Diterbitkan pada 27 Jun 2026, 19:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka Tengah – Usaha mendokumentasikan dan memelihara warisan linguistik serta khazanah bahasa komuniti Baba dan Nyonya Malaysia telah memasuki fasa terakhir menerusi pelaksanaan Bengkel Akhir Penyusunan Glosari Bahasa Baba dan Nyonya yang berlangsung dari 24 sehingga 26 Jun 2026 di Wisma Peranakan, Jalan Tengkera, Melaka.

Bengkel akhir ini diadakan bagi memuktamadkan kandungan glosari sebelum diterbitkan sebagai bahan rujukan rasmi.

Antara aspek yang diberikan perhatian termasuklah penyelarasan ejaan, pengesahan makna dan fonetik bagi setiap entri kosa kata serta penggunaan kosa kata tersebut dalam ayat dialek berserta terjemahannya dalam ayat Melayu standard.

Penyusunan glosari ini bermula sejak tahun 2023 dan merupakan kerjasama strategik antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (PERANAKAN).

Usaha tersebut dilaksanakan dengan pelibatan aktif tokoh komuniti Baba dan Nyonya, iaitu Presiden PERANAKAN, YBhg. Baba Dato’ Ronald Gan Yong Hoe; Timbalan Presiden PERANAKAN, Baba Lee Yuen Thien; Naib Presiden 1 PERANAKAN, Baba Richard Teo Soon Tin; Naib Presiden 2 PERANAKAN, Nyonya Emily Teo Gim Mui; dan pakar bahasa dari Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Rahim Aman yang berperanan sebagai sumber rujukan utama bagi mengenal pasti, menyenaraikan, menyemak, dan mengesahkan kosa kata bahasa Baba dan Nyonya yang masih digunakan dalam komuniti Peranakan, khususnya di Melaka.

Selain itu, penyusunan glosari turut mengambil kira konteks budaya yang melatari penggunaan sesuatu perkataan.

Sebahagian besar kosa kata yang dihimpunkan berkaitan dengan institusi kekeluargaan, adat resam, pakaian, makanan, kepercayaan, dan amalan kehidupan masyarakat Peranakan yang telah berkembang di negara ini sejak ratusan tahun lalu.

Penyusunan glosari ini memperlihatkan kesungguhan DBP bagi melaksanakan peranannya sebagai institusi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan di samping memelihara kepelbagaian warisan bahasa yang menjadi sebahagian daripada identiti negara.

Kredit Foto: Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi