7 Jun 2021, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banyak sarjana bahasa pada hari ini cuba mempromosikan slogan “Memartabatkan Bahasa Melayu”. Ya, usaha tersebut harus dipuji dan diperkuat agar bahasa Melayu kembali gah di mata dunia. Namun begitu, timbul satu persoalan dalam diri penulis, adakah memartabatkan bahasa Melayu hanya dengan mengajar tentang salah dan betul penggunaan bahasa semata-mata? Atau adakah cukup dengan cara mengutamakan bahasa Melayu daripada menggunakan bahasa Inggeris semasa berkomunikasi? Sudah tentu matlamatnya lebih daripada itu.

Memang tidak dinafikan bahawa banyak peranan yang telah dimainkan oleh pelbagai pihak bagi memastikan bahasa Melayu terus mekar di bumi Malaysia. Namun begitu, masih ada ruang yang perlu dipenuhi agar ilmu bahasa Melayu ini terus menyerlah dan berkembang. Sebagai contoh, slogan “Memartabatkan Bahasa Melayu” dapat dianalogikan seperti sepinggan nasi. Lauk-pauk akan menjadi hidangan pelengkap buat nasi. Lauk-pauk itu diibaratkan seperti pelbagai ilmu yang akan memenuhi nasi di dalam pinggan itu. Pastinya lebih enak jika di atas meja ada hidangan lauk-pauk yang banyak. Begitulah juga dengan slogan tersebut yang memerlukan ilmu lain untuk ditambah bagi memperkukuhnya.

Bagi penulis, satu ilmu yang harus disampaikan kepada pengguna bahasa khususnya masyarakat di Malaysia ialah tentang sejarah perkataan yang berkait rapat dengan ilmu etimologi. Slogan untuk memartabatkan bahasa Melayu, yakni “Bahasa Jiwa Bangsa” akan menjadi lebih hebat jika ilmu ini disampaikan kepada pengguna bahasa. Menurut Bynon dalam bukunya, Historical Linguistics (1977), etimologi ialah kajian yang berusaha untuk menyusun sejarah bentuk dan makna kata. Menurutnya lagi, sejarah dan semantik perkataan perlu dijejak sepanjang masa hingga mencapai akar atau bahasa sumber pinjaman sekiranya kata yang dikaji itu kata pinjaman.

Berdasarkan takrifan tersebut, kajian etimologi merupakan kajian yang mendalami sejarah perkataan, bentuk ejaan dan makna perkataan. Seperkara lagi yang perlu ada dalam kajian etimologi ialah waktu kemunculan sesuatu perkataan dalam bahasa Melayu. Hal tersebut penting kerana Collins dalam bukunya yang bertajuk Mukaddimah Ilmu Etimologi (2003), menjelaskan bahawa kajian etimologi memerlukan penelitian terhadap kemunculan sesuatu perkataan buat pertama kalinya.

Dalam bidang etimologi, istilah “pinjam” sering digunakan. Campbell dalam bukunya, Historical Linguistics: An Introduction (2013) menjelaskan bahawa peminjaman merujuk pengambilan perkataan daripada bahasa lain dan menjadikan perkataan itu sebahagian daripada perbendaharaan kata sendiri. Hal ini berbeza daripada takrifan yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), iaitu kata pinjam bermaksud memberikan sesuatu untuk kegunaan sementara (dengan janji akan dikembalikan apabila sampai tempohnya). Walaupun maksud kata pinjam itu berbeza daripada konteks penggunaan yang lain, istilah ini terpakai dan diguna dalam perbincangan etimologi. Oleh itu, konsep peminjaman itu sesuai diguna berdasarkan pengertian yang dinyatakan oleh Campbell.

Kata Sabun dalam Bahasa Melayu

Banyak perkataan yang digunakan dalam bahasa Melayu mempunyai kemiripan dengan bahasa lain di dunia. Persamaan bunyi dan makna sesuatu perkataan dengan bahasa lain pastinya membuatkan pengguna bahasa tertanya-tanya tentang faktor kewujudan persamaan itu. Misalnya, kata “sabun” dalam bahasa Melayu bermaksud bahan pencuci pakaian (badan dan lain-lain) yang diperbuat daripada lemak dan soda. Kata “sabun” mempunyai kemiripan bentuk dan makna dengan kata “savon” (bahasa Perancis), “sapon’e “ (bahasa Itali), “jabón” (bahasa Sepanyol), “sâbŭn” (bahasa Parsi), “sâboun” (bahasa Arab), dan “saabun” (bahasa Hindi).

Mungkin ada pengguna bahasa yang beranggapan bahawa sabun dalam bahasa Melayu mirip dengan bahasa Inggeris, iaitu soap yang dipinjam daripadanya. Zahirnya, kata sabun yang wujud dalam bahasa Melayu bukanlah dipinjam daripada bahasa Inggeris tetapi dipinjam daripada bahasa Arab atau mungkin juga daripada bahasa Parsi. Menurut Jones dalam bukunya, Loan-words in Indonesian and Malay (2008), pengaruh Arab dan Parsi dalam bahasa Melayu−Indonesia di Nusantara bermula pada abad ke-14. Oleh itu, kata sabun berkemungkinan masuk ke dalam bahasa Melayu dalam tempoh abad itu atau mungkin juga lewat daripada abad itu.

Berdasarkan maklumat yang terkandung dalam Online Etymology Dictionary, kata sabun yang wujud dalam pelbagai bahasa itu bermula daripada akar yang satu, iaitu akar Indo-Eropah dengan bentuk ejaannya, seip. Kata “seip” mengalami perubahan apabila masuk ke dalam bahasa Latin dan membentuk kata “sâpô” yang seterusnya masuk ke dalam bahasa Greek dan membentuk kata “sapôn”. Seterusnya, kata “sapôn” masuk ke dalam bahasa Arab dan seterusnya bahasa Parsi meminjamnya daripada bahasa Arab. Bagi memudahkan pemahaman jalur atau aliran peminjaman kata “sabun”, jalur peminjaman kata sabun dalam bahasa Melayu dapat diperlihatkan seperti yang berikut.

seip (akar Indo−Eropah) sâpô (Latin) → sapôn (Greek) → sâboun (Arab)

sâbŭn (Parsi) → sabun (Bahasa Melayu)

Kata Mangga dalam Bahasa Melayu

Memang menarik untuk dibincangkan tentang cara masyarakat Melayu dahulu meminjam perkataan daripada bahasa Sanskrit. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu banyak meminjam perkataan daripada bahasa Sanskrit. Hal ini dapat dibuktikan melalui kamus yang dihasilkan oleh Wilkinson yang diterbitkan pada tahun 1901 dan 1902, iaitu A Malay-English Dictionary. Dianggarkan bahawa terdapat 605 perkataan Sanskrit di dalam kamus tersebut.

Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia terkenal dengan buah mangganya, iaitu mangga harum manis. Buah ini sangat terkenal dan sinonim dengan negeri Perlis. Namun begitu, bukan harum manis yang ingin dibicarakan tetapi perihal asal usul kata mangga yang digunakan dalam bahasa Melayu. Tahukah anda, apakah asal usul kata tersebut? Kata “mangga” yang wujud dalam bahasa Melayu dipinjam daripada bahasa Sanskrit, iaitu “kamanga” atau dalam bentuk tulisan Sanskritnya, iaitu कामाङ्ग yang bermaksud sejenis mangga atau pokok mangga.

Yang menariknya, ada dua bentuk variasi ejaan yang lain daripada bahasa Sanskrit itu bagi rujukan yang sama. Dalam bahasa Melayu, wujud kata yang bersinonim dengan kata “mangga”, iaitu kata “mempelam” dan “amra”. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata “mangga” bermaksud sejenis tumbuhan (pokok dan buahnya) mempelam dan maksud yang kedua ialah ibu kunci atau pedal ayam. Untuk perkataan ini, wujud dua makna yang berbeza, iaitu merujuk sejenis buah dan ibu kunci. Sebenarnya, makna asal kata mangga dalam bahasa Sanskrit merujuk buah mangga. Namun begitu, kata itu mengalami perkembangan makna apabila masuk ke dalam bahasa Melayu, yakni mewujudkan makna yang kedua, iaitu ibu kunci.

Selain itu, wujud satu bentuk kata yang lain bagi merujuk buah yang sama, iaitu kata “mempelam”. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, mempelam membawa maksud sejenis tumbuhan (pokok dan buahnya), iaitu mangga. Jika diteliti makna perkataan ini, wujud dua bentuk ejaan yang berbeza, iaitu mangga dan mempelam tetapi hakikatnya merujuk buah yang sama.

Kata “mempelam” berkemungkinan dipinjam daripada bahasa Sanskrit tetapi mengalami perubahan yang ketara apabila masuk ke dalam bahasa Melayu. Menurut pengkaji, kata “mempelam” mengalami perubahan daripada kata “mahaphala”. Berdasarkan Sanskrit Dictionary for Spoken Sanskrit, mahaphala bermaksud sejenis buah yang besar atau buah jujub/jujube.

Kata “mahaphala” terhasil daripada gabungan dua bentuk kata, yakni kata maha + phala. Kata ini berkemungkinan mengalami perubahan secara beransur-ansur dan seterusnya membentuk kata “mempelam”. Kata “maha” bermaksud besar dan “phala” bermaksud buah. Kata “maha” ialah bentuk imbuhan yang sering digunakan dalam bahasa Melayu seperti mahaguru, maharaja, dan maharani.

Selain itu, wujud juga bentuk kata lain dalam bahasa Sanskrit, iaitu kata “amlaphala” yang bermaksud buah mangga. Kata itu juga ialah gabungan dua bentuk kata, iaitu amla + phala. Kata “amla” itu bermaksud tamarind tree [Tamarindus indica] atau dalam bahasa Melayu merujuk buah celagi. Perubahan yang berlaku pada makna perkataan ini sudah tentu rumit tetapi menarik untuk dikaji. Perubahan yang ketara juga boleh berlaku kepada kata pinjaman seperti yang berlaku pada kata “mempelam”. Hal ini dikatakan demikian kerana perubahan terjadi disebabkan oleh penyesuaian sesebuah perkataan dalam bahasa masyarakat yang meminjam.

Sekali lagi bahasa Melayu meminjam perkataan daripada bahasa Sanskrit, iaitu kata “amra” yang bermaksud sejenis mempelam (rupanya seperti kedondong); kedondong. Jika diteliti, kata “amra” dalam Sanskrit Dictionary for Spoken Sanskrit ialah buah mangga atau pokok mangga. Kata itu berkemungkinan telah mengalami pertambahan dari segi makna, yakni satu perkataan yang merujuk dua jenis buah yang berbeza. Berdasarkan perbincangan ini, ketiga-tiga bentuk kata, iaitu kata “mangga”, “mempelam” dan “amra” yang wujud dan digunakan dalam bahasa Melayu dipinjam daripada bahasa Sanskrit.

Pengaruh yang kuat daripada masyarakat India juga menyebabkan ketiga-tiga kata ini masuk ke dalam bahasa Melayu dan membentuk kata yang bersinonim. Menurut Bally dalam artikelnya yang bertajuk Mangifera indica (Mango) pada tahun 2006, buah mangga berasal dari India dan Myanmar. Hal ini bertepatan dengan catatan yang terkandung dalam Online Etymology Dictionary, yang menyatakan bahawa buah mangga ditanam secara meluas di India dan di negara tropika lain. Oleh itu, tidak hairanlah jika kata “mangga” ini masuk ke dalam bahasa Melayu melalui masyarakat India.

Jika diteliti semula tentang sejarah, hubungan perdagangan antara masyarakat India dengan Alam Melayu bermula sejak abad ke-15 Masihi dan kedatangan pedagang India ke Nusantara telah bermula sejak zaman Sebelum Masihi lagi. Oleh itu, perdagangan yang wujud antara Alam Melayu dengan India memungkinkan buah ini dibawa masuk dan seterusnya ditanam di Tanah Melayu. Oleh itu, aliran peminjaman kata “mangga” dan “mempelam” ke dalam bahasa Melayu dapat dilihat seperti yang berikut.

kamanga (Sanskrit) → mangga (Bahasa Melayu)

Mahaphala (Sanskrit) →mempelam (Bahasa Melayu)

Oleh itu, berdasarkan perbincangan tentang kata “sabun” dan “mangga”, kedua-duanya ialah perkataan pinjaman daripada bahasa asing. Kita mungkin tidak menyedari akan hal ini kerana perkataan tersebut telah sebati dalam bahasa Melayu. Dalam kajian etimologi, penelitian kata perlu diberi tumpuan kepada kata yang bersinonim. Penelitian ini akan memperlihatkan wujudnya variasi bagi sesebuah kata yang dipinjam daripada bahasa asing.

Maklumat tentang asal usul perkataan juga harus diketengahkan supaya kita dapat mengetahui tentang bahasa Melayu yang ada meminjam perkataan daripada bahasa lain di dunia. Peminjaman perkataan daripada bahasa asing bukanlah sesuatu hal yang merendahkan martabat bahasa Melayu tetapi dapat bertindak meneruskan hayat serta memperkembangkan bahasa Melayu supaya terus mekar dan tidak pudar di bumi Melayu.

Berkemungkinan juga akan ada suara-suara yang menyatakan rasa tidak setuju tentang penyampaian ilmu ini kepada masyarakat umum. Mungkin ada yang berpandangan bahawa ilmu etimologi seharusnya dibincangkan dalam kalangan ahli akademik sahaja. Namun begitu, perlu diingati bahawa kajian berkaitan dengan bahasa Melayu yang dibuat oleh para sarjana bahasa Melayu pada zaman dahulu dan kini tidak lain hanya untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Begitu juga halnya dengan cinta akan bahasa. Seseorang itu hendaklah memahami tentang bahasa yang dituturkannya yang merangkumi beberapa tanggungjawab, iaitu menghormati, menjaga dan memahami bahasa Melayu dengan baik. Apabila perkara itu ada dalam diri pengguna bahasa, maka dapat dikatakan bahawa slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” itu tercapai.

Secara keseluruhannya, ilmu etimologi perlu disampaikan kepada masyarakat melalui penerangan yang mudah. Perkembangan teknologi pada hari ini juga telah mendorong masyarakat berkomunikasi secara bebas dengan masyarakat luar negara menggunakan bahasa Melayu. Oleh itu, mungkin ada segelintir pengguna bahasa yang menyedari bahawa wujud perkataan yang mirip dengan bahasa lain. Kemiripan ini sudah tentulah akan menimbulkan kekeliruan, yakni sama ada kata yang dianggap mirip itu dipinjam daripada bahasa lain atau bahasa lain meminjam daripada bahasa Melayu. Oleh itu, maklumat tentang etimologi ini perlu didedahkan agar dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan mengetahui tentang asal usul perkataan yang digunakan dalam bahasa Melayu. Yang penting, penjelasan yang akan diberi oleh pencinta bahasa itu perlulah bersesuaian agar pengguna bahasa mudah untuk memahaminya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.