Diterbitkan pada 19 Julai 2026, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Masyarakat Malaysia kebanyakannya beranggapan dialek Negeri Sembilan adalah sama dengan dialek Minangkabau. Namun begitu, hakikatnya kedua-dua dialek tersebut berbeza antara satu sama lain.

Demikian antara inti pati yang diutarakan oleh Profesor Adjung Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang juga merupakan Ahli Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, ketika menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang membicarakan tentang dialek tersebut bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semalam.

Beliau berkata, dialek Negeri Sembilan dibawa oleh perantau dari Sumatera bersama-sama dengan adat Perpatih yang berteraskan susur galur sebelah ibu. Pengaruh budaya tersebut turut dapat dilihat melalui penggunaan gelaran Yang di-Pertuan Besar serta makanan tradisional seperti masak lemak dan apam Johol.

Menurut beliau, keadaan tersebut berlaku kerana masyarakat pada zaman dahulu merupakan masyarakat maritim yang aktif merantau.

“Berbanding dengan dialek lain di Malaysia, dialek Negeri Sembilan mempunyai banyak kelainan daripada bahasa Melayu standard. Oleh itu, jangan pernah cuba-cuba bertutur dalam dialek ini tanpa memahami konteksnya kerana mungkin ada yang beranggapan kita cuba mengejek sehingga boleh menyebabkan penggunanya berkecil hati,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa taburan dialek di negara ini bukan mengikut persempadanan politik. Sebagai contoh, dialek Negeri Sembilan turut dituturkan hingga ke bahagian utara Melaka dan Bentong, Pahang.

Jelasnya, hal ini adalah disebabkan oleh faktor sejarah sehinggakan dialek berkenaan tetap kekal dalam kalangan masyarakat di situ.

“Dialek Negeri Sembilan yang dituturkan oleh masyarakat di setiap daerah di negeri ini pada umumnya tidak banyak beza,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat memanfaatkan media sosial sebagai pelantar untuk memelihara dan menyebarluaskan penggunaan dialek tempatan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi