4 Januari 2022, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Setiap kementerian diminta melantik Munsyi Muda Bahasa bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan,” kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. Pernyataan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ini adalah susulan teguran daripada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021, di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia, agar semua pihak mengutamakan penggunaan bahasa Melayu terutamanya dalam majlis rasmi yang diadakan oleh agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Terdahulu daripada itu, tokoh bahasa Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, kerap kali menyatakan bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu terutamanya dalam dokumen rasmi kerajaan mesti diberi perhatian dan perlunya usaha untuk meningkatkan tahap kepekaan serta jati diri penjawat awam terhadap bahasa Melayu. Hassan Baseri Budiman (2017) pula melihat isu ini disebabkan oleh jumlah agensi kerajaan dan kemudahan awam yang telah banyak diswastakan dan menyebabkan keterpinggiran bahasa Melayu itu sendiri.

Pada tahun 2019 pula, satu resolusi daripada Kluster Pendidikan Kongres Maruah Melayu telah meminta pihak kerajaan agar mengambil tindakan tegas bagi memastikan bahasa Melayu digunakan di semua peringkat dalam pentadbiran kerajaan. Rentetan daripada hal itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan mendapati bahawa nama program di majlis rasmi kerajaan masih lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Namun begitu, menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran (2021), tidak dinafikan bahawa terdapat majlis rasmi yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dan menggunakan bahasa asing atau bercampur. Dalam pada itu, beliau menggesa agar sektor perkhidmatan awam melaksanakan dan memastikan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh dalam semua urusan rasmi sama ada bertulis mahupun secara lisan.

Suatu kajian yang telah dilakukan oleh Junaini Kasdan, Nor Suhaila Che Pa dan Mohd Syamril Aklmar Che Kassim (2015) terhadap penguasaan bahasa Melayu penjawat Awam di Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) mendapati bahawa penguasaan bahasa Melayu penjawat awam di universiti tersebut berada pada tahap sederhana namun memerlukan perhatian khusus terutamanya dalam penulisan e-mel rasmi.

Hasil dapatan menemui e-mel yang dihantar bersifat monoton, kurang bervariasi dan wujudnya kesalahan bahasa yang berulang seperti pada ejaan, frasa, atau imbuhan dan penguasaan kosa kata yang lemah dalam bahasa Melayu serta e-mel tersebut digunakan semula dan diedarkan oleh pentadbir berkenaan tanpa menyedari kesalahan tersebut. Walaupun kajian ini tidak diperluas pada semua dokumen rasmi kerajaan dan perkhidmatan awam tetapi kajian ini boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk mengenal pasti permasalahan yang berlaku.

Pembentukan Munsyi Muda Bahasa di jabatan dan agensi kerajaan yang selari dengan strategi kelima, rangka Pelan Tindakan Program Kebahasaan Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan 2015-2017, iaitu mewujudkan Unit Khas Pelaksanaan Bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun serta mahir dalam bidang kebahasaan dalam kalangan penjawat awam dilihat sebagai suatu usaha serius oleh pihak kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu dan membendung permasalahan ini daripada terus berlaku. Pokok persoalan di sini ialah siapakah Munsyi Muda Bahasa yang dimaksudkan?

Dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam mendefinisikan Munsyi Muda Bahasa sebagai pegawai yang ditauliahkan oleh Ketua Pengarah DBP dan dilantik oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dalam kata lain, Munsyi Muda Bahasa ialah penjawat awam yang telah mengikuti Kursus Bahasa Melayu dan melepasi tahap penilaian kefahaman bahasa Melayu oleh DBP.

Setiap pegawai yang dilantik ditugaskan sebagai Perujuk Bahasa kepada kementerian. Antara tugas Munsyi Muda Bahasa termasuklah menyemak, mengesahkan semua surat, dokumen dan laporan rasmi, mengesahkan aspek bahasa teks ucapan rasmi pengurusan tertinggi sama ada dalam bentuk bercetak mahupun elektronik, merancang kursus kebahasaan kepada staf dan menjadi penceramah asas bahasa untuk kursus induksi bagi staf baharu.

Produk sinergi DBP dan JPA ini telah meraih kejayaan awal apabila menerima sijil penghargaan daripada Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir Khalid, mantan Menteri Pendidikan Malaysia pada 2 Mei 2017 sebagai Program Bahasa Berimpak Tinggi 2016, bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan. Hal ini membuktikan bahawa program ini berada di landasan yang betul. Namun begitu, pencapaian yang diperoleh bukanlah seperti “yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang” kerana sebelum itu dan masih berlangsung hingga kini, pelbagai inisiatif dilakukan oleh pihak tertentu untuk membangunkan pengisian program Munsyi Muda Bahasa.

Misalnya, program anjuran DBP bersama JPA dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang mengadakan Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa yang akan mencapai siri ke-22 pada bulan Mac 2022, Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa dan Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam kali pertama pada tahun 2021.

Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa ini bertujuan untuk memantapkan pengetahuan dan memberikan ruang kepada setiap peserta berkongsi pendapat tentang isu semasa bahasa Melayu manakala Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa ialah kursus susulan yang wajib dihadiri oleh peserta Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa yang telah melepasi Ujian Pemantapan Bahasa oleh DBP.

Para peserta yang berjaya menghadiri kursus ini dengan sepenuhnya sahaja yang layak ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa sementara Konvensyen Munsyi Muda Bahasa pula memfokuskan kepada penubuhan Sekretariat Munsyi Muda Bahasa Sektor Awam (SEMUA) Kebangsaan merentas kementerian, jabatan dan agensi. Konvensyen pertama ini telah menghasilkan tujuh resolusi bagi memperkasakan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam.

Maklumat berkenaan Munsyi Muda Bahasa ini boleh dicapai melalui laman web aktif, iaitu https://www.jpa.gov.my/munsyimuda/ dan https://ms-my.facebook.com/munsyimudabahasa. Laman ini turut menyediakan Info Pugar Bahasa dan Peka Bahasa yang menghimpunkan pelbagai khazanah bahasa Melayu seperti peribahasa, simpulan bahasa, penjodoh bilangan, tatabahasa, kosa kata baharu, kata ganda, penanda wacana, kesilapan penggunaan kata sendi nama, penggunaan tanda petik dan informasi umum berkenaan perkembangan bahasa kebangsaan. Maklumat ini sangat penting untuk dijadikan rujukan yang bukan sahaja kepada pihak berkepentingan, bahkan dapat dicapai dengan mudah oleh orang awam bagi mengetahui dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan tepat dan betul.

Program Munsyi Muda Bahasa seakan-akan baru semalam dibentuk tetapi sebenarnya telah diperkenalkan pada tahun 2015 lagi. Justeru itu, program ini perlu diberi perhatian serius dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Sokongan setiap jabatan dan agensi perkhidmatan awam sangat diperlukan agar pegawai yang dilantik sebagai pemudah cara dapat menjalankan peranannya dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam. Kejayaan program  Munsyi Muda Bahasa ini adalah sebahagian daripada kejayaan bersama dalam memastikan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 sentiasa dipatuhi.

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.