Oleh Awang Sariyan
22 Jun 2021, 07:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 22 Jun 2021, genap 65 tahun usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Manusia pada usia itu sebahagiannya mengalami kemerosotan dalam beberapa segi kehidupannya, seperti kesihatan, semangat, kemahuan dan harapan. Namun hayat DBP tidak sama dengan hayat manusia. DBP tetap gagah dan terus mengisi amanah mengangkat bahasa dan persuratan negara. Tepat rangkap kedua seni kata lagu rasmi DBP:

“Dewan Bahasa kau obor kebangsaan
Restu dari jiwa pahlawan
Nyala membakar semangat rakyat
Kau abadi dan keramat.”

Erti penubuhan DBP pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum kemerdekaan mempunyai erti yang simbolik. Tempoh satu tahun memberikan ruang badan itu dipersiapkan untuk melaksanakan tanggungjawabnya merancang bahasa yang bakal menjadi bahasa negara apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Penubuhan DBP itu turut memberikan makna yang besar bagi perjuangan pelbagai kelompok rakyat yang peka akan tuntutan kemerdekaan. Kemerdekaan bukan hanya dalam hal pemerintahan, bahkan meliputi semua aspek kehidupan, termasuklah bahasa. Demikianlah penubuhan DBP sebagai hasil perjuangan pelbagai kelompok itu melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956) yang menunjukkan pentingnya gerakan rakyat dalam merancang pembinaan negara merdeka. Itulah erti “kesaktian lidah rakyat” dalam rangkap pertama lagu rasmi DBP. Antara kelompok yang mewakili rakyat dalam kongres itu termasuklah golongan pendidik, wartawan, bahasawan, sasterawan, agamawan dan budayawan, selain sejumlah ahli politik.

Seawal penubuhannya pada tahun 1956, DBP telah mula menggerakkan jenteranya dalam usaha penggubalan istilah, iaitu salah satu keperluan bahasa moden. Dua bidang peristilahan diberi tumpuan sebagai permulaan, iaitu pertama, pentadbiran dan kedua, sains dan teknik. Sebagai negara yang akan merdeka setahun lagi, istilah bidang pentadbiran diperlukan. Tumpuan kepada bidang sains pula menunjukkan usaha awal mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, terutama ilmu sains.

Daripada sebuah jabatan kerajaan yang berpejabat di bangunan kerajaan Johor di Bukit Timbalan, Ungku Aziz Ungku Abdul Majid sebagai Pengarah pertama mengusahakan perpindahan DBP ke Kuala Lumpur, mula-mula di bekas wad hospital di sekitar Taman Bunga Kuala Lumpur. Pada tahun 1962, DBP mendapat bangunan pejabat tetap di sebelah kompleks asal Wisma Putra, tidak jauh dari Kem Tentera Udara Sungai Besi. Di bawah pimpinan Pengarah kedua, Syed Nasir Ismail, imej DBP melonjak sebagai badan pejuang bahasa kebangsaan. Peristiwa perarakan Keranda 152 ke bangunan Parlimen yang dijuarai oleh kakitangan DBP menjadi detik sejarah penting. Peristiwa Keranda 152 berkaitan dengan penangguhan kuat kuasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara yang dianjakkan selama 10 tahun, iaitu tahun 1967. Tempoh 10 tahun itu dianggap melemahkan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Bangunan DBP di Jalan Young, Kuala Lumpur.

DBP memperoleh kekuatan apabila diangkat tarafnya menjadi badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan, melalui undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 yang kemudian menjadi Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan tarafnya sebagai badan berkanun, DBP berhak merancang program dan projek yang sejajar dengan Akta DBP di samping bertanggungjawab memperoleh dana untuk kegiatannya.

Berlandaskan akta itulah DBP bergerak di bawah kawalan Lembaga Pengelola, dengan fungsi utamanya memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan dalam semua bidang, mengembangkan bakat sastera dalam bahasa kebangsaan, menerbitkan buku dan terbitan lain, terutama dalam bahasa kebangsaan, dan membakukan sistem bahasa (peristilahan, ejaan, sebutan, kosa kata dan tatabahasa). Fungsi itu diperluas dalam pindaan Akta DBP pada tahun 1995, dengan tumpuan kepada usaha pengembangan atau pemasyarakatan bahasa Melayu. Dengan perkataan lain, peluasan fungsi DBP itu diharapkan dapat memenuhi tahap “pemupukan bahasa” dalam semua sektor di negara ini, setelah tahap penetapan taraf dan pembakuan atau pembinaan bahasa mantap.

Demikianlah, sejak ditubuhkan hingga kini, DBP terus berusaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Bahasa negara diterjemahkan dalam fungsinya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa wahana semua sektor kehidupan bernegara. Bahasa kebangsaan berkaitan rapat dengan cita-cita membina jati diri dan perpaduan warganegara. Bahasa rasmi, sebagaimana yang disebut dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan ialah wasilah penggerak pentadbiran negara di tiga peringkat, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Bahasa ilmu pula meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Demikian juga, bahasa Melayu dirancang agar menjadi bahasa bidang ekonomi dan bidang-bidang lain.

Jika diukur berdasarkan akta yang menjadi teras gerak kerjanya, DBP pada satu sisi telah berjaya melaksanakan fungsinya sebagai badan perancangan bahasa, badan sastera dan badan penerbitan. Joan Rubin, seorang ahli perancangan bahasa, dalam bukunya Can Language Be Planned menyebut DBP sebagai contoh badan perancangan bahasa yang berkesan. Kerjasama mengutuhkan bahasa Melayu di peringkat serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia (MABBIM) telah memenuhi sebahagian usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional, iaitu bahasa yang merentas batas geopolitik. Usaha mengangkat sastera Melayu melalui program pembinaan bakat, anugerah dan pemasyarakatannya berhasil meningkatkan mutu, jumlah dan khalayak sastera Melayu bagi semua warganegara. Malahan sastera Melayu diangkat oleh DBP di peringkat Asia Tenggara melalui Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan sebahagian usaha membuanakan sastera Melayu telah digerakkan.

Dalam bidang penerbitan, lebih 20 000 judul buku pelbagai bidang ilmu dan kreatif untuk pelbagai peringkat telah diterbitkan. Lebih 11 majalah dan empat jurnal,  ensiklopedia pelbagai bidang dan peringkat, kamus ekabahasa dan dwibahasa (termasuklah bahasa sedunia) telah diterbitkan. Sehingga kini, DBP menjadi penerbit ulung dan unggul yang tetap bertahan meskipun badai teknologi dan perubahan budaya membaca masyarakat melanda dunia penerbitan negara.

Sebahagian kelemahan DBP berakar pada beberapa faktor. Salah satunya ialah keterbatasan bidang kuasa DBP sebagai pelaksana yang tidak diberi kuasa mengambil tindakan undang-undang sehingga ada suara sinis yang menggelar DBP sebagai “harimau kertas” dan “harimau tak bergigi”. Bidang kuasa Akta DBP menjadikan badan itu sebagai badan “dakwah bahasa”, bukan badan “pendakwa bahasa”, kerana peruntukan yang diberikan ialah usaha “menegur dan menasihati” khalayak pengguna bahasa. Sebahagian kuasa mendakwa atau mengambil tindakan ada pada badan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan semua pemimpin penjawat awam (Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah jabatan dan agensi) yang wajib memastikan semua penjawat awam melaksanakan dasar-dasar negara, termasuklah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Malangnya hingga negara merdeka selama 64 tahun, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi masih menjadi isu kerana bahasa Melayu belum dilaksanakan penggunaannya dengan sepenuhnya dan dengan mutu yang tinggi. Maka itu, DBP menggerakkan Program Audit Bahasa Melayu mulai tahun 2013 untuk membantu meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Demikian juga, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai bidang kuasa menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam belum semuanya yang bertindak proaktif sehingga citra bahasa di tempat awam belum menayangkan jati diri kebangsaan dengan memuaskan.

Pada tahun 2009, bangunan DBP diwartakan sebagai bangunan warisan.

Faktor lain ialah perubahan dasar dan pelaksanaan program yang bertentangan dengan usaha DBP. Antara contoh yang jelas termasuklah pelaksanaan Program Pengajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang  selama satu dekad mengancam bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan. Fungsi pertama DBP yang berkaitan dengan “Memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan dalam semua bidang, termasuk sains dan teknologi” secara langsung tercabar dan terhalang, termasuk apabila DBP “dipaksa” menerbitkan buku teks mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, hal yang bertentangan dengan DBP. Meskipun PPSMI telah dimansuhkan, wujudnya Program Dwibahasa dan pengutamaan kuliah dalam bahasa Inggeris di kebanyakan institusi pengajian tinggi yang menghambat usaha DBP mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

Dasar langit terbuka, keadaan dunia tanpa sempadan, globalisasi dan sikap liberal dan permisif dalam kalangan pengguna bahasa turut menjadi cabaran kepada DBP. Secara proaktif, DBP telah mula memberikan perhatian besar kepada pemupukan bahasa dan persuratan Melayu melalui bidang teknologi canggih. Penerbitan elektronik dan digital secara besar-besaran bagi bahan ilmu dan kreatif di samping meneruskan penerbitan bercetak menjadi salah satu strategi utama DBP. Pemanfaataan pelbagai pelantar dan media sosial dalam pengembangan bahasa, sastera dan ilmu telah mula memperlihatkan kesan positif, termasuk pelibatan khalayak di peringkat antarabangsa.

DBP memiliki peluang yang luas untuk menjadi lebih maju dan berkesan dalam menggalas amanah sebagai badan penampan tamadun negara, khasnya melalui bahasa, sastera dan ilmu. Semua warga kerja DBP perlu memanfaatkan semua peluang yang ada, berfikir, merancang dan bergerak dengan kreatif dan inovatif tanpa alpa akan cita-cita asal penubuhan DBP untuk mengisi erti kemerdekaan.

———————————————————————————————————-Pengemudi Watan

Zahirmu

setahun sebelum bumi merdeka

dalam zaman gejolak

umat bermaruah menuntut hak

daripada penjarah

yang meragut kebebasan dan martabat.

 

Zahirmu

daripada cetusan dan ledakan

semangat juang sekalian cendekiawan

bahasawan, sasterawan, wartawan, budayawan, agamawan

yang berpadu akal, ilmu dan wawasan

mempersiapkan bahasa watan

yang seawal abad Masihi

telah mula mengukir sejarah

di mayapada

untuk menjadi wahana

tamadun besar menjelang kemerdekaan

bahasa pembentuk jati diri umat merdeka

bahasa penyatu warga senegara

bahasa wasilah pentadbiran negara

bahasa landasan perkembangan ilmu beraneka.

 

Enam dasawarsa lima tahun

dikau meniti jalan sejarah

mengisi erti bahasa bermartabat

mengisi bahasa yang zahir dan yang maknawi

sebagai daya pengungkap pandangan sarwa

kebijaksanaan dan peri segala ilmu milik wangsa

memperkaya khazanah kata, istilah, ungkapan, laras

persuratan susastera dan persuratan ilmu.

 

Dikau akan terus kami kemudikan

sebagai bahtera tamadun wangsa dan negara

membentuk kekuatan berpaksikan nilai dan acuan sendiri

menjadi wahana akal budi

pendukung cita abadi putera dan puteri

di bumi payungan rahmat Ilahi.

© Awang Sariyan Kembara Bahasa

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.