11 Mac 2023, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur Program Malam Baca Puisi PENA anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) yang telah diadakan pada malam semalam dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu khas, iaitu Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Kehadiran beliau membuktikan komitmen dan semangatnya dalam menggiatkan lagi aktiviti bahasa dan sastera kebangsaan.
Menerusi ucapannya dalam program tersebut, beliau menyatakan bahawa kini kebanyakan negara di dunia memanfaatkan “kuasa lunak” dalam memainkan peranan yang penting dalam mengubah pendirian antara sesebuah negara dengan negara lain seperti mengubah sentimen permusuhan kepada jalinan persahabatan.
Ujarnya lagi, kebanyakan negara melaksanakan dasar yang menekankan kuasa lunak (soft power) sebagai jati diri. Terdapat ciri khusus kuasa lunak sesebuah negara dan mereka dengan amat yakin menampilkannya kepada masyarakat dunia. Impaknya, dunia akan mendekati negara berkenaan lantaran keunikan kuasa lunak yang amat menyerlah ini.
Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sedang memperkatakan konsep kuasa lunak negara.
Beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu berupaya menyerlahkan kuasa lunak ini kepada dunia. Bahasa Melayu sebagai bahasa negara mampu menjadi antara elemen penting dalam diplomasi budaya. Dalam konteks ini, rakyat Malaysia sememangnya telah dikenali oleh dunia sebagai masyarakat yang penyantun dan berbudaya. Jelasnya lagi,
Oleh itu, perkara ini boleh menjelmakan diplomasi budaya Malaysia kepada dunia. Malaysia telah memiliki identiti kuasa lunak ini dan sudah tentu akan memberikan impak yang besar dari sudut kemakmuran negara.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa pembangunan sesebuah tamadun yang unggul bukan semata-mata atas kejayaan fizikal sahaja tetapi bahasa dan sastera juga penting dalam menyeimbangkan jiwa manusia serta membina dan memperkukuh tamadun.
YBhg. Prof Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyampaikan cenderamata, iaitu buku nukilannya kepada YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan turut menyampaikan ucapan.
Sementara itu, Datuk Zainal Abidin Borhan yang merupakan Presiden GAPENA, menyatakan harapannya agar kerajaan yang ada sekarang hendaklah meneruskan usaha dan langkah dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Ujarnya lagi, penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada tahun lalu yang menggagaskan wawasan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa hendaklah diteruskan dan perlunya usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan menjadi fokus dan bukanlah semata-mata atas tindakan politik.
SN Zurinah Hassan sedang membacakan puisi nukilannya.
Yang turut hadir dalam program ini ialah YBhg. Prof Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA), YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron (Timbalan Presiden PENA merangkap Pengerusi TV Al-Hijrah), SN Zurinah Hassan, Tuan Haji Razali Che Mat (Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP), Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan karyawan puisi.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.