Oleh Firdaus Mul
24 Mac 2023, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seseorang yang menguasai kemahiran mengarang dengan baik berupaya menyampaikan idea kepada khalayak dengan lebih berkesan. Demikian antara inti pati penting yang disampaikan oleh Encik Nawi Ismail yang juga seorang penulis dan pengajar dalam rancangan “Cakna Bahasa–Panduan Penulisan Karangan”, anjuran BERNAMA Radio semalam.

Memiliki kemahiran menulis karangan bukan sahaja dapat membantu seseorang individu pada peringkat persekolahan bahkan sewaktu menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Seseorang yang menguasai kemahiran dalam penulisan juga dikatakan individu yang mempunyai kecekapan dan berketerampilan dalam berbahasa.

Beliau berkata, banyak manfaat dapat diperoleh apabila seseorang itu menguasai kemahiran mengarang.  Melalui kemahiran tersebut, ucapan lisannya lebih jelas, tersusun, menarik dan terperinci.

Jika kita menguasai kemahiran mengarang di sekolah, maka apabila melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi atau alam pekerjaan, asas ilmu kepengarangan yang ada dapat digunakan untuk menulis tesis, laporan, kertas kerja, dan minit mesyuarat, dan teks ucapan.

Beliau turut menegaskan bahawa amalan membaca merupakan amalan yang sangat penting, lebih-lebih lagi bagi pelajar sekolah. Amalan membaca berupaya membantu individu menambahkan ilmu pengetahuan dan pada masa yang sama didedahkan kepada penggunaan kosa kata tertentu dan gaya bahasa yang baik.

Namun begitu, janganlah membaca sahaja tetapi mencatatkan maklumat penting untuk lebih berkesan.

Tambah beliau, antara kesalahan tatabahasa yang sering kali berlaku termasuklah penggunaan “kepada”, “atas” dan “di atas”, “dalam”, dan “di dalam”. Kesalahan lain ialah penggunaan ejaan seperti tengah hari, urus setia, juruwang, jurutera, dan juruukur.

Encik Nawi Ismail (kanan) ketika bersiaran menerusi BERNAMA Radio semalam.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.