Oleh Aminudin Mansor
18 Mac 2021, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peribahasa Melayu mempunyai falsafah tersendiri di sebalik penciptaannya. Orang Melayu dahulu mencipta peribahasa untuk menasihati generasi Melayu supaya sentiasa beringat, berhati-hati, mengetahui dan berwaspada dengan kehidupan  pada masa akan datang. Hal ini dapat dilihat melalui peribahasa, “Beringat-ingat sebelum kena, berjimat sebelum habis”, yang membawa maksud supaya kita sentiasa beringat sebelum terkena sesuatu dan berjimat sebelum sesuatu itu habis terutama yang berkaitan dengan wang.

Falsafah di sini membawa maksud pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu dalam setiap peribahasa Melayu yang dicipta dan dimanfaatkan dalam kehidupan. Sehubungan dengan itu, orang Melayu yang ahli dalam mencipta peribahasa ini mempunyai daya fikir yang tajam dan bijaksana dengan perenungan jauh terhadap alam sekeliling dan juga kehidupan yang dilalui. Begitulah bijaknya pakar bahasa dalam kalangan orang Melayu yang mencipta peribahasa.

Menurut Za‘ba dalam bukunya, Ilmu Mengarang Melayu, peribahasa ialah susunan cakap yang pendek, yang telah melekat di mulut orang ramai sejak zaman-berzaman. Hal tersebut dikatakan demikian kerana ungkapan ini sedap didengar dan dalam maknanya serta digunakan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan bahan pengajaran.

Susunan kata dalam sesuatu peribahasa dipilih khas, kemas susunannya, ada unsur bunyi yang sama pada akhir kata yang ringkas, mempunyai makna yang tertentu dan mengandungi pengajaran serta falsafah yang mendalam. Kata dan peribahasa ini mempunyai falsafah sebagai pengajaran dan pendidikan kepada semua. Contohnya, peribahasa “Cegah sebelum parah”, membawa maksud mengelak sesuatu penyakit berbahaya seperti COVID-19, yang melanda negara dan dunia. Oleh itu, kita hendaklah mencegahnya sebelum penyakit itu menjadi parah dan virus itu merebak.

Peribahasa merupakan sebahagian daripada khazanah sastera orang Melayu, yang tergolong dalam sastera lisan. Keindahan dan kebijaksanaannya terpakai sekian lama hingga kekal popular pada hari ini. Semua peribahasa ini kini masih lagi digunakan sebagai panduan hidup. Peribahasa Melayu merupakan pancaran kebudayaan dan kehidupan masyarakat lama yang masih bermanfaat kepada masyarakat pada hari ini.

Asal usul peribahasa juga sebagai sebahagian daripada peri atau cerita dalam sastera rakyat. Peribahasa tidak diketahui penciptanya kerana dalam masyarakat lampau, individu tidak dipentingkan dan sesebuah karya seperti peribahasa yang dicipta akhirnya menjadi hak milik masyarakat sejak dahulu hingga kini.

Lantaran hal itu, Za‘ba ada memberikan pandangannya tentang cara terbitnya peribahasa dalam kehidupan masyarakat Melayu. Menurutnya, pada mulanya sesuatu ungkapan itu digunakan oleh sesuatu pihak, iaitu sama ada seorang atau sekumpulan. Bentuknya ringkas, tepat dengan maksud yang hendak dicapai dan mengandungi kebenaran serta terbit daripada pengalaman sendiri atau yang telah diperhatikan berlaku pada orang lain.

Kemudian, apabila bentuk itu digemari orang lain, mereka pula menggunakannya secara berulang-ulang dan tersebar daripada seorang kepada orang lain. Akhirnya, bentuk demikian menjadi terkenal dan digunakan pada situasi yang serupa. Di bawah peribahasa, terdapat juga jenis dan sifat perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, kata-kata hikmat, simpulan bahasa dan kiasan. Kesemuanya digunakan oleh kelompok atau bangsa Melayu sejak dahulu lagi.

Menurut Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, dalam Teks Bahasa Melayu, ada dalam kalangan sarjana yang tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa kelompok atau bangsa Melayu berasal dari kawasan Asia Tengah dan telah mengemukakan hipotesis kawasan Nusantara. Berdasarkan hipotesis ini, orang Melayu dikatakan tidak berasal dari luar tetapi mereka dikatakan manusia asal yang memang telah wujud di Nusantara. Oleh itu, orang Melayu merupakan orang tempatan.

Tempat asal bahasa Melayu dikaitkan dengan tempat asal penuturnya, iaitu tempat asal orang Melayu. Terdapat dua hipotesis tentang tempat asal orang Melayu seperti yang diutarakan oleh ahli arkeologi dan ahli linguistik, iaitu kawasan Asia Tengah dan kawasan Nusantara yang memang kaya dengan keindahan alam sekitarnya dengan pelbagai tumbuhan.

Peribahasa juga terhasil melalui pemerhatian, penelitian dan pengkajian terhadap alam semula jadi.

Orang Melayu turut mempunyai pandangan dan falsafah hidupnya sendiri terhadap alam sekitar dan masyarakatnya. Mereka membuka petempatan di Kepulauan Melayu dan terus berkembang di kawasan tersebut seiring dengan bahasa dan pertuturan melalui peribahasa, pantun, perumpamaan dan ada juga yang berkaitan dengan latar tempat mereka tinggal.

 

Peribahasa Melayu turut membuktikan ketinggian falsafah orang Melayu dalam menyampaikan pengajaran, didikan dan bimbingan melalui bahasa yang indah dan mempunyai maksud yang mendalam. Selain itu, peribahasa juga merupakan catatan pengalaman dan sejarah bangsa tentang kehebatan orang Melayu dalam menggunakan bahasa yang berkaitan dengan alam, tempat, haiwan, peristiwa, perkara maujud dan mujarad serta unsur alam yang luas dan kaya dengan keindahan.

Orang Melayu dahulu sangat saintifik melalui pemerhatian, penelitian dan pengkajian dan menerbitkan peribahasa yang tentunya mengandungi banyak pengajaran. Lantaran hal itu, bidang bahasa sangat penting dijadikan panduan dalam kehidupan. Sumber kehidupan daripada alam dijadikan pedoman dalam kehidupan. Renungi sahaja falsafah dalam peribahasa Melayu ini, iaitu “ Membujur lalu, melintang patah” yang bermaksud seseorang yang sanggup menghadapi apa-apa cabaran dan rintangan dalam kehidupan.

Pengertian tersebut daripada orang Melayu dahulu yang tinggal di tepi sungai dan melihat aliran sungai. Di sungai yang deras dan laju itu, ada pohon kayu yang hanyut seperti pohon kayu yang keras seperti keruing, penak atau meranti yang membujur lalu sehingga ada yang melintang sehingga patah. Meskipun patah, dengan kekuatan teras kayu itu dikiaskan sebagai semangat yang terus juga bergerak ke kuala sungai.

Sumbangan tamadun Islam juga menjadi teras kepada tamadun dan falsafah orang Melayu. Peribahasa Melayu banyak berteraskan Islam dan terpancar dalam setiap amalan kehidupan masyarakat Melayu yang menjadi cerminan lahir dan batin dalam kerukunan hidup individu, berkeluarga dan bermasyarakat. Sifat ketinggian ilmu dari segi pemikiran juga ada dalam peribahasa Melayu dengan akal budi, adat dan budaya tinggi. Seperti kata peribahasa Melayu, “Jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak yang bermaksud semakin kaya semakin sombong”.

Seperti kata peribahasa Melayu lain, “Jangan jadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” pula bermaksud bahawa dalam kehidupan ini mesti ada semangat dan sifat kerjasama dan tolong-menolong dan sentiasa terpelihara dalam keadaan aman dan sentosa dalam masyarakat. Meskipun hidup dalam era teknologi digital, kita tidak seharusnya menolak sifat kerjasama dan tolong-menolong dalam masyarakat.

Oleh itu, masyarakat Melayu pada hari ini terutamanya dalam kalangan generasi muda mestilah melihat dan merenung makna dan falsafah yang tersurat dan tersirat dalam setiap peribahasa Melayu. Meskipun peribahasa dicipta sejak zaman lampau, peribahasa itu masih berguna dan mempunyai falsafahnya hingga zaman teknologi maklumat. Generasi muda juga mesti memanfaatkan kata-kata dan pesanan dalam peribahasa Melayu sebagai panduan dalam kehidupan. Contohnya, “Terlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya”. Dalam era teknologi digital, kita seharusnya memegang falsafah ini agar sentiasa berhati-hati ketika berkata-kata atau menulis di media baharu dan media sosial. Jika tersilap tulis akan mengundang padah.

Semua peribahasa Melayu yang dicipta mempunyai kekuatan dan daya intelek Melayu dengan kebijaksanaan minda dan akal budi Melayu. Peribahasa Melayu merangkumi agama, adat, budaya, bahasa, logik, moral serta falsafah dengan pemikiran aras tinggi yang menggunakan bahasa dengan kiasan yang mengandungi pemikiran pada masa silam dan dapat dimanfaatkan pada masa akan datang. Peribahasa Melayu juga menunjukkan kekuatan intelektual dan pemikiran Melayu yang masih mempengaruhi pemikiran dalam kehidupan orang Melayu pada masa kini.

Kesimpulannya, peribahasa Melayu mempunyai bahasa yang indah dengan maksud yang mendalam dan bermakna untuk disampaikan dan ada juga yang diikuti dengan unsur pematah (bagi pepatah) umpama bagi (perumpamaan) bagi maksud tersebut secara tersurat dan tersirat. Peribahasa Melayu ialah ungkapan lama yang penuh dengan falsafah, kebijaksanaan akal budi Melayu yang mempunyai isi dan makna yang luas bagi menggambarkan kebijaksanaan orang zaman dahulu yang berpandangan bernas, mempunyai nilai dan pengajaran, serta pada masa yang sama boleh digunakan sebagai panduan hidup sehingga hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.