Oleh Kho Thong Eng
19 Ogos 2021, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata hubung ialah kata tugas yang digunakan untuk menghubungkan klausa dalam ayat majmuk. Oleh itu, kaitan antara kata hubung dengan klausa adalah seperti yang berikut:

klausa + kata hubung + klausa (+ kata hubung + klausa + …)

Oleh sebab kata hubung menghubungkan klausa, setiap klausa harus mempunyai binaan subjek + predikat dalam struktur permukaan atau struktur dalamannya. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia membeli baju dan seluar.

1b.  Dia membeli baju.

1c.  Dia membeli seluar.

2a.  Baju yang dipakainya kotor.

2b.  Baju dipakainya.

2c.  Bajunya kotor.

3a.  Dia mengetahui bahawa ujian akan diadakan.

3b.  Dia mengetahui hal itu.

3c.  Ujian akan diadakan.

4a.  Dia belajar supaya lulus.

4b.  Dia belajar.

4c.  Dia lulus.

Struktur dalaman ayat 1a meliputi dua klausa, iaitu dia membeli baju (1b) dan dia membeli seluar (1c). Namun demikian, dalam struktur permukaannya, subjek dan kata kerja yang sama dalam klausa gabungan telah digugurkan.

Struktur dalaman ayat 2a meliputi dua klausa, iaitu baju dipakainya (2b) dan bajunya kotor (1c). Namun demikian, dalam struktur permukaannya, subjek dalam klausa relatifnya telah diganti oleh kata hubung yang.

Struktur dalaman ayat 3a meliputi dua klausa, iaitu dia mengetahui hal itu (3b) dan ujian akan diadakan (3c). Namun demikian, dalam struktur permukaannya, objek hal itu telah diganti oleh klausa komplemen objek bahawa ujian akan diadakan. Struktur dalaman ayat 4a meliputi dua klausa, iaitu dia belajar (4b) dan dia lulus (4c). Namun demikian, dalam struktur permukaannya, subjek yang sama (dia) dalam klausa keterangan telah digugurkan.

Oleh sebab mekanisme pengguguran, klausa yang mesti ada subjek frasa nama ada kalanya hanya menampakkan predikat pada struktur permukaan klausa kedua yang dihubungkan dengan klausa pertama. Oleh itu, klausa kedua seolah-olah bermula dengan kata kerja, kata adjektif atau frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia dikenakan hukuman kerana (dia) berbuat salah.

5b.  Dia dikenakan hukuman.     (FN + FK)

5c.  Dia berbuat salah.                   (FN + FK)

6a.  Dia menangis kerana (dia) sedih.

6b.  Dia menangis.                      (FN + FK)

6c.  Dia sedih.                              (FN + FA)

7a.  Dia menaiki kereta api untuk (dia) ke Johor Bahru.

7b.  Dia menaiki kereta api.         (FN + FK)

7c.  Dia ke Johor Bahru.             (FN + FS)

Dalam ayat 5a, klausa keterangan ayat majmuk hanya menampakkan frasa kerja berbuat salah.

Dalam ayat 6a, klausa keterangan ayat hanya menampakkan kata adjektif sedih.

Dalam ayat 7a, klausa keterangannya hanya menampakkan frasa sendi nama ke Johor Bahru.

Oleh sebab klausa mesti ada subjek frasa nama, subjek yang berlainan dalam klausa kedua mesti dinyatakan dalam struktur permukaan. Sila lihat contoh yang berikut:

8a. *Ibu bapa mendidik anak mereka supaya berjaya.

8b. Ibu bapa mendidik anak mereka supaya anak mereka berjaya.

9a.  *Untuk berjaya adalah susah.

9b.   Untuk dia berjaya adalah susah.

10.   Dia belajar untuk lulus.

11a.  Usaha untuk menolong orang miskin telah diadakan.

11b.  Usaha untuk tujuan menolong orang miskin telah dijalankan.

11c.  Usaha untuk kerajaan menolong orang miskin telah dijalankan.

12.   Dia membeli hadiah untuk adiknya.

Ayat 8a kurang sempurna kerana maksudnya mengelirukan pembaca. Tanpa subjek yang baharu dalam klausa keterangan, orang yang akan berjaya seolah-olahnya ialah ibu bapa, bukannya anak mereka. Oleh itu, subjek baharu anak mereka harus dinyatakan.

Ayat 9a kurang sempurna kerana klausa komplemen untuk berjaya tiada subjek.

Dalam ayat 10, subjek yang sama dalam klausa keterangan telah digugurkan.

Dalam ayat 11a, untuk hanya merupakan kata sendi nama kerana frasa kerja menolong orang miskin sebenarnya ialah frasa nama penerang seperti tujuan menolong orang miskin (ayat 11b) yang telah digugurkan intinya tujuan. Dalam ayat 11c pula, kata untuk ialah kata hubung kerana kata itu mendahului klausa komplemen untuk kerajaan menolong orang miskin yang mempunyai subjek kerajaan dan predikat menolong orang miskin.

Bagi ayat 12, kata untuk bukan kata hubung tetapi sendi nama kerana kata itu diikuti oleh kata nama adiknya, bukannya klausa.

Bagi ayat yang mengandungi peribahasa, ada kalanya yang terhasil ialah ayat majmuk, dan ada kalanya yang terhasil ialah ayat tunggal. Sila lihat contoh yang berikut:

13. Dia kebingungan seperti rusa masuk kampung.

14. Mereka gelisah seperti cacing kepanasan.

15. Mereka sering bergaduh seperti anjing dengan kucing.

16.  Dia kedekut seperti tangkai jering.

Dalam ayat 13, kata seperti ialah kata hubung kerana peribahasa seperti rusa masuk kampung mempunyai subjek rusa dan predikat masuk kampung.

Dalam ayat 14, kata seperti ialah kata hubung kerana peribahasa seperti cacing kepanasan mempunyai subjek cacing dan predikat kepanasan.

Dalam ayat 15, kata seperti ialah kata hubung kerana kata kerja bergaduh dalam klausa keterangan anjing bergaduh dengan kucing telah digugurkan. Oleh itu, subjek dalam klausa keterangan itu ialah anjing (frasa nama) dan predikatnya ialah bergaduh dengan kucing (frasa kerja).

Walau bagaimanapun, dalam ayat 16, kata seperti ialah kata sendi nama kerana tangkai jering hanya merupakan frasa nama.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.