Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGreece – Penguasaan bahasa yang baik perlu disertakan dengan kemahiran komunikasi yang berkesan bagi memastikan mesej dapat disampaikan secara jelas, tepat dan meyakinkan.
Hakikat tersebut menjadi inti pati perkongsian tiga penceramah berkaliber yang diadakan di Estavromenos Campus bersempena dengan program Digital Transformation for Natural Hazards yang berlangsung di Hellenic Mediterranean University (HMU), Greece hari ini dengan menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang akademik.
Menurut penceramah pertama, Pegawai Projek Kanan di Institutional Project Management Office (Oficina de Gestión de ProyectosInstitucionales, OGPI), Universidad de Alicante, Sepanyol, Puan Cristina Beans, komunikasi yang berkesan bermula dengan keyakinan diri.

Beliau menegaskan bahawa seseorang perlu mampu memperkenalkan diri, kepakaran dan idea secara padat melalui teknik Elevator Pitch tanpa mengabaikan aspek bahasa yang sopan dan tersusun.
“Ramai yang mempunyai idea yang baik, tetapi gagal menyampaikannya dengan yakin,” ujar beliau.
Tambah beliau,
Seseorang boleh mempraktikan teknik Elevator Pitch yang bukan sekadar memperkenalkan diri dalam tempoh yang singkat, sebaliknya membina tanggapan pertama yang positif melalui pemilihan kata, intonasi dan penyampaian yang bertenaga.
Beliau menambah bahawa semangat dan keyakinan ketika bertutur mampu meningkatkan kepercayaan khalayak terhadap mesej yang disampaikan.
Sementara itu, Penolong Profesor merangkap Pengarah Pejabat Kerjasama dan Jaringan Antarabangsa Xavier University, Filipina, Dr. Shiella Balbutin yang mengupas komunikasi dari aspek teknikal dengan menekankan bahawa proses penyampaian mesej tidak hanya bergantung pada pertuturan.

Menurut beliau, komunikasi turut dipengaruhi oleh bahasa tubuh, nada suara, ekspresi wajah serta keadaan persekitaran. Diam merupakan satu bentuk komunikasi yang mempunyai makna yang tersendiri. Dalam keadaan tertentu, diam mampu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan daripada kata-kata.
Beliau turut mengingatkan peserta agar mengelakkan gangguan komunikasi, sama ada berbentuk fizikal, psikologi mahupun semantik kerana gangguan tersebut akan menyebabkan mesej disalah tafsir atau gagal difahami oleh penerima.
Seterusnya, Profesor Dr. Huda Ibrahim dari Pusat Pengajian Pengkomputeraan, Universiti Utara Malaysia (UUM) pula menekankan bahawa komunikasi visual menjadi pelengkap bagi komunikasi lisan.
Menurut beliau, slaid pembentangan bukan sekadar bahan paparan, sebaliknya turut berfungsi sebagai medium komunikasi yang membantu audiens memahami isi penyampaian secara lebih sistematik.

“Slaid yang dipenuhi teks hanya mengalih perhatian audiens. Gunakan kata kunci, visual dan susun atur yang jelas supaya slaid dapat memperkukuh penyampaian, bukannya menggantikan peranan penyampai,” jelas beliau.
Program perkongsian diakhiri dengan sesi sumbang saran oleh para peserta yang membolehkan mereka berkongsi pandangan bernas bagi mempraktikkan komunikasi profesional daripada ketiga-tiga penceramah.
Walaupun perkongsian mereka diadakan dalam bahasa Inggeris, namun strategi yang disampaikan oleh ketiga-tiga penceramah dapat diguna pakai oleh pentutur berbahasa Melayu bagi menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan dan berimpak.