krisis struktural, pragmatik dan sosiolinguistik bahasa Melayu, tetapi krisis penghayatan terhadap makna asasi bahasa Melayu. Pada hemat penulis, krisis ini merujuk ketidakberdayaan kita memahami hakikat makna bahasa Melayu menurut acuan falsafah yang menyentuh tentang pertautan ehwal struktural dengan ehwal bukan struktural yang dipengaruhinya seperti pandangan alam, sistem nilai, pengalaman zahir batin, kebudayaan dan sejarah.
Natijah krisis penghayatan makna bahasa Melayu yang menyebabkan dimensi ontologi, epistemologi, aksiologi dan estetika tidak dipedulikan kerana tidak dianggap penting sehingga membuatkan lakuan bahasa Melayu dipermudah secara melampau terutama dari segi pemilihan perkataan dan rupa bentuk ayat, selain dipisahkan terus daripada akar sejarah dan kebudayaan yang mesra terserap dalam sistemnya.
Penjaga “Akal” Bahasa Melayu
Dalam tempoh tujuh dekad DBP, berperanannya lebih tertumpu pada kegiatan membina “tubuh” bahasa Melayu melalui gerak kerja tiga serangkai yang dinyatakan sebelum ini. Kini, peranan asasi DBP perlu diperluas lagi, terutamanya yang melibatkan usaha bagi menjaga “akal” bahasa Melayu.
Menjaga “akal” bermaksud memelihara warisan keilmuan yang ditinta dalam bahasa Melayu. Bukan sahaja memelihara, tetapi mencungkil potensinya sebagai alat kritikan ilmu untuk menerbitkan ilmu baharu menurut kebudayaan yang dihayati oleh penuturnya.
Menjaga “akal” juga bermaksud memperkaya korpus ilmu yang dizahirkan menerusinya. Kekayaan korpus ilmu bakal menggalakkan pemikiran yang lebih mendalam dan asasi tentang “tabiat sejati” bahasa Melayu mencakupi tiang seri falsafahnya yang seni, serta berhujung pada pembinaan falsafah bahasa Melayu yang boleh dijadikan pedoman pengajaran dan pembelajaran.
Menjaga “akal” turut melibatkan penyingkapan hubungan bahasa Melayu dengan persoalan manusia, masyarakat dan peradaban untuk memastikannya terus hidup dan kekal lestari sebagai bahasa yang menata alur fikiran, menyemai adab dan merukunkan kesantunan dalam amalan berbahasa.
Warisan yang Tidak Selesai
Sesungguhnya, usia 70 tahun bukan tanda kepikunan yang merencatkan rentak perjuangan. Usia tujuh dekad perlu ditanggapi sebagai keanjalan bagi mendepani badai mendatang dengan lagak sang pahlawan.
Sepanjang tujuh dasawarsa, DBP telah mewariskan khazanah kebahasaan, persuratan dan kebudayaan yang sangat berharga.
Tahun-tahun mendatang pula bakal menyaksikan beban tanggungjawab yang lebih berat untuk membangunkan sesuatu yang lebih mendasar berpaksikan khazanah sedia ada, di samping penerokaan baharu yang pasaknya tertancap kemas pada warisan keilmuan watan.
Akan tetapi, kita tetap menyedari suatu hakikat bahawa walau sederas mana pun badai melanda, DBP pasti melangkah gagah bersulam “restu jiwa pahlawan.”