Diterbitkan pada 19 Julai 2026, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gabungan Kata

Selain daripada penyesuaian ejaan, proses penterjemahan juga menekankan penelitian istilah kata majmuk dalam bahasa asing sebelum diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Berbanding dengan menukarkan ejaan sesetengah huruf, kaedah ini lebih memfokuskan kesesuaian makna semantik perkataan dalam konteks penyampaian keseluruhan istilah. Sebagai contoh, istilah goal keeper diterjemahkan kepada penjaga gol. Sekiranya diteliti dengan lebih mendalam, perkataan keeper secara amnya membawa maksud penyimpan, tetapi istilah penjaga gol adalah lebih tepat menggambarkan fungsi pemain tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa penterjemahan istilah ini perlulah berpandukan konsep dan bukannya terjemahan harfiah semata-mata.

Situasi ini juga dilihat persis penterjemahan istilah counter attack atau disebut sebagai serangan balas. Serangan balas ialah strategi menyerang yang dilakukan dengan pantas sebaik sahaja suatu pasukan berjaya merampas dan mendapatkan semula penguasaan bola daripada pihak lawan ketika pertahanan lawan belum sempat menyusun semula kedudukan mereka. Istilah counter attack tidak diterjemahkan sebagai kaunter serangan kerana perkataan counter dalam konteks bola sepak bukan merujuk kaunter jualan atau kaunter perkhidmatan, tetapi membawa maksud tindak balas terhadap serangan lawan. Oleh itu, padanan “balas” lebih tepat dari segi konsep. Istilah attack pula sebenarnya membawa makna serang, iaitu tergolong dalam nahu kata kerja.

Namun begitu, kita perlu meneliti juga paradigma kata yang dipinjam daripada bahasa asing melalui pola tertentu. Dalam situasi ini, istilah counter attack dikategorikan sebagai kata nama menyebabkan kata kerja “serang” menerima imbuhan akhiran -an menjadi “serangan”. Dalam sukan bola sepak, terdapat banyak gabungan perkataan yang mengalami proses ini untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kata pinjaman asing seperti free kick – sepakan percuma, top scorer – penjaring terbanyak, dan assistant referee – penolong pengadil.

Perluasan Makna

Pembentukan istilah melalui perluasan makna merupakan proses mengambil perkataan bahasa Melayu yang telah wujud dan memperluas maknanya supaya dapat mewakili konsep dalam sesuatu bidang ilmu atau sukan. Perluasan makna berlaku apabila sesuatu perkataan yang pada asalnya digunakan dalam kehidupan harian diberikan fungsi semantik baharu untuk menjelaskan konsep yang lebih teknikal. Hal ini membolehkan bahasa Melayu memanfaatkan kosa kata sedia ada tanpa perlu mencipta perkataan baharu dan meminjam istilah asing secara berlebihan. Kaedah ini menunjukkan bahawa perkembangan bahasa bukan hanya berlaku melalui pertambahan perkataan, tetapi juga melalui perkembangan makna sesuatu perkataan.

Perkataan “sayap” pada asalnya merujuk anggota badan burung, serangga atau kapal terbang yang berfungsi untuk terbang atau mengekalkan keseimbangan. Walau bagaimanapun, dalam bola sepak, makna perkataan ini diperluas untuk merujuk bahagian kiri atau kanan padang yang menjadi laluan utama serangan. Daripada peluasan makna tersebut lahirlah istilah “pemain sayap kiri” dan “pemain sayap kanan”, iaitu pemain yang bertugas mencipta peluang gol melalui hantaran lintang atau larian di bahagian tepi padang. Perkembangan makna ini berlaku kerana kedudukan pemain tersebut berada di bahagian tepi formasi pasukan, sebagaimana sayap yang berada di bahagian sisi tubuh burung. Oleh itu, hubungan makna yang terbentuk dilihat berdasarkan persamaan kedudukan dan fungsi, bukannya persamaan bentuk.

Perkataan “penyerang” pada asalnya merujuk seseorang yang melakukan serangan terhadap musuh atau lawan. Dalam konteks bola sepak, makna ini diperluas kepada pemain yang berfungsi menghasilkan jaringan. Istilah seperti “penyerang utama”, “penyerang kedua” dan “penyerang tunggal” menunjukkan bahawa konsep “menyerang” diterjemahkan kepada tugas utama pemain di bahagian hadapan pasukan.

Jelaslah bahawa pembentukan istilah bola sepak dalam bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa kebangsaan mempunyai keupayaan untuk berkembang seiring dengan kemajuan sukan moden tanpa mengorbankan identiti dan sistem bahasanya. Melalui kaedah peminjaman istilah, penyesuaian ejaan, penterjemahan gabungan kata dan perluasan makna, pelbagai konsep serta taktikal baharu dapat disampaikan dengan tepat dan mudah difahami oleh masyarakat. Oleh itu, penggunaan istilah bahasa Melayu yang baku perlu diperkasakan secara konsisten oleh pengulas sukan, wartawan dan penulis agar istilah ini terus menjadi pilihan dalam wacana bola sepak. Usaha berterusan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan pengamal bahasa dan komuniti sukan amat penting bagi memastikan bahasa Melayu kekal relevan sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa sukan bertaraf antarabangsa, sekali gus mengangkat martabatnya ke peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi