21 Februari 2022, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956 dengan nama Balai Pustaka, dan dinaiktarafkan sebagai badan berkanun di bawah Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 telah memberikan kuasa autonomi kepada organisasi ini untuk menggubal dasar, menyusun program dan kegiatan penerbitan sesuai dengan matlamat penubuhannya.

Matlamat penubuhan DBP ini seperti yang dijelaskan oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, dalam Wacana Bahasa Institut Aminuddin Baki (AIB) Cawangan Sarawak, yang bertemakan “Jendela DBP: PRPM Enjin Carian Bahasa Bertaraf Dunia” adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi, memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan, dan mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.

Selain itu, matlamat penubuhan DBP juga adalah untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan, menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya dapat digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Bagi memenuhi matlamat murni tersebut, pihak pengurusan DBP telah pun menyediakan Pelan Strategik DBP 2021 – 2025 dengan tiga teras strategiknya, iaitu Bahasa Melayu Bahasa Ekonomi, Bahasa Melayu Bahasa Negara dan Bahasa Melayu Bahasa Ilmu.

Menurut beliau lagi, dengan adanya pengukuhan dasar melalui Perkara 152: Bahasa Kebangsaan, Surat Pekeliling Am, Pekeliling Perkhidmatan dan sebagainya, aktiviti pengembangan bahasa dan sastera dapat terus dilaksanakan dalam kegiatan pengembangan seperti Anugerah Sastera Negara, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Canai Bahasa dan Sastera, Bulan Bahasa Kebangsaan, Dekad Bahasa Kebangsaan dan sebagainya.

Pengguna boleh mengakses maklumat bahasa dengan mudah melalui PRPM.

Selain itu, portal rujukan juga telah disediakan oleh DBP, iaitu Pusat Rujukan persuratan Melayu (PRPM), dalam usaha membantu pengguna bahasa membuat rujukan mengenai sesuatu kata atau istilah dengan lebih pantas. Menurut Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan, DBP, portal ini mula dapat diakses oleh pelayar pada tahun 2009 dan menduduki tempat kedua popular daripada 10 portal perkhidmatan kerajaan yang direkodkan dalam kajian MAMPU pada tahun 2013. Portal yang bersifat enjin carian ini memaparkan maklumat yang telah distrukturkan mengikut domain tertentu seperti kamus, istilah, ensiklopedia, majalah, buku, majalah dan sebagainya.

Menurut beliau, dua buah kamus ekabahasa yang dimasukkan ke dalam portal PRPM pula ialah Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Pelajar sebagai sumber rujukan utama. Di samping itu, kamus dwibahasa, kamus istilah, ensiklopedia dan sebagainya menjadi kandungan portal ini untuk dirujuk oleh pengguna. Jumlah entri kamus yang tersedia di dalam portal ini adalah sebanyak 513 795 kata, jumlah entri istilah bahasa Melayu 524 467 kata dan jumlah entri istilah MABBIM sebanyak 162 490 kata dimasukkan untuk dirujuk pengguna.

Pengguna juga boleh mendapat maklumat mengenai sesuatu kata daripada Pangkalan Data Korpus, Khidmat Nasihat DBP dan Gerbang Kata DBP apabila melayari portal PRPM ini. Sehingga 17 Februari 2022, sebanyak 125 846 476 jumlah kata terakam dalam Pangkalan Data Korpus DBP. Pengguna bahasa, peminat atau pengkaji bahasa juga boleh menyumbangkan kata yang belum terakam dalam pangkalan ini melalui medan Saran Kata di Gerbang Kata DBP.

Kata-kata tersebut akan dicalonkan sebagai kata masukan kamus terbitan DBP sekiranya mengikut Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu dan analisis makna dan kekerapan penggunaan kata yang ditetapkan. Dengan kata lain, masyarakat juga berpeluang bersama-sama membantu DBP melestarikan penggunaan bahasa kebangsaan sederap langkah mengikut peralihan zaman dengan hanya menggunakan hujung jari dalam melayari portal yang disediakan DBP ini.

PRPM kini menjadi sumur takungan kata khususnya dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan negara ini yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna di mana-mana sahaja mereka berada. Sehubungan dengan itu, rakyat negara ini perlu segera memupuk semula sikap cinta akan bahasa Melayu walaupun ada dalam kalangan mereka kini telah menguasai lebih daripada tiga bahasa dunia. “Cintailah Bahasa Kita. Bahasa Jiwa Bangsa”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.