Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBali – Dalam usaha memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta memartabatkan bahasa dan budaya serumpun, Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengadakan Program Mobiliti Staf Antarabangsa di Fakultas Bahasa dan Seni (FBS), Universitas Pendidikan Ganesha (Undiksha), Bali, semalam.

Program yang berlangsung dari 12 Julai hingga 19 Julai 2026 ini merupakan sebahagian daripada Program Mobiliti Staf Antarabangsa: Pertukaran Budaya dan Bahasa Malaysia–Indonesia yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama akademik antara kedua-dua institusi dalam bidang penyelidikan, penerbitan ilmiah, mobiliti staf dan pelajar, serta pelibatan masyarakat.
Dalam ucapan alu-aluannya, Wakil Dekan II FBS Undiksha yang mewakili Dekan FBS, YBrs. Dr. I Putu Mas Dewantara menegaskan bahawa perkembangan kecerdasan buatan sememangnya membantu proses penterjemahan bahasa, namun teknologi tersebut tidak mampu menggantikan nilai budaya, pemaknaan dan dasar bahasa yang menjadi asas identiti sesuatu bangsa.
Perkembangan kecerdasan buatan memang memudahkan penterjemahan, namun teknologi tidak akan mampu menggantikan aspek pemaknaan, nilai budaya dan dasar bahasa yang menjadi teras identiti sesebuah bangsa.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Melayu KSTCL UIAM, YBrs. Prof. Madya Dr. Faridah Nazir, yang mengetuai delegasi UIAM merakamkan penghargaan atas sambutan yang diberikan oleh pihak Undiksha.
Jelas YBrs. Prof. Madya Dr. Faridah Nazir,
Program mobiliti ini merupakan komitmen berterusan UIAM untuk memperluas kerjasama akademik dengan institusi pengajian tinggi di Indonesia.
Menurut beliau lagi, kerjasama itu diharapkan dapat meningkatkan penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, mobiliti pensyarah dan pelajar, serta pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik pada masa hadapan.
Kemuncak program ini ialah majlis menandatangani Implementation Agreement (IA) antara FBS Undiksha dengan Jabatan Bahasa Melayu KSTCL UIAM. Perjanjian tersebut menjadi asas terhadap pelaksanaan pelbagai program kerjasama antara kedua-dua institusi akan datang.

Majlis diteruskan dengan sesi pembentangan dan perbincangan akademik yang dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Ni Made Rai Wisudariani. Perbincangan memberikan fokus terhadap peluang penyelidikan bersama, penerbitan jurnal berimpak tinggi, pengukuhan program pascasiswazah, inovasi dalam pedagogi bahasa, mobiliti staf dan pelajar, serta pelaksanaan program khidmat masyarakat.
Program mobiliti ini bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan akademik antara UIAM dengan Undiksha, malah mencerminkan komitmen kedua-dua institusi bagi memartabatkan bahasa, budaya dan warisan serumpun melalui kerjasama rentas negara. Inisiatif ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Perkongsian demi Matlamat) melalui pengukuhan jaringan akademik dan pembangunan ilmu yang memberikan manfaat kepada masyarakat serantau.
Yang turut hadir dalam program tersebut termasuklah barisan pengurusan fakulti serta wakil daripada Jurusan Bahasa Asing dan Jurusan Bahasa, Sastera Indonesia dan Daerah.
Dr. Usha Nagasundram merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Muar Johor.