Oleh Suria Janib
29 November 2021, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JOHOR BAHRU Berkenaan dengan penganjuran PABM 2021, menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, sebagai badan perancangan bahasa Melayu, pelibatan DBP dalam PABM 2021 (malah sejak musim pertama pada tahun 2007) sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya. DBP sendiri pada tahun 2000 telah mula menggerakkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu, yang melibatkan persidangan dan wacana lain, penataran bahasa dan sastera, penerbitan dan pelbagai bentuk kegiatan lain pada peringkat antarabangsa. PABM ialah satu daripada kaedah mengangkat bahasa Melayu ke peringkat dunia, apatah lagi yang melibatkan golongan muda.

Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.

Tahap penguasaan bahasa Melayu peserta pada umumnya membanggakan, terutama dalam konteks bahasa Melayu tinggi. Ada beberapa aspek yang dapat dibaiki, terutama sebutan seperti bunyi e pepet disebut dengan e taling. Walau bagaimanapun, bagi peserta dari luar alam Melayu, kekurangan seperti itu tidak sampai menunjukkan kelemahan yang besar, malah ada yang mampu menggunakan peribahasa dan unsur gaya bahasa Melayu dalam pidato mereka.

Seorang lagi panel hakim yang mengadili PABM 2021 yang sempat ditemu bual ialah Puan Olga Vasilevskava (warga Rusia), perunding Nanostix Sdn. Bhd. dan beliau pernah menjuarai PABM 2007. Secara keseluruhannya, beliau amat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh semua peserta yang menampakkan kematangan berhujah. Katanya lagi, penganjuran PABM perlu dikembangkan ke serata dunia dan semoga selepas berakhirnya pandemik COVID-19 dapat membuka lebih banyak penyertaan dalam pertandingan ini pada masa hadapan.

Puan Olga Vasilevskava juara PABM 2007.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.