22 Jun 2021, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − 22 Jun 2021 merupakan tarikh yang sangat istimewa bagi seluruh warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang meraikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan DBP yang Ke-65. Bertemakan “Aksara nan Hidup Sepanjang Zaman”, DBP yang muncul sebagai nama dari suatu sejarah terus gah dalam mengharungi cabaran semasa.

“Dalam tempoh lebih enam dekad ini, DBP telah mencapai kejayaan yang membanggakan pada peringkat negara, serantau dan antarabangsa. Kejayaan ini merupakan hasil iltizam dan tekad anggota Lembaga Pengelola, Pengurusan Tertinggi dan semua warga kerja DBP. Di samping itu,  DBP mampu untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai badan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mengangkat sastera dan ilmu dalam bahasa kebangsaan,” ujar YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Menurutnya lagi, keadaan dunia tanpa sempadan, dasar langit terbuka, globalisasi dan tidak kurang kerapuhan sikap akan makna bahasa dalam pembangunan menjadi antara sebabnya. Usaha DBP memanfaatkan ruang melalui teknologi, seperti memperbanyak program di pelbagai pelantar dan media sosial dapat menghasilkan pemupukan bahasa, sastera dan ilmu dalam kalangan masyarakat, sekali gus dapat mengangkat bahasa dan persuratan Melayu pada peringkat dunia apabila semua program itu dapat sampai kepada warga sedunia. Oleh itu, DBP perlu bergerak dengan lebih luas dan berkesan untuk memenuhi amanah dalam mengangkat bahasa, sastera dan ilmu.

“Transformasi ke era digital dan elektronik mahu tidak mahu perlu menjadi salah satu asas kaedah DBP bergerak. Dalam keadaan budaya membaca dan memperoleh ilmu serta maklumat masyarakat sudah banyak berubah, segala kandungan bahasa, sastera dan ilmu perlu dengan besar-besaran dipindahkan dalam bentuk digital dan elektronik yang bukan sahaja dapat memenuhi keperluan masyarakat bahkan dapat melebarkan sayap DBP pada peringkat supranasional,” jelasnya lagi.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, antara cabaran baharu yang muncul ialah pandemik COVID-19. Sehubungan dengan itu, warga DBP secara beransur-ansur telah beralih kepada kerja pendigitalan dan secara dalam talian. Katanya lagi, DBP mengadakan Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021-2025 yang bertujuan untuk mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu. Pelan ini memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Tiga perkara penting ini akan DBP laksanakan dalam tempoh lima tahun ini dan hal ini bukan suatu perkara yang baharu bagi DBP. Naratif baharu yang dibawa oleh DBP adalah dengan cara menyebarkan, mengembangkan dan membina bahasa Melayu dengan kaedah baharu, iaitu pendigitalan secara menyeluruh. Hal ini akan melibatkan cara bekerja dan usaha penerbitan DBP tanpa melupai usaha yang telah dilakukan. Contohnya, melalui penerbitan konvensional yang akan terus dilaksanakan dan pendigitalan ini merupakan salah satu usaha untuk kita lebih memantapkan sistem penyampaian pada masa akan datang. Semua ini memerlukan warga DBP bergerak tangkas untuk membina kaedah kerja baharu, untuk berfikir secara lebih kreatif, membina keupayaan diri dan memahirkan diri dengan teknologi baharu bagi memastikan media baharu yang kita gunakan ini dapat digunakan secara berkesan dan optimum. Semoga tahun 2025 nanti bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa yang dihormati oleh warga Malaysia dan bahasa Melayu juga terus diperkukuhkan sebagai bahasa ilmu dalam tempoh lima tahun ini,” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.